Johor Darul Ta’zim menjadi nama besar dan agung dalam bola sepak Malaysia dalam lima tahun kebelakangan ini.

Usaha ini terhasil dari air tangan Tunku Ismail (TMJ) yang menjenamakan seluruh pasukan bola sepak di Johor pada lewat 2012 untuk beraksi dalam Liga Malaysia.

Ramai yang memperlekehkan usaha beliau untuk mengubah landskap bola sepak Johor pada ketika itu. Orang kita mana sukakan perubahan, bila berubah mesti nak kritik, itu tak kena, ini tak kena.

Transformasi JDT bukanlah seperti kisah Emma Maembong dan Fathia Latiff yang berubah berhijab namun selang beberapa tahun, hasrat itu terkubur dan kembali ke takuk lama. Tak bersedia katanya.

Larkin Yang Indah !

Permulaannya, JDT memperbaiki pemandangan di Stadium Larkin. Daripada stadium yang usang, tidak terjaga kini ia menjadi stadium yang paling lawa di Malaysia. Mereka juga tampil menggunakan papan iklan elektronik.

Selepas itu, beberapa pihak stadium mula mencontohi apa yang dilakukan mereka. Ada pasukan yang mula menambah baik bilik persalinan mereka dan kerusi bangku simpanan mereka.

Gaji Tinggi !

‘Harimau Selatan’ juga menjadi pencetus kepada taraf gaji yang diterima para pemain bola sepak di Liga Malaysia pada hari ini. Mereka telah memulakan untuk menawarkan gaji lumayan kepada pemain.

Walaupun tidak mampu menyamai nilai gaji pemain JDT, pasukan lain telah mula meningkatkan nilai gaji pemain kepada nilai yang lebih tinggi. ‘Ukur baju di badan sendiri’, pepatah ini perlu diingati setiap pasukan.

Dalam konteks ini, ada baik dan buruknya. Nilai pasaran gaji yang tinggi ini telah mencipta masalah tunggakan gaji daripada pasukan kerana dana untuk perbelanjaan pasukan zaman kini sudah meningkat.

Lihat sajalah, ada beberapa pasukan yang tidak mampu membayar gaji. Dalam isu ini, aku rasa berlaku kerana gaji pemain tinggi dan dana pasukan tidak mampu menampungnya.

Tapi perkara ini menjadi permulaan kepada sikap pasukan untuk lebih menghargai pemain dengan memberikan pulangan setimpal. Setiap pasukan juga perlu bijak dalam menentukan nilai gaji.

Stadium Sultan Ibrahim !

Beberapa tahun lalu, JDT mengumumkan mereka bakal membina sebuah stadium milik mereka sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Larkin.

Ini merupakan penanda aras paling utama dalam pembangunan bola sepak di Malaysia. Stadium yang bakal dibuka dengan kapasiti 20,000 tempat duduk ini bakal menjadi mercu kebanggaan JDT.

Cuba anda sebutkan, stadium mana di Liga Malaysia yang sememangnya dibina menggunakan dana asal kelab? Pasti sukar anda mencari jawapan seperti anda mencari lawak Mamat Sepah.

Felda United memiliki Stadium Jengka namun ia merupakan dana kerajaan. Di sinilah kredibiliti JDT menjadi sesuatu yang perlu di lihat sebagai satu batu loncatan oleh pasukan lain.

Sebutlah tentang anak jati dan sebagainya, jika tidak memiliki stadium sendiri ia tetap tidak akan sempurna.

Penutup!

Ramai yang akan sentiasa tidak gemar melihat JDT kerana ego dan sikap mereka ketika musim perpindahan berlaku tetapi tetap ada perkara yang boleh kita contohi.

Pasukan di Liga Malaysia sewajarnya perlu beralih zaman kepada zaman yang lebih maju terutamanya dalam aspek pengurusan pasukan.

P/S: Artikel di atas adalah pendapat peribadi penulis. Bola Tonjol seperti biasa, sentiasa kekal berkecuali dalam hal-hal berkaitan isu ‘deep’ seperti artikel ini.

Nota: Tulisan ini dikongsi oleh saudara Azhan Mohi. Boleh follow FB beliau di sini.

Kongsi Artikel Ini

Anda berminat dalam penulisan tentang bolasepak? Salurkan kekreatifan anda dengan menghantar artikel kepada kami di thebolatonjol@gmail.com


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.