Mungkin ramai antara kita tertanya macam manalah hidup bergelar penjaga gol ketiga kelab. Yalah, adalah hampir mustahil untuk kita dapat melihat aksi mereka dalam perlawanan kompetitif sepanjang musim. Nak nampak batang hidung mereka di bangku simpanan pun jarang-jarang.

Untuk setengah peminat, status penjaga gol ketiga ni mungkin satu kehidupan yang membosankan. Tak dapat main.

Tak kurang juga ada peminat yang sinis mengatakan status ni menyeronokkan. Dapat gaji buta. Kalau dapat jadi macam Paulo Lopes di Benfica lagi sedap. Siap berkalung-kalung pingat dapat. Lagi banyak piala dia daripada penampilan. Kahkahkah.

Dan dalam satu temuramah bersama BBC baru-baru ni, bekas pemain kebangsaan England, Robert Green mendedahkan kehidupannya sebagai penjaga gol ketiga.

ROBERT GREEN SEBAGAI PENJAGA GOL KETIGA CHELSEA

Robert Green sekarang ni merupakan penjaga gol ketiga di Chelsea. Dia menyertai kelab gagah perkasa ni pada Julai 2018.

Ianya satu perpindahan yang di luar imiginasi Robert Green. Ketika tu, dia tengah berura-ura nak bersara dari sukan bola sepak. Ini selepas kontraknya tamat bersama Huddersfield. Yalah, umur dah 38 tahun. Tiba-tiba Chelsea datang meminang khidmat.

Mungkin kes Robert Green ni umpama Fasha Sanda tak percaya yang dia kahwin semula selepas menjanda tiga tahun lima bulan.

Di Chelsea, Robert Green berada di belakang Kepa Arrizabalaga dan Wily Caballero. Kepa Arrizabalaga adalah pilihan pertama The Blues. Yalah, penjaga gol termahal kot.

Wily Caballero pula akan lakukan penampilan kalau Kepa Arrizabalaga tidak bersama kesebelasan utama. Robert Green sampai ke saat ni belum sekali pun diturunkan untuk beraksi bagi Chelsea.

Salah satu tujuan Chelsea menandatangani Robert Green sebagai penjaga gol ketiga adalah untuk mengisi kuota pemain berstatus “homegrown”. Manakala bagi pihak Robert Green pula dia nak merasakan pengalaman bola sepak di kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL).

Alasan Robert Green dapat difahami jika kita lihat CV atau resume dia. Selain Huddersfield Town, Robert Green pernah bermain di Leeds United, Queens Park Rengers, West Ham United dan Norwich City.

Persoalannya, apa kejadah pengalaman berada di kelab bola sepak elit EPL tapi kalau tak berpeluang langsung nak diturunkan dalam perlawanan liga.

TUGAS PENJAGA GOL KETIGA

Berbeza dengan kebanyakan penjaga gol ketiga di kelab lain, Robert Green ni sebenarnya berpengalaman luas dalam aksi sebenar liga. Dia pernah menggalas jawatan sebagai penjaga gol utama kelab. Dengan merekodkan 609 penampilan liga.

Cumanya, kali terakhir dia beraksi dalam liga adalah pada musim 2016/17. Itupun dalam Liga Championship bersama Leeds United. Semusim di Hudddersfield Town selepas itu, Robert Green tak buat sebarang penampilan liga pun.

Di peringkat kebangsaan pula Robert Green pernah buat penampilan bersama skuad Three Lions sebanyak 12 kali. Khairul Fahmi Che Mat England ni pernah bergelar penjaga gol kebangsaan nombor satu pada 2010.

Di Chelsea, Robert Green masih kena berlatih bersama Kepa Arrizabalaga dan Wily Caballero. Walaupun kemungkinan untuk Robert Green diturunkan dalam perlawanan adalah tersangat-sangat tipis.

Robert Green akui ada sikit perbezaan lah latihannya berbanding masa dia jadi penjaga gol utama dulu. Kalau jadi penjaga gol ketiga ni latihannya adalah lebih berbentuk taktikal. Jadinya beberapa hari sebelum perlawanan, Robert Green akan berlatih jadi sebagai penjaga gol lawan yang Chelsea bakal hadapi.

Namun, bagi Robert Green, perbezaan paling ketara adalah hari perlawanan itu sendiri. Dia masih akan ikut pasukan ke stadium. Termasuklah perjalanan membabitkan perlawanan di gelanggang lawan (“away”).

Robert Green masih kena masuk mesyuarat pra-perlawanan. Masih kena memanaskan badan sebelum perlawanan. Tolong pasukan sama ada untuk tangkap bola semasa kawan sepasukan berlatih merembat ke arah gol. Atau juga semasa kawan sepasukan berlatih buat hantaran lintang dalam kotak penalti.

Dan apabila perlawanan nak bermula, tugas Robert Green atas padang pun selesai. Dia tukar baju. Pergi cari teh. Dan duduk di kalangan penonton di stadium. Tapi tugas luar padang Robert Green pula bermula.

Dia akan menonton perlawanan. Ini untuk dapatkan sudut perspektif yang mungkin tak dapat dilihat oleh barisan kejurulatihan di bangku simpanan. Atau sudut perpektif yang rakan sepasukan tak nampak semasa berada di atas padang.

Dan segala apa yang diperhatikan oleh Robert Green ni akan dijadikan sebahagian daripada input bagi analisis pasca perlawanan.

Itulah sebahagian daripada kerja penjaga gol ketiga yang mungkin tak terlihat oleh dunia bola sepak. Mungkin status ini tak glamour. Kurang dikenali. Tapi janganlah dikata makan gaji buta. Mereka juga ada sumbangan di sebalik tabir dalam membawa kejayaan kepada pasukan.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

BBC, 2019, Matthew Henry, Premier League: Chelsea’s Robert Green describes life as a third-choice goalkeeper

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.