Perisai Komuniti atau lebih internasionale disebut Community Shield seperti kita tahu merupakan perlawanan pembuka tirai sebelum sepak mula sebenar liga musim baru. FA Community Shield mempertaruhkan Juara EPL dan Juara Piala FA, jika Juara adalah dari pasukan yang sama, naib juara EPL akan diberi peluang mengisi tempat tersebut seperti yang berlaku ketika ini, dimana Manchester City telah menggondol kejuaraan EPL dan Piala FA, dan sebenarnya turut membolot sama kejuaraan Piala Liga musim 2018/19.

Jadi Liverpool mendapat ihsan boleh bermain dalam perlawanan ini..

Sejarah Perisai Komuniti

Mula dilangsungkan pada tahun 1908, FA Community Shield dilangsungkan bagi mengganti Sheriff of London Charity Shield (SLCS), SLCS adalah perlawanan melibatkan pasukan juara liga Profesional, menentang pasukan Amatur. Bermula tahun 1898 hingga 1907, perlawanan SLCS dimenangi oleh pasukan Profesional sebanyak 7 kali, 2 dimenangi pasukan Amatur, sekali kejuaraan dikongsi.

Setelah timbang tara, kejohanan SLCS ini dilihat berat sebelah, pasukan Profesional menentang pasukan Amatur dah tentulah menjanjikan kelebihan yang begitu ketara buat pasukan Profesional, bila mana memihak kepada Amatur pula, ianya menerima aib pasukan Profesional, pendek kata pasukan Profesional tetap kena “bahan” sama ada kalah atau menang..haha

Juara Liga Profesional Lawan Juara Liga Amatur

Edisi sulung FA Community Shield pada 1908 menemukan Juara Division 1, Manchester United bertemu Juara Liga Selatan (Liga Amatur), Queen Park Rangers. MU menang 4-0 pada perlawanan ulangan setelah perlawanan pertama terikat seri 1-1.

Pertemuan Juara Liga Profesional lawan Juara Liga Amatur ini berlangsung selama 5 edisi, pasukan juara liga Profesional menang 4 dan Brighton and Hove Albion menjadi pasukan liga Amatur tunggal memenangi perlawanan ini (tahun 1910, kalahkan Aston Villa 1-0).

Pada 1913 pula, FA Community Shield melibatkan pertemuan antara pasukan Pilihan Profesional menentang pasukan Pilihan Amatur (yang dimenangi pasukan Profesional 7-2). Bila liga disambung semula selepas tamat Era Perang Dunia Pertama, FA Community Shield menemukan pula pasukan Juara Division 1 (West Brom) menentang Juara Division 2 (Tottenham).

Tahun 1921, buat pertama kali kejohanan menemukan Juara Division 1 (Burnley) menentang Juara Piala FA (Tottenham).

Juara Liga Dominasi Kejuaraan

Sejak tahun 1921 yang menemukan antara Juara Liga Division 1 (kini EPL) menentang Juara Piala FA, Juara liga telah memenangi 52 kali, sementara 25 dimenangi oleh pasukan dari Juara Piala FA.

Kongsi Kejuaraan Jika Seri

Ketika kejohanan atas nama Sheriff of London Charity Shield lagi, jika perlawanan berakhir dengan keputusan seri, kedua-dua pasukan akan berkongsi kejuaraan, dan bila penentuan sepakan penalti telah diperkenalkan dalam bola sepak, ianya tidak dilaksanakan dalam kejohanan ini

Hanya bermula tahun 1993, ketika EPL juga telah diperkenalkan hasil penstrukturan semula dari Liga Divison 1, sepakan penalti digunapakai buat pertama kali bagi menentukan pemenang kejohanan dan format kongsi kejuaraan tidak lagi digunakan.

Manchester United tumpaskan Arsenal menerusi sepakan penalti 5-4 setelah terikat kedudukan 1-1.

MU Juara Terbanyak

MU bukan sahaja merupakan juara sulung iaitu pada tahun 1908, sehingga hari ini, MU juga mengumpul kejuaraan terbanyak FA Community Shield dengan 21 kejuaraan, 4 daripadanya menerusi perkongsian kejuaraan.

Liverpool merupakan juara kedua terbanyak selepas MU, tetapi rekod ini telah disamakan Arsenal pada edisi 2017 iaitu sebanyak 15 kejuaraan, sementara Liverpool kali terakhir menang pada tahun 2006.

Chelsea Paling Kerap Kalah

Chelsea pula bermain dalam kejohanan ini sebanyak 13 kali dan beraksi 6 kali dalam 10 tahun terakhir, malangnya Chelsea hanya menang sekali dalam 6 penampilan terakhir. Jumlah keseluruhan Chelsea tewas adalah sebanyak 9 kali menjadinya rekod sebagai pasukan paling banyak kalah di kejohanan FA Community Shield ini.

13 PENAMPILAN, 4 MENANG, 9 KALAH..

Perlawanan Persahabatan?

Ada yang mengatakan FA Community Shield ibarat perlawanan persahabatan sahaja, tetapi ramai pengurus yang menepis dakwaan ini kerana bagi mereka FA Community Shield tetap mempunyai prestij sendiri dan pemain terbaik tetap akan dibariskan bagi merebut Piala pembuka tirai Liga musim baharu.

Biasanya pasukan yang kalah akan cakap ini perlawanan tak penting bagi menutup malu, tapi cuba mereka menang, dah tentulah topik ini akan terus mereka bincangkan hingga akhir musim..haha

Liverpool Atau MC?

Apa pula pendapat pembaca?Piala tiada kelas?Bagaimana pula pilihan pasukan menang?Liverpool atau Manchester City?Anda rasa?

Kongsi Artikel Ini

Rahim Giolorossi merupakan salah seorang admin AS Roma Malaysia.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.