Satu abad. Ya, itulah usia Valencia pada tahun 2019 ni.

Liverpool mungkin boleh berbangga melakukan ‘remontada’ untuk ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah setelah ketinggalan 3-0 kepada Barcelona.

Mungkin juga Manchester City boleh berbangga melakukan ‘remontada’ bagi menjuarai Liga Perdana Inggeris selepas ketinggalan 7 mata di belakang Liverpool.

Atau Bayern Munich boleh juga berbangga melakukan ‘remontada’ bagi memenangi kejuaraan Bundesliga kali ketujuh berturut-turut, walaupun pernah ketinggalan 9 mata di belakang Borussia Dortmund.

Tapi semua ini mungkin tak dapat menandingi drama ‘remontada’ yang dilakukan oleh Valencia pada musim ini. Musim yang mereka raikan usia 100 tahun kelab.

MARCELINO TURUN, VALENCIA OK?

12 Januari 2019. Valencia menentang Real Valladolid. Perlawanan ke-19 La Liga itu berakhir dengan seri 1-1. Bagi Valencia, itu merupakan seri yang kesebelas bagi mereka pada musim 2018/19.

Dengan berakhirnya separuh pertama La Liga, Valencia hanya mampu menang empat perlawanan. Sejumlah 17 gol pula dijaringkan. Ciput. Penyudah mereka terlalu tumpul. Bagai segan silu dalam nak merobek gawang lawan. Padahal sebanyak jumlah 263 peluang telah dicipta oleh Valencia sejak awal musim.

Mereka menduduki tangga kesebelas. Empat mata dipisahkan daripada zon penyingkiran. Jurang 10 mata dengan tempat keempat, slot terakhir ke Liga Juara-Juara Eropah. Dan 20 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Secara keseluruhan, ianya satu prestasi yang kurang baik bagi kelab yang menduduki tangga keempat La Liga pada musim sebelumnya.

Tapi penderitaan mereka tak terhad di dalam liga domestik saja. Kekalahan 1-0 kepada Juventus pada akhir November menutup peluang Valencia ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Mujurlah kemenangan pada perlawanan terakhir ke atas sebuah pasukan dari Manchester yang digelar ‘ayam masak merah’ memberikan mereka kedudukan ketiga dalam kumpulan. Dan seterusnya membawa mereka ke Liga Eropah.

Dalam Copa Del Rey pula, Los Che baru saja mengalami kekalahan mengejut 2-1 kepada kelab liga bawahan, Sporting Gijon dalam perlawanan timbal balik pertama peringkat 16 pasukan. Tekanan dalam pasukan Valencia semakin memuncak. Penyokong pula dah ada yang panas bontot.

Semakin ramai mengatakan masa depan ketua jurulatih Marcelino seperti Aliff Aziz yang kantoi buat kesekian kalinya dengan perempuan lain. Bila-bila masa saja Valencia bakal membuang Marcelino dari hidup mereka.

Sehari selepas perlawanan menentang Valladolid, pengurusan tertinggi kelab mengadakan mesyuarat krisis. Presiden, Anil Murthy dan CEO, Mateu Alemany diarah terbang ke Singapura bagi berjumpa pemilik kelab, Peter Lim. Agenda utama perbincangan adalah mengenai masa depan Marcelino yang sudah bersama kelab semenjak Mei 2017.

Situasi ini sangat ironis. Sebabnya Valencia telah memberikan kontrak baru kepada Marcelino pada enam bulan sebelumnya. Dengan tempoh tamatnya dilanjutkan kepada musim panas 2020.

MALU APA BOSSKU

Mujurlah Marcelino masih lagi mampu ‘memegang’ dan menguasai bilik persalinan. Skuad Los Che memberikan sokongan penuh buat bos mereka.

Hatta, semasa Daniel Parejo meraikan gol penyamaannya ke atas Valladolid dengan cara memeluk Marcelino. Satu isyarat jelas diberikan oleh kapten pasukan sendiri kepada pimpinan tertinggi kelab. Penyerang Rodrigo yang hanya mampu menjaringkan dua gol dalam La Liga pun menyatakan sokongannya kepada Marcelino selepas perlawanan.

“Agak kurang tepatlah kalau diorang nak tukar Marcelino. Dia tak boleh masuk padang dan tolong jaringkan gol untuk pasukan.”

Mateu Alemany pun terfikir benda serupa. Dan dia beritahu benda tu kepada Peter Lim semasa mesyuarat. Dengan sokongan lembaga pengarah dan pemain, Peter Lim mengambil keputusan untuk terus mempercayai Marcelino dalam menyelesaikan krisis kelab.

Lagi pun, kedatangan Marcelino ke Valencia berjaya menaikkan prestasi kelab pada musim 2017/18. Walhal dua musim di bawah penyandang sebelumnya, Valencia sekadar menghabiskan La Liga di tempat ke-12.

JANJI SUDAH DITEPATI, KINI MASA BALAS BUDI

Kepercayaan Peter Lim ke atas Marcelino terbayar seawal perlawanan seterusnya. Los Che mencipta kemenangan 3-0 dalam perlawanan timbal balik kedua Copa Del Rey ke atas Sporting Gijon. Empat hari kemudian, menyusul pula kejayaan 2-1 ke atas Celta Vigo dalam La Liga. Penjaring gol kemenangan Valencia? Rodrigo.

Perlawanan seterusnya menemukan mereka dengan pasukan “high flying” Getafe, bagi suku akhir pertama Copa Del Rey. Walaupun kalah 1-0, ia hanyalah luka kecil bagi Valencia saja. Sejak dari itu, Los Che tidak memandang ke belakang lagi.

Mereka tidak kalah dalam 17 perlawanan dalam kesemua kejohanan yang disertai. Ini termasuklah 10 perlawanan dalam La Liga. Mencatatkan lima kemenangan dan lima seri. Agak memberangsangkan!

Ini mengambil kira beberapa perlawanan yang sukar ditempuhi Los Che. Mereka berjaya mengikat Barcelona 2-2 di Nou Camp. Menang 1-0 ke atas Sevilla di stadium Ramon Sanchez Pizjuan. Dan mengalahkan Real Madrid 2-1 di laman sendiri, Mestalla.

Dengan musim La Liga sudah melalui 30 perlawanan, Valencia melonjak ke tangga kelima liga. Hanya dipisahkan satu mata dengan Getafe yang berada di kedudukan slot terakhir ke Liga Juara-Juara. Sekaligus, merupakan posisi tertinggi yang dikecapi Valencia setakat peringkat ni.

BAGAI HERO FILEM, KALAH DULU MENANG KEMUDIAN

Kalau ada yang fikirkan ini adalah had siling pencapaian Valencia, telahan mereka salah. Dengan berbaki dua perlawanan La Liga, Valencia berjaya merampas kedudukan keempat La Liga yang diduduki Getafe selama berbulan-bulan.

Ini selepas Los Che merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Alaves di laman sendiri. Manakala Getafe pula tersungkur 2-0 kepada juara Barcelona di laman lawan. Terus terubat sedikit kekecewaan mereka di separuh akhir Liga Eropah tiga hari sebelumnya. Mereka tumpas kepada bakal juara, Arsenal.

Ye, yakinlah awok-awok semua yang The Gunners di bawah Loki akan mengalahkan skuad Maurizio Sarri.

Kedudukan keempat ini kekal sehingga perlawanan seterusnya, iaitu perlawanan penutup tirai musim La Liga. Fuh, menurut The Guardian, tak pernah lagi ada pasukan yang sudah sepuluh mata ketinggalan daripada zon ke Liga Juara-Juara selepas separuh musim berjaya layak ke pentas itu sebelum ni. Lebih padu, tempoh mereka duduk di tempat keempat hanya selama enam hari saja pada musim 2018/19 ni.

Selepas wisel penamat, Rodrigo memeluk bosnya, Marcelino. Dan kemudian, Marcelino pergi ke arah Daniel Parejo untuk memeluknya.

“Dulu kau pernah peluk aku, kali ni aku peluk kau.”

Tapi bisnes Valencia belum tamat di sini. Mereka masih ada tugas terakhir di Stadium Benito Villamarin. Perlawanan akhir Copa Del Rey. Trofi kedua terbesar di dalam bola sepak Sepanyol menjadi rebutan di antara mereka dan juga Barcelona.

Walaupun di atas kertas kelab Catalan tersebut memiliki kelebihan 18 tiang di hadapan, tapi mereka masih lagi terluka akibat kekalahan kepada Liverpool. Dan Marcelino bagai jerung yang tercium darah mula membayangkan peluang cerah bagi Valencia. Lebih-lebih lagi, moral skuadnya berada di paras tertinggi.

“Memang aku mimpikan setiap hari untuk menjadi juara,” kata Marcelino setelah ditanya wartawan tentang peluang Valencia dalam perlawanan akhir tersebut.

Dan keyakinan Marcelino ternyata benar. Kali ni mereka pula mengambil giliran daripada Liverpool untuk menghempuk kelab yang selalu dicanang sebagai terbaik dunia. Dan selepas 1,456 hari bergelar juara Copa Del Rey, Lionel Messi dan rakan-rakan akhirnya tumpas 2-1 di pentas akhir.

Kali terakhir Valencia memenangi trofi adalah pada 2008. Dan menariknya, trofi itu adalah Copa Del Rey. Nak tahu siapa yang dikalahkan oleh Valencia masa tu?

Getafe, kelab yang mereka singkirkan dari tempat keempat La Liga pada musim ini.

Suratan? Kebetulan? Agenda Yahudi? Atau teori illuminati?

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:
The Guardian, 2019, Sid Lowe, Valencia make a mockery of reason by sealing Champions League place

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.