Mungkin ramai yang tak berapa kenal dengan nama Pablo Garcia. Namanya tak lah sepopular Pablo Aimar legenda JDT. Atau mungkin juga Luis Garcia legenda Liverpool tu.

Tetapi bagi geng tegar melayan La Liga di era awal dan pertengahan 2000-an, Pablo Garcia mudah untuk menarik perhatian oleh kerana gaya rambut belah tengah serta bermuka jambu persis vokalis New Boyz, penyanyi lagu Sejarah Mungkin Berulang.

Pablo Gabriel García Pérez dilahirkan di Pando, Uruguay pada 11 Mei 1977. Beliau memulakan karier bola sepaknya bersama kelab Montevideo Wanderes, kemudian ke CA Penarol.

Sebagai seorang yang bertutur dalam bahasa Sepanyol sepanjang masa, Pablo Garcia tak fikir panjang untuk berhijrah jauh ke bumi Sepanyol dengan menyertai pasukan remaja Atletico Madrid.

AC Milan

Lebih kurang 3 tahun di Madrid, Pablo Garcia meluaskan kariernya ke Itali pula dengan menyertai AC Milan. Kalau ada member korang mengaku penyokong Milan cuba-cuba lah tanya kenal tak Pablo Garcia.

Beliau diberi nomber jersi 55, sama nombor dengan Lazar Marković di Liverpool. Selama setahun dengan penampilan tak sampai 5. Haa, jadi boleh bayangkanlah betapa payah Pablo Garcia ni nak dapat main dibawah kendalian Alberto Zaccheroni, Cesare Maldini dan Mauro Tassotti. Eh, ramai pulak pengendali Milan musim 2000/01 ni. Haha.

Masa tu, kau rasa budak umur 23 tahun boleh ke nak bersaing dengan Demetrio Albertini, Gennaro Gattuso dan Massimo Ambrossini? Kebetulan pula dah nak dekat Piala Dunia 2002 Korea-Jepun. Kalau Pablo Garcia kurang penampilan memang payah dia nak dapat panggilan menyertai skuad kebangsaan Uruguay.

Sehinggalah enam bulan sebelum Piala Dunia tu, Milan meminjamkan keluar Pablo Garcia ke Venezia. Dengan 14 penampilan bersama Venezia tu, terpanggilah Pablo Garcia menyarung jersi biru laut Uruguay.

Pablo Garcia bermain dalam kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan untuk Uruguay. Tapi malangnya beliau tak mampu membantu negaranya, dan terkandas di tempat ketiga kumpulan A.

CA Osasuna

Resume Pablo Garcia sebagai pemain utama Uruguay di Piala Dunia 2002 telah menarik minat kelab tempat kelahiran pemain Chelsea ketika ini, César Azpilicueta. Di sinilah bermulanya sebuah cinta. Pablo Garcia diberikan nombor 16.

‘Debut’ Pablo Garcia cemerlang dengan jaringan golnya di minit akhir perlawanan. Osasuna yang ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama telah berjaya melakukan “comeback” dengan mengikat Vilarreal 2-2. Pablo Garcia juga membantu Osasuna mara sehingga ke separuh akhir Copa del Rey bagi musim pertamanya.

Rebut bola dengan Dani Alves

Pablo Garcia menerima kad merah pertama dalam kariernya ketika perlawanan akhir Copa del Rey 2005, ketika menentang Real Betis. Beliau melakukan kekasaran di betis pemain Betis, Joaquín, yang cuba untuk melengahkan masa setelah pasukannya mendahului dengan jaringan 2-1.

Real Madrid

Pablo Garcia menyertai Real Madrid dengan harga €4.5 juta. Ini bolehlah dikira agak membanggakan bagi pemain dari kelab seperti Osasuna yang boleh menarik minat kelab besar seperti Real Madrid. Tapi tahap kebanggaan tu taklah terlalu tinggi sangat. Sebabnya, Real Madrid juga ada Thomas Gravesen yang dibeli dari Everton, sembilan bulan sebelum ketibaan Pablo Garcia.

Oh lupa, masa ni juga Real Madrid beli Sergio Ramos dari Sevilla. Fuh, kira memang dah lama sungguhlah Ramos dekat Real Madrid ni kan? Dari zaman Thomas Gravesen lagi.

22 penampilan semusim buat Real Madrid, Pablo Garcia dipinjamkan keluar ke Celta Vigo, dan kemudiannya ke Real Murcia.

PAOK

Pablo Garcia menyertai kelab Greece, PAOK Thessaloniki secara percuma setelah tamatnya kontrak tiga tahun di Real Madrid. Beliau menerima tiga kad merah dalam enam perlawanan awal buat PAOK. Brutal habis beb. Mungkin beliau berkongsi saka dengan Sergio Ramos sekali.

Pablo Garcia juga digantung tiga perlawanan kerana terlibat dalam pergaduhan semasa perlawanan “rivalry” di antara PAOK menentang Olympiacos. Olympiacos ketika itu dibimbing oleh Ernesto Valverde dan Pablo Garcia bergaduh dengan penyerang JDT ketika ini, Diogo Luís Santo.

Musim kedua, Pablo Garcia sangat cemerlang sebagai pemain tengah bertahan kental. PAOK hanya melepaskan 16 gol dalam 30 perlawanan liga. PAOK menyambungkan kontrak Garcia dan keserasiannya di bumi Yunani bertahan hingga ke penghujung kariernya.

Ketika ini, Pablo Garcia merupakan jurulatih bagi skuad remaja PAOK.

Sempena tarikh 11 Mei ni, penulis ucapkan selamat hari jadi, idola!

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber : The Best Footballers – Pablo Gabriel García is a Uruguayan footballer as a defensive midfielder

Kongsi Artikel Ini

Rahim Giolorossi merupakan salah seorang admin AS Roma Malaysia.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.