Jika di Eropah, kita sudah terbiasa malah dah bosan macam layan cerita ulang-ulang dekat Astro bila dengar ada ‘wonderkid’ yang muncul dari kelab di sana.

Dembele lah, Sessegnon lah, semuanya bagaikan perkara biasa untuk melihat bintang muda ini muncul. Namun di lapangan Asean ini, agak bosan pula bila asyik-asyik nama tu je yang menonjol.

Tak Chanatip, ada lah Chong Phuong dari Vietnam tu. Paling koman pun orang akan tak habis-habis sebut pasal Safiq Rahim walaupun beliau dah berusia. Ini cerita betul, dekat group bola sepak Asean, bila sebut Malaysia, nama Chopot lah yang dia keluarkan.

Tapi senario agak berbeza dengan kemunculan budak ajaib Sisaket, Thailand yang bernama Suphanat Mueanta. Kalau dekat Malaysia, mahu bergaduh dengar nama dia ni, “supHANAT”.

Berusia 16 tahun, beliau merupakan pemain kelab juara Liga Thailand, Buriram United yang dulunya ramai kata Buriram ni menjadi influence kepada JDT.

Tapi korang silap, Buriram bukan beli pemain bintang semata. Diaorang ada kelab pembangunan yang bagus, banyak pemain muda berbakat terhasil daripada sistem mereka.

Ingat lagi Supachai Jaided yang mewakili skuad kebangsaan Thailand ketika Piala AFF 2018? Beliau juga hadir daripada pembangunan kelab ini. Jadi berhentilah sama kan JDT dengan Buriram sebab cara diaorang berbeza.

Berbalik kepada Suphanat, beliau ni saing-saing dengan penyerang muda negara kelahiran NFDP, Luqman Hakeem. Kedua-duanya bersaing dengan memegang nama besar ketika saingan Piala Asia B16 tahun di Kuala Lumpur tahun lalu.

Bezanya, Luqman takde pengalaman beraksi di liga utama tapi Suphanat ada. Suphanat musim lalu je dah main 17 perlawanan untuk Buriram United padahal dia baru berusia 15 tahun.

Buriram tahu, gelaran juara liga berturut turut sampai kiamat pun tapi kalau tak bangunkan bakat muda, kelab korang tu sia-sia. Sekadar kelab berduit yang kumpulkan ramai pemain bintang tanpa membangunkan bakat.

Percaturan Buriram berbaloi, pada usia hanya 15 tahun 9 bulan 22 hari, Suphanat mencipta rekod menjadi penjaring termuda dalam Liga Thailand ketika aksi liga pada 26 Mei 2018.

Aku dulu umur 15 tahun, kau tahu aku buat apa? Aku masih duduk depan komputer, tekan joystick main game Pro Evolution Soccer. Aku kisah apa budak-budak FIFA nak kutuk geng PES.

Lepas tu, Suphanat pun sertai Thailand B23 dan menjadi antara tonggak utama. Beliau main semua level usia untuk Thailand. Daripada B16, B19 dan juga B23 semuanya dia pernah jaringkan gol.

Suphanat bukanlah bintang yang gah seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid ada gaji banyak, tapi beliau main untuk meningkatkan gaya permainan dia sendiri.

Tak cukup itu, Suphanat tak nak lah jadi jaguh kampung je. Pada 13 Mac tahun ini, beliau mencipta debut di AFC Champions League ketika bertemu Jeonbuk Hyundai Motors, pemain muda kelima yang cipta debut di kejohanan itu.

Tak sedap rasanya sekadar bermain, beliau jadi tajuk berita lagi di Thailand apabila menjaringkan gol menentang Beijing Guoan, sekaligus menjadi pemain paling muda untuk jaringkan gol dalam ACL, pada usia 16 tahun.

Waktu terus berjalan dan Suphanat terus mencipta nama. Beberapa hari lalu, Thailand mengumumkan nama beliau di dalam skuad kebangsaan Thailand bagi menghadapi saingan antarabangsa.

Kisah si Hanat ni boleh dijadikan teladan untuk pemain muda Malaysia mencipta nama di awal usia, ia juga menjadi satu contoh kepada pasukan di Malaysia untuk berusaha menaikkan pemain muda mereka.

Sudahlah dengan kuda tua di Liga Malaysia ini, mereka boleh tamatkan karier mereka dengan membantu pasukan di Liga M3 misalnya kerana kita perlukan nafas baru.

Kongsi Artikel Ini

Ada orang gilakan perempuan, bagi aku aku lebih gilakan bola sepak. Tidak melukakan hati yang dalam.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.