Setelah pelbagai khabar angin bertiup sepoi-sepoi bahasa bagai bayu laut menampar dedaunan kelapa, maka sahlah Adidas akan terus menaja bagi membekalkan kit kepada Real Madrid sehingga musim 2027/28.

Adidas ni sudah membekalkan kit kepada Real Madrid semenjak 1998 lagi. Fuh, tahun Ella menyanyi lagu “Standing In The Eyes of the World” dan ratu gimnas pujaan ramai, El Regina Tajudin beraksi di Sukan Komanwel Malaysia.

Sejak dari itu, sudah beberapa kali pembaharuan kontrak dilakukan. Kontrak Adidas bersama Real Madrid sedia ada sekarang ni bakal tamat pada hujung musim 2019/20. Dengan kedua-dua pihak menandatanganinya pada 2011.

Di bawah terma kontrak sedia ada, Real Madrid dikhabarkan menerima €40 juta semusim daripada Adidas. Tapi nilai tu jadi €35 juta semusim selepas kelab berkenaan menerima duit pendahuluan sebanyak €40 juta masa awal-awal tandatangan dulu.

Kalau nak dibandingkan dengan kelab-kelab besar lain di Eropah, nilai yang diterima oleh Real Madrid ni memang rendah. Tak sepadan dengan reputasi jenama dan kejayaan di atas padang.

Hatta dalam portfolio Adidas sendiri, Manchester United jauh lapan tiang hadapan Real Madrid. Kelab syaitan merah yang tegar berada di nombor 6 EPL itu menerima sekitar £75 juta setahun. Dengan nilai keseluruhan kontrak £750 juta bagi tempoh 10 tahun.

Tapi dengan kontrak penajaan baru yang bakal efektif bermula musim 2020/21 nanti, Real Madrid berdesup memotong kelab Syaitan Merah yang juga mesra dikenali sebagai ‘Real Madrid B’.

Walaupun Adidas dan Real Madrid mendedahkan nilai keseluruhan kontrak, tapi khabar angin mengatakan ia berjumlah €1.1 billion. Kalau dibahagikan, adalah dalam €137.5 juta semusim.

Masyuk. Sekurang-kurangnya, Los Blancos dapatlah suntikan kewangan sedap. Terutamanya selepas merancang mahu menaik tarafkan Santiago Barnabeu dengan kos €575 juta.

Tak dapat dinafikan salah satu faktor yang menjadikan nilai penajaan kit kelab semakin meningkat adalah kerana persaingan sengit di kalangan syarikat pakaian sukan gergasi. Masing-masing mahukan kelab besar menjadi sebahagian daripada portfolio mereka.

Kalau dulu, Adidas banyak berlawan dengan Nike. Tapi sekarang, Puma pun dah mula menunjukkan taringnya bagi menyaingi kedua-dua syarikat tersebut. Pada bulan Mac lepas mereka sudah berjaya mendapatkan Manchester City, menerusi kontrak bernilai £650 juta bagi selama 10 tahun.

Dengan termaktubnya berita rasmi Adidas-Real Madrid ni, maka kita bolehlah tengok pula bagaimana syarikat pakaian berlumba untuk mendapatkan Liverpool dan Paris Saint-Germain selepas ni. Kedua-dua ni tengah sibuk mengira-ngira kontrak penajaan baru.

Sumber: Sports Pro Media

Kongsi Artikel Ini

Sebuah Page Bola Yang Melangkah 786,025 Ke Hadapan


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.