Pada 2016, UEFA telah memecahkan tradisi mereka bagi penganjuran perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL). Mereka mengambil selebriti terkenal dan pemenang Grammy, Alicia Keys untuk melakukan persembahan nyanyian sebagai upacara pembukaan yang berlangsung di Milan.

Kalau edisi sebelum-sebelum tu, upacara pembukaan lebih terarah kepada persembahan “choreography”, seperti tarian, pertunjukan tradisional. Kemudian disusuli lagu tema kejohanan. The Champioooooons.

Setahun selepas penampilan Alicia Keys, kumpulan Black Eyed Peas pula dijemput. Ini diikuti pula Dua Lipa pada perlawanan akhir UCL 2018. Seperti Alicia Keys, kedua-dua mereka juga adalah pemenang anugerah Grammy.

Dan untuk edisi tahun ini, kumpulan band rock Imagine Dragon pula yang bakal melakukan persembahan.

DI SEBALIK PERUBAHAN TRADISI

 

 

Sebenarnya, perubahan ni adalah bertitik tolak selepas Pepsi menjadi salah seorang rakan penaja kepada UEFA. Merekalah yang bertanggungjawab dalam mengadakan persembahan pembukaan tersebut.

Memandangkan syarikat yang terkenal dengan minuman ringan ni berasal dari Amerika Syarikat, maka mereka pun nak bawa budaya sana ke dalam bola sepak Eropah juga. Di sana, persembahan nyanyian memang menjadi satu kebiasaan dalam sukan American Football, dengan ianya diadakan semasa separuh masa.

Oh ya, bila cakap American Football ni, jangan salah sangka atau tertukar dengan bola sepak yang menampilkan Zlatan Ibrahimovic dan Wayne Rooney di sana tu. Ini sukan yang macam ragbi tu.

Untuk rekod, Pepsi telah menandatangani kontrak bersama UEFA selama 3 tahun. Bermula daripada musim 2015/16 hinggalah 2017/18. Dan pada Februari 2018, satu lagi kontrak lanjutan telah ditandatangani. Dengan Pepsi akan kekal sebagai rakan penaja sehingga musim 2020/21.

KEM YANG TIDAK BERSETUJU

Semenjak daripada 2016, pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak mengenai keputusan UEFA mengadakan persembahan nyanyian selebriti terkenal sebagai upacara pembukaan perlawanan.

Bagi yang tak bersetuju, alasan mereka adalah persembahan sedemikian mematikan gelora emosi sebelum perlawanan.

Selalunya, ini bukan geng-geng bangsa “final”. Jenis memang penyokong tegar kelab. Mereka akan melompat, bersorak dan menyanyi. Mungkin disertai kutukan-kutukan atau “banter”. Ikut kreativiti masing-masing. Senang cerita, ia adalah sebagai “build-up” atau pemanas suasana sebelum kedua-dua pasukan berbaris nak memasuki padang.

Ini ditambah pula, pengalaman buruk semasa persembahan Black Eyed Peas. Kumpulan ni dah tak sesedap macam dulu-dulu. Sampaikan ada orang troll Black Eyed Peas sama dengan Manchester United. Dua-dua jadi lemau selepas Fergie keluar.

Dan lebih menyakitkan hati, perlawanan pada tahun tersebut lambat dimulakan beberapa minit. Sebabnya, kumpulan berkenaan dan penari lambat keluar padang. Dah nampak macam sukan bola sepak pula dikorbankan untuk hiburan nyanyian.

OBJEKTIF UEFA

Sebenarnya, benda sebegini bukan baru dalam bola sepak. Malahan, persembahan nyanyian turut diadakan sebagai pembuka tirai seperti di kejohanan Piala Dunia.

Bagi UEFA, tujuan mereka berbuat begini adalah untuk menarik lebih ramai manusia di muka bumi yang fana ni untuk menonton perlawanan akhir UCL. Lagi pun dunia sukan dan dunia hiburan tak ada garis pemisah yang jelas. Kedua-duanya nak mengisi ruangan hati penonton untuk berhibur.

Bak kata pengarah pemasarannya, Guy-Laurent Epstein,

“Perlawanan akhir UCL ni tak sama macam mana-mana perlawanan biasa liga. Penontonnya ada pelbagai sifat. Lokasi perlawanan bertempat di stadium yang neutral. Jadi, ada peminat neutral yang hadir ke stadium. Lagipun jumlah kehadiran kedua-dua penyokong pasukan (pada perlawanan tu) adalah sama.”

“Perlu tahu, perlawanan ni bukan saja untuk mereka-mereka yang berada di stadium. Tapi juga orang di depan TV dari seluruh dunia. Mungkin ada antara diorang ni kita boleh tukarkan jadi pengikut bola sebenar.”

“Persembahan macam ni akan mempelbagaikan lagi penonton, boleh bawa lebih ramai perempuan untuk tengok bola. Kita nak kumpulkan lebih ramai penonton yang bukan terdiri daripada penyokong kelab. Itu sebenarnya tujuan kita.”

MENGANALISIS KEDUA-DUA PANDANGAN

Dalam isu ni, sukar untuk mengatakan pihak yang mana satukah benar. Atau mana satukah yang salah. Kedua-duanya mempunyai alasan yang baik.

Bagi penyokong tegar sukan bola sepak, pastinya mereka mahukan mengekalkan tradisi kebiasaan sukan bola sepak. Suasana bingit. Penuh emosi, mengujakan dan menaikkan segala bulu roma yang ada di badan. Kalau boleh, biar sampai didengari oleh pemain pasukan mereka yang sedang bersiap di dalam bilik persalinan.

Bagi penganjur (UEFA) pula, mereka juga mahu mempopularkan kejohanan tersebut. Lebih ramai penonton, maka lebih tinggi “rating” siaran TVnya.

Bila jadi macam ni, maka lagi sedap UEFA nak tarik syarikat korporat untuk menjadi rakan penaja. Dengan terma atau klausa yang lebih lumayan. Dan lagi sedap mereka nak menaikkan pendapatan daripada penjualan hak penyiaran.

Mungkin ada yang nampak UEFA ni seolah-olah macam kapitalis. Tapi jangan lupa, pendapatan ini jugalah bakal diagih-agihkan kepada pasukan yang bertanding melalui wang ganjaran. Seterusnya, ia juga menjadi pendapatan kepada kelab. Dapatlah membiayai pembelian pemain, pembayaran gaji dan juga pembinaan infrastruktur sukan kelab.

Pendapat anda bagaimana?

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

2019, Reuters, Brian Homewood, Champions League final – football match or showbiz extravaganza?

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.