“Rileks. Korang yakin je diri sendiri. Dan berhentilah menganggap lawan korang dalam liga ni sebagai superhero.”

Begitulah lebih kurang mesej yang diberikan oleh Nuno Espirito Santo selepas perlawanan pertama musim 2018/19. Oh, ya, ini juga adalah perlawanan pertama EPL bagi Wolverhampton Wanderers dalam masa enam musim, setelah mereka bermain liga bawahan.

Dalam perlawanan itu, Wolves berjaya mengikat Everton 2-2 di laman sendiri. Satu keputusan yang sangat-sangat boleh dibanggakan.

Menekan butang “fast forward”, Wolves berjaya mengalahkan beberapa kelab “big 6” EPL pada musim ini. Manchester United. Chelsea. Tottenham Hotspur. Dan Arsenal. Mereka juga berjaya mengikat Manchester City.

Dengan persembahan Wolves pada musim ini, mereka berada di tangga ke-7 liga. Di belakang sebuah pasukan yang peminat selalu keliru sama ada ‘Syaitan Merah’ atau ‘Ayam Masak Merah’, iaitu Manchester United. Wolves kini sudah memasang angan bakal beraksi di pentas Liga Eropah pada musim 2019/20.

Bagi Nuno Espirito, pihak EPL telah mencalonnya bagi anugerah Pengurus Terbaik Musim 2018/19, bersaing bersama Mauricio Pochettino, Jurgen Klopp dan Pep Guardiola. Ramai peminat bola sepak neutral mahukan Nuno Espirito memenangi anugerah ini.

Selain itu, Universiti Wolverhampton juga telah menganugerahkan gelaran Doktor Kehormat dalam sukan kepada Nuno Espirito sejurus sebelum perlawanan terakhir liga di Stadium Molineux bagi musim ni.

Nampak gaya, mesej yang disampaikan oleh Nuno Espirito memang betul-betul berazimat.

ZAMAN PEMAIN YANG MEMBENTUK NUNO ESPIRITO

Nuno Espirito merupakan anak kelahiran pulau Sao Taome. Dia dilahirkan pada tahun 1974, setahun sebelum kepulauan itu diberikan kemerdekaan oleh Portugis, dan menjadi sebahagian negara baru yang dikenali sebagai Democratic Republic of Sao Taome and Principe.

Kerjayanya sebagai pemain bola sepak professional tidaklah terlalu gemilang. Dia lebih banyak bergelar sebagai penjaga gol simpanan di merata-rata kelab yang disertai. Antaranya, Vitoria Guimaraes, Deportivo La Coruna, Dynamic Moscow dan Porto.

Namun begitu, episod kariernya di Deportivo La Coruna antara salah satu fasa terpenting dalam membentuk Nuno Espirito seperti yang kita nampak pada hari ni.

Perpindahannya ke Deportivo La Coruna adalah hasil ejennya, Jorge Mendes. Masa tu, Jorge Mendes belum lagi bergelar super ejen. Manakala Nuno Espirito pula adalah klien sulung bagi Jorge Mendes.

Sehingga kini, Jorge Mendes masih lagi merupakan ejen kepadanya. Satu kesetiaan yang mungkin sukar ditandingi Aliff Aziz. Eh. Hubungan ini jugalah antara faktor yang membolehkan Nuno Espirito beroleh jawatan sebagai pengurus di Wolverhampton Wanderers pada musim panas 2017.

Nuno Espirito bersama Deportivo La Coruna dari 1997 hingga 2002. Dia hanya melakukan empat penampilan liga. Sepanjang tempoh itu juga, Nuno Espirito pernah dipinjamkan keluar ke kelab Sepanyol lain, seperti Merida dan Osasuna.

Sekali pandang, kita bolehlah rumuskan karier Nuno Espirito di Deportivo La Coruna ni gagal. Lebih-lebih lagi mengambil kira usianya ketika itu, yang sepatutnya berada di puncak. Namun begitu, di sinilah Nuno Espirito mempelajari segala taktikal bola sepak.

Menurut Dani Mallo, iaitu bekas rakan sepasukannya di Deportivo La Coruna, kehidupan Nuno Espirito bukan sekadar datang ke padang latihan untuk berlatih dan kemudian pulang ke rumah dengan gembira. Wat lek wat kool.

Dia selalu mempersoalkan sesuatu taktikal yang direncanakan oleh jurulatih. Dan kadang-kadang tu sampai tak takut nak beri idea kepada strategi perlawanan.

Mungkin Nuno Espirito ni jenis yang bukan kisah kalau ada mamat kata, “hek eleh, kau tak main pun, tapi nak berdebat banyak dengan jurulatih pulak.”

Pada Julai 2002, Porto mengambil keputusan untuk mendapatkan Nuno Espirito daripada Deportivo La Coruna dengan nilai €3 juta. Ketika itu, Porto baru saja dikendalikan oleh Jose Mourinho sekitar 7 bulan.

Nuno Espirito bersama Porto sehingga Januari 2004. Sepanjang tempoh tersebut, Porto berjaya merampas kembali kejuaraan trofi Primeira Liga, Taca de Portugal, Supertaca Candido de Oliveira, Liga Eropah serta Piala Intercontinental.

Walaupun Nuno Espirito banyak memanaskan bangku simpanan di Porto, ia merupakan satu “blessing in disguise”. Dia dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana Jose Mourinho melaksanakan taktikal-taktikal agung yang memberikan kejuaraan demi kejuaraan kepada kelab.

Di dalam bilik persalinan pula, Nuno Espirito belajar dan taksub dengan falsafah “percaya boleh menang walaupun menentang kelab lebih besar” yang diterapkan oleh Jose Mourinho. Impak yang besar diberikan oleh Jose Mourinho menjadikan Nuno Espirito sebagai “football manager-in-waiting.”

Kiranya lebih kurang macam “Prime Minister-in-waiting” lah. Eh.

NUNO ESPIRITO PASCA KARIER SEBAGAI PEMAIN

Karier Nuno Espirito sebagai pemain bola sepak professional tamat pada musim panas 2010. Ini selepas Porto memutuskan untuk tidak lagi menyambung kontraknya.

Pada tahun yang sama, dia menyertai bekas pengurusnya, Jessualdo Ferreira di Malaga sebagai sebahagian dari barisan kejurulatihan. Apabila Jessualdo Ferreira berhijrah ke Panathinaikos, Nuno Espirito Santo turut sama mengikut.

Mei 2012 menjadi titik “breakthrough” bagi Nuno Espirito. Dia dilantik menjadi pengurus Rio Ave yang baru, selepas perlucutan jawatan Carlos Brito. Bagi Nuno Espirito, ini merupakan satu cabaran agak besar memandangkan Rio Ave bermain dalam Primeira Liga, liga tertinggi dalam Portugal.

Mujurlah Nuno Espirito pernah bermain di Portugal. Satu bekalan pengetahuan berharga tentang luar dalam bola sepak Portugal, serta mengenali orang yang mampu menolongnya di kelab.

Tiada sasaran awal khusus diletakkan. Nuno Espirito hanya mahu nasib Rio Ave lebih baik berbanding sebelum ni. Mungkin kerana falsafah cuba sehabis baik, Rio Ave menamatkan kedudukan mereka di tangga ke-6 liga pada musim pertama Nuno Espirito. Memang satu peningkatan jelas lagi nyata.

Musim kedua, Nuno Espirito mula bayangkan suatu yang lebih besar. Mereka mara ke perlawanan akhir kejohanan Taca de Portugal dan juga Taca de Liga. Namun, kejayaan paling besar adalah Rio Ave berjaya mendapatkan slot ke peringkat pusingan kelayakan Liga Eropah pada musim berikutnya, 2014/15.

Ini merupakan julung-julung kalinya ‘malam Eropah’ dalam rekod sejarah Rio Ave. Tapi Nuno Espirito tidak merasai hasil usahanya itu. Selepas berakhirnya musim 2013/14, dia memutuskan untuk menerima tawaran kontrak semusim dari Valencia. Ketika itu, Valencia baru saja diambil alih oleh Peter Lim, seorang billionaire dari Singapura.

Nuno Espirito menganggap pengalamannya di Valencia sangat mengujakan. Dengan Stadium Mestalla yang mampu memuatkan 55,000 penyokong, kebisingan desibel suaranya adalah sangat-sangat jauh berbeza dengan Rio Ave.

Musim pertama Nuno Espirito di Valencia, tiada ‘malam Eropah’ buat Stadium Mestalla, akibat kegagalan penyandang sebelumnya. Satu nasib yang sedikit berbeza dengan Rui Ave. Namun, Nuno Espirito berjaya mengemudi Valencia ke tangga keempat La Liga. Dan ini melayakkan mereka kembali ke Liga Juara-Juara.

Memasuki musim kedua di Valencia, nasib Nuno Espirito berubah. Prestasi Valencia dalam La Liga terumbang ambing. Ini membuatkan Nuno Espirito mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada 29 November 2015.

Di sebalik rekod yang tak berapa sedap tu, Nuno Espirito masih boleh bersyukur kerana mampu mengutip pengalaman mengendalikan pasukan di Liga Juara-Juara. Satu “plus point” di dalam resumenya bagi menarik kelab-kelab yang mendambakan aksi Eropah.

Setelah lebih setengah tahun tak ada kerja, kelab lama Nuno Espirito, Porto, datang memberikan kerusi pengurus kepadanya. Porto menyediakan sasaran yang perlu dicapai oleh Nuno Espirito bagi musim 2016/17.

Mereka ada pusingan “play-off” Liga Juara-Juara, menentang AS Roma. Dan kelab mahukan Nuno Espirito menang supaya dapat bermain di Liga Juara-Juara. Objektif utama ni dapat dicapai oleh Nuno Espirito setelah menumpaskan kelab Itali tersebut dengan aggregat 4-1.

Objektif Porto lain adalah untuk membawa kembali kejuaraan ke Estadio Dragao setelah kabinet trofi kelab berhabuk selama dua musim. Dengan Porto menghuni tangga kedua Primeira Liga sambil tak menang piala kejohanan lain, Nuno Espirito telah ditunjukkan jalan keluar dari kelab pada akhir musim.

Sekali lagi, Nuno Espirito tak makan hati. Dia mengambil pengalaman itu dari sudut positif. Sebagai mana positifnya ketika dia menjadi penjaga gol simpanan dulu-dulu.

Walaupun tempohnya di Porto singkat, Nuno Espirito belajar beberapa perkara yang penting dan berharga. Tak kalah bukan semestinya perkara yang baik. Sebab ia boleh jadi bererti seri atau menang. Dan seri bukanlah satu benda yang baik untuk kelab besar seperti Porto.

Pandangan ini timbul selepas Porto merekodkan 10 seri pada musim tersebut. Memang banyak gila. Dan faktor inilah yang membuatkan mereka gagal memintas Benfica bagi kejuaraan liga.

Dan untuk mencapai kemenangan pula ia adalah bukan sekadar sekadar memikirkan siapa yang bermain di atas padang bagi melaksanakan taktikal dirancang. Pada Nuno Espirito, ia jauh lebih besar daripada tu.

“Kau kena bekerja 24 jam sehari. Hidup kau tak boleh nak senang lenang dan rileks-rileks. Kau kena tanam dalam minda mesti nak menang. Supaya benda ni yang selalu mendesak-desak kau untuk jadi semakin kuat dari hari ke hari.”

“Kau tak boleh nak rasa sedap-sedap walau pun dapat keputusan perlawanan tak baik. Kau kena ada perasaan yang teruk gila. Dan kau kena benci untuk lalui perasaan tu, sampai buatkan kau tak boleh tidur malam tu. Dan yang kau tahu adalah yang kau kena bersedia untuk pergi ke tempat latihan pada pagi esok untuk buat sesuatu yang lebih baik.”

Sembilan hari selepas berakhirnya karier Nuno Espirito di Porto, dia telah diumumkan sebagai pengurus baru Wolverhampton Wanderers. Ketika itu, kelab ni berada dalam Liga Kejuaraan.

Sekali imbas, Nuno Espirito dilihat mengambil langkah ke belakang. Ini memandangkan status dua kelab yang dikendalikannya sebelum ni. Tapi Nuno Espirito menganggapnya sebagai tempat baru bagi menguji idea dan falsafahnya.

Dan setakat ini, tak keterlaluan kalau kita katakan yang idea dan falsafah Nuno Espirito adalah menjadi.

Hail Dr. Nuno Espirito Santo!!!

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

1. The Guardian, 2019, Stuart James, Nuno Espírito Santo the substitute who became a benchmark for success

2. The Guardian, 2018, Wolves’ Nuno Espírito Santo: ‘You join a philosophy, a view of how football works’

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.