Awal pagi 25 April 2019, waktu Lembah Klang.

Tiga gol dalam masa 19 minit saja sudah cukup untuk membuatkan Azizul Iwobi mengambil keputusan untuk menutup TV sejurus selepas wisel tamat separuh masa pertama ditiupkan.

Dia menangis menggigit bucu katil seraya mengucapkan ‘Unai Out, Erik ten Hag In’ sebanyak 7 kali. Diulangnya tanpa henti.

Sesekali terdetik di hatinya apakah perasaan yang sama turut dikongsi oleh Zizi Kirana dan Nurul Izzah binti Anwar Ibrahim yang sama-sama sekapal dalam menyokong Arsenal.

“Wat da hell, lawan Wolves saja kot,” kata Azizul Iwobi sebagai penutup ratapan hibanya pada awal pagi tu.

PRESTASI WOLVERHAMPTON WANDERERS SEPANJANG MUSIM 2018/19

Musim 2019/20 merupakan musim pertama Wolverhampton Wanderers kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL). Mereka dinaikkan ke liga paling ngetop dalam dunia ni bersama Fulham dan juga kelab Cardiff City Darul Vincent Tan Al-Berjaya Group.

Nasib Wolverhampton boleh dikira sangat-sangat berbeza dengan kedua-dua rakannya tersebut.

Fulham sudah pun secara matematiknya dihantar pulang ke Liga Kejuaraan dengan saingan EPL masih berbaki lima perlawanan. Manakala Cardiff City Darul Vincent Tan Al-Berjaya Group masih bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.

Wolves? Mereka berada di tangga ke-7, di belakang Manchester United. Setakat ini, bukan Arsenal saja dalam geng kelab enam teratas yang merasa kekalahan kepada Wolves. Antara mangsa lain adalah Chelsea, Tottenham Hotspur dan Manchester United.

Secara keseluruhan, Wolves berjaya mencuri 16 daripada 33 mata dalam 11 perlawanan menentang kelab enam teratas. Dengan rekod 4 kemenangan, dan 4 seri. Satu pencapaian yang boleh dikira sangat-sangat baik. Dan Wolves akan menutup tirai musim ni dengan menentang Liverpool.

Di luar kejohanan EPL, Wolves mara ke peringkat separuh akhir Piala FA, sebelum tumpas kepada Watford. Ini merupakan separuh akhir yang pertama bagi mereka dalam masa 21 tahun. Menariknya, mereka mara ke peringkat ini selepas menumpaskan pasukan-pasukan seperti Liverpool dan Manchester United (lagi).

Persoalannya, kenapa tiba-tiba Wolves ni macam hebat gila?

PRELUDE KEBANGKITAN WOLVERHAMPTON WANDERERS

Kali terakhir Wolverhampton Wanderers bermain dalam EPL adalah pada musim 2011/12. Musim tu mereka mendapat tempat tercorot EPL lalu tercampak ke Liga Kejuaraan.

Semusim di liga tersebut, Wolves sekali lagi diturunkan. Kali ni ke liga Divisyen 1 pula. Dua kali berturut kena turun liga dalam dua musim! Ini selepas mereka mendapat tempat kedua tercorot dalam Liga Kejuaraan. Mujurlah mereka cepat bangkit dan kembali ke Liga Kejuaraan pada musim 2014/15.

Dan nasib Wolves mula berubah apabila Presiden China, Xi Jinping menyeru geng-geng kapitalis Cina melabur dalam bola sepak Eropah. Maka pada Julai 2016, sebuah syarikat konglomerat dari Shanghai yang juga mempunyai pegangan saham dalam Secret Recipe iaitu, Fosun International Group pun membeli Wolves pada nilai £45 juta.

Ah, tergadai sudah aset Inggeris pada China.

12 bulan pertama sebagai pemilik baru Wolves tidaklah semanis Mira Filzah. Fosun memecat pengurus Wolves ketika itu, Kenny Jackett hanya seminggu selepas pengambilalihan.

Penggantinya, Walter Zenga pula dipecat selepas 17 perlawanan. Dan nasib yang serupa turut dikongsi oleh pengurus seterusnya, iaitu Paul Lambert. Dia juga ditunjukkan jalan keluar dari kelab pada akhir musim.

Penyingkiran Paul Lambert ni boleh difahami. Sebabnya Wolves menghabiskan musim pertama menduduki di tangga ke-15 Liga Kejuaraan. Sedangkan Fosun sudah berbelanja agak besar membawa masuk Ivan Cavaleiro dari AS Monaco (nilai £7 juta) pada Ogos 2017, serta Helder Costa (£13 juta dari Benfica).

Pengerusi Wolves, Jeff Shi menyifatkan musim pertama Fosun di Wolves sebagai satu proses pembelajaran. Lagi pun perjanjian mereka nak ambil Wolves ni pula hanya dimeterai semasa sudah memasuki tempoh pra-musim. Maka persediaan pun jadi serabut dan huru hara seperti hidup Fathia Latiff.

Jeff Shi juga nampak salah satu masalah musim pertama tersebut juga adalah disebabkan dia masih tinggal di Shanghai. Dia banyak bergantung kepada komunikasi menerusi emel dan telefon. Serta selalu mengambil perjalanan panjang (dan juga meletihkan) di antara China dan United Kingdom.

Jadinya Jeff Shi ambil keputusan untuk berpindah ke bandar Wolverhampton. Jadi dia dapat tengok dengan kepala sendiri operasi seharian kelab.

Selain tu, Jeff Shi merombak lembaga pengarah kelab. Dia melantik penyokong kuat Wolves, John Bowater dan John Gough untuk menolongnya dalam menguruskan kelab. Pada Jeff Shi, dia mahu dikelilingi orang yang betul-betul boleh menyumbang kepada kebaikan kelab.

Memasuki musim 2017/18, Fosun dan Wolves ternyata jauh lebih bersedia.

WOLVERHAMPTON WANDERERS MULA MENUNJUKKAN KUKU DAN TARING

Pada 31 Mei 2017, Wolverhampton Wanderers mengumumkan ketibaan ketua jurulatih baru, Nuno Espirito Santo dengan kontrak tiga tahun. CV nya boleh dikatakan sedap juga untuk sebuah kelab yang berstatus Liga Kejuaraan.

Sebelum ni, Nuno Espirito menggalas jawatan ketua jurulatih di kelab Primeira Liga, Porto selama semusim. Dan dia juga pernah menjadi ketua jurulatih bagi kelab La Liga, Valencia. Jadinya Nuno Espirito mempunyai pengalaman dalam mengemudi pasukan bermain liga teratas serta di pentas Eropah.

Revolusi Wolves tak terhenti di situ. Mereka mengejutkan dunia bola sepak apabila berjaya mendapatkan pemain muda bertaraf “wonderkids” yang menjadi rebutan ramai, Ruben Neves. Mereka membayar Porto sebanyak £15.8 juta, satu rekod perpindahan bagi kelab dan juga Liga Kejuaraan.

Ternyata tindakan dan keputusan Fosun membuahkan hasil seawal musim bola sepak 2017/18 baru menjengah akhir bulan Oktober. Wolves megah berada di persada liga, dan sejak itu tak turun-turun dari kedudukan tersebut.

Apabila kelab di tempat ketiga Liga Kejuaraan, Fulham gagal menewaskan Brentford pada 14 April 2018, maka secara matematiknya Wolves naik ke EPL. Seminggu kemudian, mereka ditabalkan dengan penuh bergaya sebagai juara liga setelah membelasah Bolton Wanderers 4-0.

Jika dibandingkan kedudukan Wolves pada musim sebelumnya, pencapaian ini merupakan satu peningkatan yang agak drastik.

KELAB PESAING MULA BISING TERHADAP WOLVERHAMPTON WANDERERS

Sebenarnya, ada kontroversi sikit dengan kejayaan Wolverhampton Wanderers naik ke EPL. Kelab-kelab lain dalam Liga Kejuaraan mula bercakap-cakap dengan lantang yang Wolves ni main ikut belakang. Err, maksudnya tak ikut ‘rule of law’.

Pengurus Aston Villa, Steve Bruce mempersoalkan macam mana Wolves boleh senang lenang mendapatkan pemain yang pernah bermain dalam Liga Juara-Juara.

Pengerusi Leeds, Andrea Radrizzani pula mengatakan kejayaan Wolves adalah haram dan berat sebelah. Ini disebabkan hubungan rapat di antara Fosun dan ejen bola sepak, Jorge Mendes.

Namun begitu, Wolves kerap kali menafikan dakwaan-dakwaan ni. Mereka kata, Jorge Mendes tak mempengaruhi langsung perjalanan kelab. Dan mereka sentiasa jadi budak skema dalam mengikut undang-undang. Lagi pun pihak English Football League (EFL) sendiri pun mengakui Wolves tak ada melakukan sebarang kesalahan.

Kalau anda nak tahu, Jorge Mendes ni adalah antara ejen yang paling berpengaruh dalam dunia bola sepak. Dia mempunyai ratusan klien dari pemain seperti Cristiano Ronaldo sehinggalah pengurus bola sepak seperti Jose Mourinho.

Tapi sejauh mana kesahihan tuduhan-tuduhan ni?

HUBUNGAN JORGE MENDES, FOSUN DAN WOLVERHAMPTON WANDERERS

Asas undang-undang Persatuan Bola Sepak Inggeris adalah pemilik kelab tak boleh ada pemilikan dalam agensi. Dan ejen pula tak dibenarkan mempengaruhi operasi kelab. Nampak terang dan jelas. Tapi agak kabur bila diapplikasikan dalam situasi Wolves.

Tujuh bulan sebelum Fosun memeterai perjanjian mengambil alih Wolverhampton Wanderers, mereka telah membeli pemilikan saham sebanyak 20% dalam Gestifute. Gestifute ni adalah agensi yang dimiliki oleh hummm, Jorge Mendes. Dan Jorge Mendes pula banyak memberi khidmat nasihat kepada Fosun sepanjang syarikat berkenaan dalam proses untuk mengambil alih Wolves.

Bagi Jeff Shi, dia menganggap Jorge Mendes ni merupakan kawannya atas kapasiti peribadi.

“Kawan aku tu tau banyak pasal industri. Bila kau baru dalam industri, kau kena cari orang yang boleh tolong kau. Bagitahu kau apa yang perlu dibuat. Cerita pasal kejayaan dan kegagalan diorang. Dan aku dapat nasihat yang sedap-sedap daripada dia,” kata Jeff Shi.

Maka di sini timbul kekeliruan. Undang-undang memberi takrifan seolah-olah Wolves buat kerja tak betul. Tapi ‘regulator’, iaitu EFL, pula kata Wolves tak menyalahi mana-mana undang-undang.

Jadinya, masyarakat bola menyimpulkan yang Wolves ni mungkin pandai dalam mengambil kesempatan terhadap lompong-lompong yang mungkin terdapat dalam bahagian lain kitab undang-undang tersebut. Orang putih kata, “bending the law”. Itu yang memungkinkan Wolves tak dikenakan apa-apa tindakan.

IMPAK JORGE MENDES DALAM WOLVERHAMPTON WANDERERS

Adalah naif untuk mengatakan hubungan baik dengan Jorge Mendes tidak membantu Wolverhampton Wanderers di bawah era Fosun. Ini dapat dilihat daripada beberapa transaksi utama pengambilan pemain dan ketua jurulatih sendiri.

Ivan Cavaleiro dan Helder Costa yang menyertai Wolves semasa musim pertama di bawah Fosun adalah diwakili oleh Jorge Mendes.

Begitu juga dengan Nuno Espirito. Ketua jurulatih berkenaan sekapal dengan Jose Mourinho berada di bawah Jorge Mendes. Lebih menarik lagi, Nuno Espirito ni merupakan klien sulung Jorge Mendes semasa zaman kariernya sebagai penjaga gol. Memang setia habis.

Dua bulan selepas penghijrahan Nuno Espirito dari Porto, dua bekas pemainnya di kelab berkenaan pun ikut jejak langkahnya dengan menyertai Wolves. Ruben Neves dan Diogo Jota. Sekali imbas mungkin kita boleh mengandaikan Nuno Espirito memujuk mereka dengan kata-kata manis. Tapi jika diteliti, kedua-dua pemain ni diwakili oleh… Jorge Mendes.

Trend seakan-akan sama juga berlaku semasa musim 2018/19. Sebagai persediaan menghadapi cabaran di EPL, Wolves membawa masuk ramai pemain baru.

Nama-nama paling besar dalam senarai tersebut tentulah penjaga gol kebangsaan Portugal, Rui Patricio dan juga pemenang kejohanan Euro 2016, Joao Moutinho. Ejen mereka berdua adalah Jorge Mendes.

Memang nampak banyak klien Jorge Mendes ni Wolves. Tapi jumlah mereka masih lagi tak sampai separuh daripada keseluruhan skuad senior Wolves lagi.

Jadinya, sukar juga kita nak kata Jorge Mendes mempengaruhi operasi Wolves. Tapi dalam masa sama, kita tak boleh tolak bahawa hubungan rapat Jeff Shi dan Jorge Mendes pun beri kelebihan kepada Wolves untuk mendapatkan pemain berprofil tinggi.

VISI FOSUN TERHADAP WOLVERHAMPTON WANDERERS

Pada 2008, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan menerusi Abu Dhabi United Group telah membeli Manchester City daripada bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.

Setelah membelanjakan beratus-ratus juta pound, akhirnya Manchester City berjaya jua menjulang trofi EPL empat tahun selepas itu, iaitu pada musim 2011/12. Dalam masa sedekad Manchester City di bawah Abu Dhabi Group, kelab berkenaan telah menjuarai EPL sebanyak tiga kali. Dan Manchester City kini menjadi salah sebuah kelab terbesar dalam Eropah.

Kejayaan Manchester City ini menjadi sumber aspirasi buat Fosun. Sejurus selepas Wolverhampton Wanderers berjaya mendapat kenaikan ke EPL, kelab berkenaan tanpa berahsia menyatakan sasaran untuk menjadi salah sebuah kelab terbaik dalam Eropah.

Dalam sejarah kelab, Wolves hanya pernah merekodkan tiga kali kejuaraan liga tertinggi Inggeris. Itu pun dah berpuluh-puluh tahun dulu, iaitu musim 1953/54, 1957/58 dan 1958/59.

Jangan tak tahu, pada era 1950-an ni, Wolves merupakan salah sebuah pasukan terkuat lagi gagah dalam bola sepak Inggeris. Selain tiga kejuaraan, mereka juga bergelar dua kali naib juara dalam tempoh tersebut. Menyedari sejarah ni, Fosun mahu mengembalikan semula zaman emas Wolves tersebut dengan memenangi EPL.

Mungkin ramai yang akan gelakkan cita-cita Fosun dan Wolves ni. Tapi perlu diingat, ramai juga yang gelakkan Manchester City dan Abu Dhabi United Group bila mereka menyasarkan nak menjadi salah sebuah kelab terbesar Eropah satu ketika dulu.

Sumber:

1. BBC, 2018, Simon Stone, Wolves: Super agent Jorge Mendes, Chinese owners and global ambition

2. BBC, 2018, Simon Stone, Can Wolves and their ambitious owners eventually emulate Man City’s rise to the top?

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.