“Bosan. Pentas Eropah dah jadi game EPL.”

Sungguh tak puas hati “haters” Liga Perdana Inggeris (EPL) mengenangkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Eropah (UEL) pada musim ini menjadi hak milik kelab Inggeris.

Ini merupakan pertama kali dalam sejarah kejohanan Eropah, keempat-empat slot perlawanan akhir dibolot oleh kesemuanya oleh satu liga atau negara.

Pencapaian paling kuat sebelum ini pun hanyalah tiga slot saja yang dimiliki oleh sesebuah negara. Masa tu musim 2015/16. Real Madrid dan Atletico Madrid mara ke perlawanan akhir UCL, manakala Sevilla pula di UEL.

Bagi geng penyokong bola sepak Inggeris, ini merupakan satu pencapaian yang sedap. Bolehlah berkepak dengan geng penyokong La Liga.

Lebih-lebih lagi mengenangkan trofi UCL dah berada di Sepanyol selama lima tahun berturut-turut sebelum ni. Dalam tempoh yang sama juga, trofi UEL turut dibawa balik ke Sepanyol sebanyak empat kali, kecuali 2016/17.

Namun dalam kegembiraan geng EPL dengan kejayaan ni, sudah timbul pula keresahan mereka di England sana.

1. JAUH GILA BAKU NI DARI LONDON

Chelsea dengan Arsenal ni hakikatnya dipisahkan 12 km saja di London. Tapi untuk perlawanan akhir UEL pada 29 Mei nanti, kedua-dua pasukan dengan penyokongnya akan bermusafir melebihi dua marhalah ke Baku, Azerbaijan. Er, jarak antara kedua ibu kota ni adalah sekitar 3,967 kilometer. Humang aihhh.

Baku ni dah betul-betul berada di pinggir benua Eropah. Menariknya, Baku ni lagi timur dari ibu kota Arab Saudi (Riyadh) dan juga Iraq (Baghdad). Dari Baku ni, kalau nak pergi ke Karachi di Pakistan adalah lebih dekat berbanding ke London. Fuh.

Perjalanan menggunakan kapal terbang secara terus London-Baku bakal memakan masa sekitar 5 jam setengah. Tapi masalahnya, pada minggu perlawanan UEL tu tak ada penerbangan terus ke Baku dijadualkan. Kah!

Jadi, penyokong-penyokong mungkin ambil penerbangan yang memerlukan transit di tempat lain dulu seperti Istanbul atau Kyiv. Hasilnya, masa keseluruhan perjalanan pun akan jadi lebih panjang, dengan maksimum jadi 14 jam saja bagi sehala. Letih.

Nak naik kereta sendiri? Huh, lupakan. Perjalanan sehala saja boleh memakan masa sampai 58 jam. Itupun kalau tak berhenti makan, sembahyang, tidur, kencing dan berak.

2. UEFA BAGI TIKET CIPUT PADA ARSENAL DAN CHELSEA

Lokasi perlawanan akhir bukan hanya satu-satu masalah yang timbul untuk geng Arsenal dan Chelsea.

UEFA hanya memperuntukkan 6,000 keping tiket kepada setiap kelab. Sedangkan Stadium Olimpik Baku ni ada kapasiti 68,700. Fuh, memang patutlah Chelsea dan Arsenal rasa tak puas hati.

Macam Arsenal tu, diorang punya pemegang tiket semusim pun dah cecah 45,000. Itu yang kelab pening kepala macam mana jual tiket ni kepada penyokong tanpa mengecewakan majoriti majoriti daripada mereka.

UEFA pula dah cepat-cepat pertahankan keputusan ni. Katanya, tak guna nak peruntukkan tiket banyak-banyak kepada kedua-dua kelab. Belum tentu ada di kalangan geng penyokong kelab ni sanggup nak berjalan jauh ke Baku. Pulak dah.

Memang patutlah Jurgen Klopp kutuk pihak yang buat keputusan menganugerahkan lokasi perlawanan akhir UEL di Baku.

3. KAPITALIS MUNGKIN NAK NAIK HAJI CEPAT

Penyokong Liverpool dan Tottenham Hotspur pun ada masalah mereka sendiri juga. Kegembiraan mereka untuk ke Madrid bagi perlawanan akhir UCL pada 1 Jun bertukar menjadi kepedihan.

Bila mereka buka saja internet nak tempah tiket penerbangan dan penginapan, terus jadi terkejut beruk tengok harga naik mencanak-canak. Stok potong leher punya. Hisap darah sampai tak tinggal setitik.

Bayangkan saja, ada hotel di Madrid yang biasanya kadar €150 satu malam, tiba-tiba boleh naik sampai €1,000. Macam tu juga penerbangan. Harga tiket kapal terbang bajet pergi balik London-Madrid biasanya £100 saja. Tiba-tiba boleh naik sampai £1,500. Kalah pula tiket pergi balik dari London ke Kuala Lumpur.

Penyokong-penyokong ni cuba berkreatif dengan mencari alternatif lain. Terbang ke bandar lain dalam Sepanyol atau juga negara jirannya. Dan kemudian pakai jalan darat ke Madrid. Tapi hampa, tiket kapal terbang ke tempat-tempat tu pun sama naiknya berlipat kali ganda.

Tak dapat dipastikan sama ada geng-geng kapitalis ni nak pergi haji cepat. Atau pun nak buat umrah balik hari.

4. ULAT TIKET PERLAWANAN AKHIR UCL

Liverpool dan Tottenham Hotspur turut menerima nasib hampir serupa dengan Chelsea dan Arsenal dalam pembahagian tiket. UEFA hanya mengagihkan 16,613 keping tiket bagi tiap-tiap kedua-dua kelab ni. Sedangkan kapasiti Stadium Wanda Metropolitano tu adalah 68,000.

Kalau nak diikutkan memang jumlah tu tak cukup bagi penyokong kedua-dua kelab. Memang berbakul-bakullah UEFA kena maki dengan geng Liverpool dan Tottenham Hotspur di bulan Ramadhan yang mulia ni.

Alasan UEFA senang saja. Baki tiket yang tak diagihkan kepada kelab, sama ada perlawanan UCL atau UEL sudah pun diberikan kepada pihak lain.

Antaranya orang awam, persatuan bola sepak kebangsaan, rakan penaja, syarikat penyiaran dan UEFA sendiri. Kalau kelab-kelab yang bertanding di peringkat tu mahu merayu ditambah peruntukan, memang peluang tu agak tipis.

Tapi masalahnya dah ada ulat menjual tiket perlawanan akhir UCL dalam internet dengan harga yang tak masuk akal. Sampai £5,500 sekeping dalam portal ticketgum.com. Sedangkan yang dijual melalui kelab adalah sekitar £60 hingga £513.

Ha, jangan ingat ulat tiket ni ada di Malaysia saja. Eh, rasanya ni bukan ulat atau lintah darat dah. Mungkin sus scrofa lebih sesuai.

Tak tau apa tu sus scrofa? Ah, sila tanya google.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.