Kieran Trippier sah tandatangani kontrak bernilai £21.7 juta bersama kelab La Liga, Atletico Madrid. Keputusan Tippier ini lari dari keadaan ‘normal’ pemain England yang sememangnya sukar untuk ‘berdikari’ ke liga luar. Jika ada pun ianya disebabkan perkara-perkara tertentu seperti terjadinya pada Joey Barton dipinjam keluar ke Liga Perancis, Olympique Marseille akibat bergelut dengan prestasi dan keadaan sama dilalui Joe Hart yang dipinjamkan ke Torino 2 musim lalu dari Manchester City.

Lain pula dilalui pemain bintang England, yang menjadikan Amerika Syarikat sebagai destinasi dipenghujung karier,  pemain yang dimaksudkan adalah Steven Gerrard (LA Galaxy) dan Frank Lampard (NY City), Jermain Defoe (Toronto) dan Wayne Rooney yang ketika ini bersama kelab DC United.

Owen Hargreaves pula merupakan pemain England kelahiran Kanada yang memulakan karier bola sepaknya di Bundesliga, Bayern Munich.

Disini kami senaraikan pemain England yang pernah mewarnai La Liga.

Laurie Cunningham

Pemain terawal England yang bermain di La Liga, Laurie Cunningham sertai Real Madrid dari West Bromwich Albion dengan harga perpindahan sekitar £950 ribu pada 1979. Cunningham menyinar bersama Madrid dan membantu Los Blancos memenangi liga dan trofi copa del rey musim 1979/80. Cunningham juga hampir memenangi kejuaraan Eropah 1981, tetapi Real tewas di pentas akhir kepada Liverpool. Cunningham pulang ke England pada 1983 dengan menyertai Manchester United setelah jarang diturunkan beraksi.

Perjalanan karier Cunningham di La Liga tidak berakhir disini, beliau kembali ke Sepanyol dengan menyertai Sporting Gijon, Cunningham akhirnya menamatkan karier di kelab Rayo Vallecano pada 1989.

Peter Barnes

Perpindahan Peter Barnes ke Real Betis bolehlah dikategorikan sebagai perpindahan ‘merajuk’. Barnes tiba ke Leeds United pada 1981 dengan harga £750 ribu dibayar kepada West Brom, Barnes gagal menyesuaikan posisi barunya iaitu selaku penyerang di Leeds, sedangkan posisi asal beliau adalah sayap. Hasilnya Barnes hanya mampu jaringkan 1 gol buat Leeds, dan kemudiannya kelab terhumban ke Divisyen Kedua.

Beberapa bulan sebelum liga tamat, Barnes didenda Leeds atas kesalahan mengeluarkan kenyataan di media bahawa dia tidak gembira lagi di Leeds. Leeds cuba mencari kelab baru untuk Barnes dengan Forest atau Manchester City berada dalam senarai kelab baru Barnes, tetapi perpindahan tidak berlaku disebabkan Forest dan MC masing-masing tidak rela kehilangan penyerang mereka sebagai syarat pelepasan Barnes.

Akhirnya Barnes merajuk sampai ke Sepanyol dengan menyarung jersi Los Verdiblancos, beliau hanya kekal semusim dan Barnes kembali ke pangkuan Leeds ketika Allan Clarke (Pengurus Leeds) tidak lagi mengendali Leeds. Barnes menjadi pemain yang terumbang ambing selepas itu.

Gary Lineker

Penghijrahan Lineker ke Barcelona berlaku selepas penampilan terbaiknya bersama England di pentas Piala Dunia 1986. Lineker memenangi Kasut Emas (6 gol, hatrik lawan Poland saingan kumpulan, 2 gol lawan Paraguay di Round of 16, 1 gol lawan Argentina di Suku Akhir). Terry Venables selaku Pengurus Barca ketika itu memainkan peranan dan berjaya meyakinkan Lineker (menyertai Barca).

Harga £2.8 juta dibayar kepada Everton dan Lineker tiada masalah walaupun bermain diluar England, buktinya dia jaringkan 20 gol dalam penampilan sulung di La Liga termasuk hatrik dalam perlawanan El Classico.

Ketika kelab England digantung dari menyertai Kejohanan Eropah, Lineker memenangi Piala Eropah bersama Barcelona.

Lineker kembali ke England pada 1990 dengan menyertai Tottenham dan berjaya membantu Spurs memenangi Piala FA. Berpuluh anugerah peribadi dikecapi Lineker sepanjang karier bola sepaknya terutamanya anugerah penjaring terbanyak.

Sammy Lee & Michael Robinson

Selepas melalui zaman kemuncak di Liverpool dengan memenangi kejuaraan Domestik dan Eropah, Lee bergelut dengan prestasi selepas pulih dari kecederaan, beliau berhijrah ke QPR pada 1986 dan kembali bergabung bersama rakan lama di Livepool, Michael Robinson.

Lee dan Robinson sama-sama menyertai Osasuna dari QPR pada 1987.

Vinny Samways

Samways memenangi Piala FA bersama Tottenham pada 1991, tetapi kariernya kurang menarik di England. Perjalanan bola sepaknya melawan arus kerana Samways lebih berjaya di Sepanyol berbanding tanah kelahirannya England. Samways sertai Las Palmas dari selepas karier suram di Everton (sehingga terpaksa dipinjam keluar ke Wolves dan Birmingham)

Berbeza dengan pemain England yang lain, Samways menyertai kelab bawahan Sepanyol, Las Palmas yang ketika itu bermain di Segunda Division. Selepas 3 musim, kesetiaan Samways berbaloi apabila kelab berjaya naik ke La Liga setelah muncul juara Segunda Division 1999/00. Samways juga pemain England pertama menjadi Kapten kelab di Sepanyol. Malangnya, Las Palmas tak kekal lama di La Liga pabila tamatkan musim 2001/02 dikedudukan ke-18.

Samways mendapat tawaran kelab La Liga, Sevilla dan bergandingan bersama pemain seperti Javi Navarro, Jose Antonio Reyes (Mendiang) dan Dani Alves. Samways bermain 10 perlawanan liga semusim dengan 8 perlawanan dikesebelasan utama dan 6 perlawanan bermain 90 minit. Beliau kembali ke England selepas itu dengan menyertai kelab liga bawahan, Walsall dipenghujung karier.

Steve McManaman

Macca menjadi pemain England kedua yang menyertai Real Madrid. Macca terlebih dahulu menandatangani kontrak pada Januari 1999 tetapi kontrak akan bermula pada pra-musim akan datangnya.

Ketika tiba di Real, Macca dikejutkan dengan pelbagai berita buruk, kelab yang mempunyai nama sebegitu gah itu sebenarnya mengalami masalah bebanan hutang yang serius, ramai pemain penting dilepaskan demi kelangsungan kelab termasuk nama besar seperti Panucci dan Seedorf.

Sebagaimana Gary Lineker berjaya di Barca atas nama bintang England, harapan sama diletakkan peminat Real kepada Macca. Permulaan Macca langkah kiri apabila Real tewas di kejohanan Piala Dunia kelab kepada Necaxa pada penentuan tempat ketiga, Macca sendiri gagal menyudahkan tendangan penalti perlawanan tersebut.

Gandingan bersama Redondo sebagai jentera tengah Real membuahkan hasil dengan kejuaraan UCL 1999/00, Real tewaskan kelab senegara Valencia 3-0 dan Macca sendiri mencetak 1 gol dipentas akhir itu. Nak ulas pasal Macca dengan Real ni kena buat 1 artikel khas tuan-tuan, pendek kata Macca memang sangat disenangi oleh peminat, Pengurus (Vicente del Bosque ketika itu) dan rakan-rakan dikalangan pemain.

Bergelut dengan masalah kecederaan yang membuatkannya terlepas banyak perlawanan, Macca membuat keputusan kembali ke England dengan menyertai Manchester City dan kembali bergabung bersama rakan ‘Spice Boys’, Robbie Fowler.

Beliau tetap digelar sebagai legenda kelab Real, malah pemain seperti Owen dan Bale yang sendiri pernah mendapatkan pandangannya sebelum menyertai Real sebagai orang yang pernah bermain di Real Madrid, walaupun akhirnya kita semua tahu Owen gagal di Real dan Bale pula masih tak pandai bertutur dalam bahasa Sepanyol walaupun dah 6 tahun menetap disana..haha

David Beckham

Tak sempurna artikel ini jika tidak sertakan nama Beckham sebagai pemain yang pernah bermain di Liga Sepanyol. Dan penulis yakin pembaca sangat tertunggu-tunggu nama ni..pemain bola sepak yang digelar selebriti antarabangsa.

Konfrontasi antara Beckham dengan Sir Alex Ferguson ditamatkan dengan perpindahan Beckham ke Real dengan harga €37juta, disebabkan nombor 7 dimiliki oleh Kapten, Raul ketika itu. Nombor 23 menjadi pilihan Beckham berinspirasikan nombor milik lagenda bola keranjang, Michael Jordan.

Walaupun membentuk gandingan serba bintang (‘Galácticos’) bersama Zidane, Ronaldo dan Figo. Ianya tidak menjanjikan kejuaraan buat Real, hanya selepas musim ke-4, Beckham meraih trofi pertama bersama Real dengan memenangi kejuaraan liga, kejuaraan yang ditentukan pada hari terakhir perlawanan atas kelebihan perbezaan jaringan kerana terikat sama mata dengan Barca, ironinya kemenangan ini diraih selepas Zidane dan Ronaldo tidak lagi bermain untuk Real Madrid.

Pemain lain: Raphael Meade (Real Betis), Adrian Heath (Espanyol), Dalian Atkinson (Real Sociedad), Mark Draper (Rayo Vallecano), Stan Collymore (Real Oviedo), Jermaine Pennant (Real Zaragoza), Patrick Roberts (Girona).

Kongsi Artikel Ini

Rahim Giolorossi merupakan salah seorang admin AS Roma Malaysia.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.