Nampaknya kelab Tottenham Hotspur mendapat khabar gembira berganda pada minggu ini.

Khabar pertama, mereka telah dapat balik kampung apabila kembali dapat beraksi di laman sendiri. Sebuah stadium baru yang mengagumkan lagi canggih. Hampir dekat dua tahun Spurs menumpang kasih di Stadium Wembley.

Kali terakhir mereka bermain di stadium sendiri (dahulunya White Hart Lane) adalah pada 14 Mei 2017. Manchester United menjadi tetamu terhormat terakhir mereka bagi stadium bersejarah tersebut.

Mungkin ada peminat Manchester United dah lupa peristiwa ni. Tak apa, sama-samalah kita faham. Sebabnya Manchester United kena sembelih 2-1 pada hari tu.

Khabar kedua pula adalah Tottenham Hotspur secara rasminya adalah pemegang rekod dunia sebagai kelab bola sepak yang mencatat keuntungan tertinggi.

Terdahulu, rekod ni dipegang oleh kelab yang dah 29 tahun tak menang Liga Perdana Inggeris. Ah, siapa lagi kalau bukan kelab yang disokong oleh Reem Shahwa, Liverpool.

Why Reem Shahwa, why???? Banyak lagi lebih baik kot yang boleh menjadi pilihan hatimu.

Pada awal Februari lepas, Liverpool mengumumkan keuntungan selepas cukai bagi tahun kewangan (bukan tahun kewayangan ye) 2017/18 sebanyak £106 juta. Satu rekod dunia.

Tapi ianya tak bertahan lama. Sebabnya pada minggu ini Tottenham Hotspur merekodkan keuntungan selepas cukai bagi tahun kewangan yang sama sebanyak £113 juta.

PENDAPATAN TOTTENHAM HOTSPUR

Jika dibedah penyata kewangan Spurs ni, pendapatan mereka bagi 2017/18 adalah sebanyak £380 juta. Sebagai perbandingan, pendapatan Spurs pada tahun sebelumnya adalah £310 juta. Satu kenaikan sebanyak hampir 23%.

Peningkatan ni adalah disebabkan Tottenham Hotspur bermain di Stadium Wembley. Ya, walaupun menumpang, banyak juga yang Spurs dapat manfaat. Di Stadium Wembley kapasitinya gila babi besar. Berganda-ganda lebih besar daripada Stadium White Hart Lane.

Lihat sajalah purata kedatangan penonton di White Hart Lane semasa musim Liga Perdana Inggeris 2016/17. Jumlahnya 31,639. Tapi pada musim 2017/18, puratanya meningkat mendadak kepada 67,496. Maka tak hairanlah pendapatan hari perlawanan EPL Spurs meningkat daripada £19 juta kepada £43 juta.

Kemaraan Tottenham Hotspur sehingga peringkat 16 pasukan dalam Liga Juara-Juara pada musim lepas juga membantu meningkatkan pendapatan kelab. Mereka meraih £53 juta daripada kejohanan ni.

Selain dari tu, tahun kewangan 2017/18 juga adalah musim pertama Tottenham Hotspur bersama Nike. Tajaan baru ini sedikit sebanyak mula memberi kesan peningkatan positif kepada pendapatan kelab.

Untuk rekod, Spurs dianggarkan menerima £30 juta setahun bersama Nike. Jumlah ini adalah tiga kali ganda ketika bersama Under Armour sepanjang lima tahun sebelumnya.

PERBELANJAAN TOTTENHAM HOTSPUR

Jila diselururi bahagian perbelanjaan pula, jumlah kos gaji Spurs yang direkodkan pada tahun kewangan 2017/18 adalah £148 juta.

Banyak?

Hurmmmm. Kalau anda nak tahu, di antara “big 6” EPL, kos gaji Tottenham Hotspur adalah paling ciput sekali. Angka ini adalah separuh daripada jumlah kos gaji Manchester United yang menduduki di tempat pertama (£296 juta).

Hatta, jurang di antara jumlah kos gaji Spurs dan Arsenal yang berada di tangga kelima pun agak besar. Kelab seteru kuat Spurs tu membelanjakan £223 juta pada musim 2017/18. Fuh, beza dekat £75 juta beb.

Ironisnya, pemilik dan pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy menjadi eksekutif paling tinggi bayarannya dalam EPL. Pada musim 2017/18, penyata kewangan Spurs menunjukkan Daniel Levy menerima pakej bayaran sebanyak £3 juta.

Memang dasar Pak Levy, kalau duit libatkan orang lain semua dia tekan nak bagi murah. Termasuklah semasa dia berunding nak beli pemain baru. Tapi kalau pasal dia, semua nak masyuk dan sedap saja. Termasuklah semasa dia berunding nak jual pemain dia.

HUTANG TOTTENHAM HOTSPUR

Walaupun Tottenham Hotspur mencatat rekod keuntungan selepas cukai, mereka juga sekarang ni berdepan dengan beban hutang stadium baru. Jumlah pinjaman pembinaan stadium ni melonjak dari £400 juta pada 2016/17 kepada £537 juta pada 2017/18.

Kos pembinaan stadium ni adalah kira-kira £1 billion. Dan sebahagian daripadanya adalah dibiayai menerusi fasiliti pinjaman daripada HSBC, Goldman Sachs, dan Bank of America Merryl Lynch.

Stadium baru Spurs ni dilanda pelbagai isu sepanjang projek pembinaannya. Sehingga menyebabkan tarikh siapnya telah ditunda. Patutnya masa awal musim 2018/19 dah dibuka.

Tapi ni dah dekat akhir musim, baru boleh digunakan kelab tersebut. Itu yang buatkan kos pembinaan jadi melonjak. Walhal kos pembinaan pada asalnya dinilai pada £750 juta saja.

Ha, jangan ingat dekat Malaysia saja ada projek sakit.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.