Trent Alexander-Arnold cuba melakukan hantaran lintang daripada sebelah kanan. Namun, kaki Sergio Roberto berjaya menghalang. Bola keluar daripada padang. Sepakan sudut bagi Liverpool!

Seorang budak Milo menggolekkan sebiji bola yang lain masuk ke ke arah bek kanan Liverpool tersebut. Kaki Trent Alexander-Arnold melangkah beredar daripada sudut padang. Kemudian, dengan cepat dia berpatah balik, dan mengambil sepakan sudut.

Pemain Barcelona terpinga-pinga bagaikan baru bangkit selepas tidur Asar. Bola menuju tepat ke arah Divock Origi. Oleh kerana dia bukan seperti Alvaro Morata atau Fernando Torres semasa di Chelsea, Divock Origi dengan lazatnya menjaringkan gol.

Satu kejuruteraan taktikal “set piece” yang menakjubkan. Semuanya adalah kerana tindakan pantas budak Milo yang berusia 14 tahun tadi. Namanya Oakley Cannonier.

ASAL BUDAK LEEDS

Oakley Cannonier ni sebenarnya berasal dari Leeds. Dan dia dah berlatih bersama akademi Leeds United sejak umurnya 6 tahun.

Jangan tak tahu, masa umur dia 7 tahun, Oakley Cannonier ni pernah ditemuramah oleh akhbar The Sun. Siap boleh sembang pasal isu semasa bola sepak di England ketika tu.

Antaranya, dia kata Fabio Capello tak sesuai jadi pengurus England, Luis Suarez sepatutnya bersalaman dengan Patrice Evra walaupun bermusuhan. Patrice Evra pula tak patut menari-nari depan Luis Suarez selepas Manchester United menang ke atas Liverpool.

Dia siap boleh cakap dalam bola sepak tak boleh ada perangai rasis. Dan sukan tersebut sepatutnya menggantung terus sesiapa yang bersikap macam tu. Perghhh. Ini kalau jawab soalan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) dekat Malaysia, mahu kacang putih saja bagi dia.

Berpindah ke akademi Liverpool, Oakley Cannonier dianggap salah seorang prospek muda. Dia seringkali bermain dalam skuad yang dua tahun lebih tua daripadanya. Oakley Cannonier juga pernah dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik bagi kejohanan Youth Football Tournament Ateitis yang diadakan di Lithuania pada 2016.

Masa ni Liverpool menghantar skuad bawah-13 dan bawah-14 nya bertanding. Ha, tuan puan abang kakak congaklah sendiri berapa umur Oakley Cannonier masa tu. Boleh tahan budak ni.

HARI SEBELUM KEJADIAN

Menjelang perlawanan timbal balik kedua menentang Barcelona, pengurus operasi skuad utama Liverpool, Ray Haughan ada berjumpa dengan Carl Lancaster. Dia mahu jurulatih akademi tu beri taklimat tugasan khusus untuk budak-budak Milo di Anfield nanti.

Penganalisis taktikal di Liverpool perasan pemain-pemain Barcelona ni kaki ‘komplen’ setiap kali ada keputusan pengadil tak menyebelahi mereka. Di sinilah geng Liverpool ni tadi dapat idea nak ambil peluang.

Ini ditambah pula dalam kejohanan Liga Juara-Juara menggunakan sistem “multi-ball”. Satu bola yang telah disepak keluar padang, boleh digantikan dengan bola lain. Dan perlawanan boleh kembali bersambung dengan cepat.

Ini berlainan dengan Liga Perdana Inggeris, yang pakai sistem “single match ball.” Perlawanan hanya akan dimainkan kembali apabila bola asal yang disepak keluar tadi dipulangkan ke dalam padang.

Dengan kesemua faktor ni tadi, budak Milo perlu menghantar bola yang keluar tadi secepat yang mungkin kepada pemain Liverpool semasa menerima kunjungan Barcelona. Ini untuk mengurangkan masa berharga terbuang (yalah, ketinggalan 3-0 kot). Mengekalkan kelajuan tempo Liverpool. Serta mengambil kesempatan dari kesenduan pemain Barcelona selepas bola terkeluar.

Ketelitian Jurgen Klopp dan pegawaianya dalam mencari kemenangan ni memang menakjubkan. Sampaikan benda sekecil-kecil pun diambil perhatian. Memang patutlah Jurgen Klopp ambil jurulatih lontaran ke dalam untuk skuadnya pada awal musim lalu. Ya, jurulatih “throw-in” saudara saudari.

KESIMPULAN

Tindakan Oakley Cannonier mendapat pujian daripada pelbagai pihak seperti Graeme Souness dan juga Jose Mourinho sendiri. Khabarnya, Oakley Cannonier dan keluarga diberi tiket masuk ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Wanda Metropolitano nanti. Ianya sebagai ganjaran dalam menyumbang kepada kemaraan Liverpool.

Oh ya. Trent Alexander-Arnold juga merupakan bekas budak Milo dan produk akademi Liverpool juga. Apakah Oakley Cannonier juga bakal mengikut jejak langkah abang seniornya tu menyarung jersi Liverpool satu hari nanti?

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.