Kemenangan adalah ukuran sesebuah pasukan untuk meraih kejayaan. Jika tidak menang bagaimana ingin bergelar juara bukan?

Tapi tahukah anda ada satu pasukan, tidak pernah menang, tetapi layak sehingga ke final. Bagaimana?

Pada kejohanan Copa America 2011 yang berlangsung di Argentina, Paraguay ke perlawanan akhir tanpa sebarang kemenangan sejak di peringkat kumpulan lagi.

TRIVIA COPA AMERICA

Sebelum itu mari kita telusuri sejarah Copa Amerika menerusi TRIVIA ini.

– Copa Amerika pertama kali berlangsung pada 1916 dengan nama ‘Compeonato Sudamericano de Football’

– Kejohanan pertama dilangsungkan di Argentina. Hanya melibatkan 4 pasukan sahaja iaitu Argentina, Brazil, Uruguay dan Chile. Menggunakan format ‘round-robin’ iaitu liga dan juara ditentukan menerusi pasukan yang memungut mata tertinggi.

– Edisi 1967 Venezuela buat pertama kalinya menyertai kejohanan, melengkapkan 10 pasukan dalam benua Amerika Selatan.

– Edisi 1967 juga buat pertama kali pusingan kelayakan diadakan, Ecuador dan Colombia tersingkir di pusingan kelayakan tersebut.

– Edisi 1975 buat pertama kali dengan nama Copa America dan format ‘group stage’ dan ‘knockout round’ diperkenalkan.

– Disebabkan jumlah pasukan dalam Conmebol hanya ada 10, Copa America menjemput pasukan bukan dari Conmebol bagi memeriahkan kejohanan. Dengan Mexico dan USA adalah pasukan pertama dijemput menyertai kejohanan ini pada edisi 1993. Ini menjadikan jumlah 12 pasukan bertanding, 4 pasukan dalam setiap 3 kumpulan.

– Sejak edisi pertama Copa America menerima pasukan jemputan, Mexico tidak pernah terlepas dari dijemput. Sementara Jepun merupakan pasukan yang paling jauh dijemput iaitu pada edisi 1999.

– Kejohanan ini telah mencapai edisi ke-45 pada 2016 lalu. Ianya disebut “Coppa America Centenario” iaitu sempena 100 tahun usia kejohanan.

– Pasukan Uruguay merupakan juara terbanyak dengan 15 ‘title’, diikuti Argentina dengan 14 ‘title’.

– Argentina menjadi ‘host’ paling banyak dengan 9 kali (kali terakhir edisi 2011).

– Edisi 1975, 1979 dan 1983 dilangsungkan di venue bersama iaitu tiada penganjur tetap.

– Edisi centenario pada 2016 pertama kali dilangsungkan di luar benua Amerika Selatan. Amerika Syarikat dipilih menjadi hos kejohanan.

PARAGUAY DI PERINGKAT KUMPULAN

Dalam kejohanan Copa America 2011, Paraguay berada dalam kumpulan B dengan Brazil, Venezuela dan Ecuador. Paraguay sekadar mengutip 3 mata hasil seri kesemua 3 perlawanan di peringkat kumpulan.

Paraguay menghuni tempat ketiga di belakang Brazil dan Venezuela. Berdasarkan format* kejohanan, Paraguay tetap layak ke suku akhir bersama Peru selaku tempat ke-3 terbaik. Walaupun berkongsi mata dengan pasukan jemputan Costa Rica dari kumpulan A, namun Paraguay layak menerusi kelebihan gol.

*Untuk rekod, format kejohanan adalah juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir. Sementara 2 pasukan di tempat ketiga terbaik dari 3 kumpulan turut layak ke suku akhir.

PARAGUAY DI SUKU AKHIR

Paraguay diundi bertemu Brazil di suku akhir. Sebelum itu, semasa dalam ‘group stage’ Paraguay mencatat seri 2-2 dengan Brazil.

Dalam perlawanan suku akhir, mereka sekali lagi seri dengan Brazil. Tapi kali ni tanpa jaringan. Sampailah masuk masa tambahan. Brazil ketika itu diperkuatkan oleh Pato, Neymar dan Robinho di bahagian serangan. Tetapi, kekentalan pertahanan Paraguay dan nasib menjadi penyelamat, apabila trio serangan padu Brazil ini gagal dalam menghasilkan gol sepanjang 120 minit permainan.

Perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti. Elano selaku pengambil sepak pertama untuk Brazil sekadar menyepak ke udara. Paraguay juga gagal menyempurnakan penalti pertama mereka menerusi Edgar Barreto.

Sepakan kedua Brazil menerusi Thiago Silva ditepis oleh penjaga gawang Paraguay, Justo Villar yang turut cemerlang pada persembahan 90 minit perlawanan menangkis pelbagai percubaan Brazil. Penyepak kedua Paraguay, Marcelo Estigarribia berjaya menjaringkan penalti.

Andre Santos gagal menyudah penalti ketiga Brazil. Bola sepakannya sama seperti Elano melabung ke udara. Cristian Riveros meletakkan Paraguay selesa dengan 2-0 dan Fred gagal menyudah penalti terakhir Brazil. Dan Paraguay layak ke separuh akhir.

PARAGUAY DI SEPARUH AKHIR

Di separuh akhir, Paraguay bertemu Venezuela yang menyingkirkan Chile 2-1. Sekali lagi perlawanan berkesudahan tanpa jaringan sepanjang 120 minit. Paraguay dan Venezuela berjaya menyempurnakan dua penalti pertama mereka. Kedudukan kini terikat 2-2.

Kemudian, Cristian Riveros meletakkan Paraguay di depan pada penalti ketiga. Sepakan pemain Venezuela, Franklin Lucena yang lemah mudah ditangkap kemas Justo Villar. Sepakan keempat Paraguay dan Venezuela bagaimanapun berjaya menghasilkan gol. Pada penalti terakhir, Dario Veron berjaya memastikan Paraguay mara ke final Copa America 2011.

PARAGUAY DI PERLAWANAN AKHIR

24 Julai 2011, bertempat di Estadio Antonio Vespucio Liberti milik kelab River Plate, Paraguay berdepan Uruguay. Uruguay yang diperkuatkan pemain bintang dunia seperti Edison Cavani, Luis Suarez, Diego Forlan. Martin Caceres, Diego Lugano dan Fernando Muslera. Uruguay ternyata bukan tandingan buat Paraguay.

Seawal minit ke-11, Uruguay di depan menerusi Suarez. Uruguay bertambah agresif selepas itu. Gol kedua pula terhasil menerusi Diego Forlan beberapa minit sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan pengadil perlawanan dari Brazil, Salvio Fugundes.

Masuk separuh masa kedua, Paraguay yang sebelum ini gemarkan permainan bertahan mula rancak menyerang.Nelson Valdez dan rakan-rakannya gagal membocori kubu Uruguay. Sebaliknya Uruguay mengambil kesempatan di atas keghairahan Paraguay dengan mengasak serangan balas. Forlan sekali lagi mencipta nama selaku penjaring.

Tamat masa penuh, Uruguay menang 3-0. Dan itulah kekalahan pertama dirasai Paraguay sepanjang kejohanan.

Tak pernah menang, tak pernah kalah sepanjang lima perlawanan sebelum melangkah ke final. Uniknya, dalam lima perlawanan sebelum ke final, Paraguay bertemu hanya 3 pasukan. Dengan Brazil dan Venezuela dua kali menjadi lawan Paraguay.

NOTA PENUTUP

Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Vietnam yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Asia bawah 23 tahun.

Dalam pusingan kelayakan yang bermula Julai tahun lalu, Vietnam diundi dalam kumpulan I yang turut menempatkan Korea Selatan, Timor-Leste dan Macau. Vietnam menepati ramalan dengan melangkah ke Piala Asia bawah 23 bersama-sama Korea Selatan. Dan menyertai Malaysia dan Thailand sebagai pasukan dari rantau Asia Tenggara yang layak.

Tidak hanya sekadar mengisi kouta 16 slot, Vietnam yang diundi sekali lagi sekumpulan dengan Korea Selatan. Mereka mencipta kejutan dengan berjaya melepasi ‘group stage’ mengiringi Korea Selatan dan menyingkirkan Syria dan Australia.

Vietnam meneruskan kemaraan dengan menundukkan juara edisi 2013 dan ke-3 edisi 2016, Iraq menerusi penentuan penalti 5-3 setelah terikat 3-3.

Vietnam menewaskan Qatar di separuh akhir menerusi penentuan tendangan penalti 4-3 setelah terikat keputusan 2-2 sepanjang 120 minit permainan.

Dan pada final, Vietnam berdepan Uzbekistan yang membelasah Jepun 4-0 di suku akhir dan Korea Selatan 4-1 di separuh akhir. Walaupun tewas 1-2 kepada Uzbekistan, pencapaian Vietnam ini selayaknya wajar dipuji.

Kongsi Artikel Ini

Rahim Giolorossi merupakan salah seorang admin AS Roma Malaysia.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.