Mungkin ramai tak ingat yang seorang ratu cantik, seperti Erra Fazira bercinta dengan penyanyi rock, Dato’ Ahmad Azhar bin Othman.

Atau mungkin lebih ramai yang tak terlintas langsung model cantik persis gadis Cina, Nasha Aziz sebenarnya pernah bertunang dengan pelakon yang suka buat muka kerek dalam layar, Faizal Hussein.

Macam mustahil! Tapi itulah realiti.

Dan perkara ‘macam mustahil tapi realiti’ tu jugalah berlaku dalam bola sepak. Ada pemain terkenal pada hari ni rupanya pernah bermain bersama-sama pada zaman dahulu kala. Dan mungkin kita dah tak ingat atau terlintas pun.

Sila baca untuk mengenang momen tersebut.

1. DAVID SILVA DAN JUAN MATA

Seorang di Manchester United, seorang di Manchester City. Mereka berdua bermain bagi dua jiran berseteru. Tapi sejarah pernah merekodkan Juan Mata dan David Silva ni pernah bermain bagi pasukan yang sama. Er, pasukan yang dimaksudkan tu bukanlah sekadar skuad kebangsaan Sepanyol, tetapi Valencia.

Ya, Valencia, yo. Bukan Antonio Valencia.

David Silva merupakan produk akademi Valencia. Pada musim 2006/07, dia mula menjadi sebahagian daripada skuad utama ‘Los Ches’, sehinggalah berhijrah ke Manchester City pada musim panas 2010.

Juan Mata pula adalah lepasan akademi Real Madrid, tetapi berpindah ke Valencia pada Jun 2007. Dia bersama Los Ches selama empat musim sebelum disambar oleh Chelsea pada nilai £23.5 juta.

Kedua-dua mereka merupakan kesebelasan utama Valencia semasa menjulang Copa del Rey 2008, apabila menewaskan Getafe 3-1. Itulah trofi terakhir yang dimenangi Valencia sehingga kini.

2. CRISTIANO RONALDO DAN GERARD PIQUE

Sebelum Cristiano Ronaldo mengambil keputusan berhijrah ke Juventus, kedua pemain-pemain ni bermain bagi dua pasukan seteru juga. Seorang di Real Madrid, seorang di Barcelona.

Perlawanannya kedua-dua pasukan ni sentiasa panas lagi hangat. Penuh dengan debaran lagi beremosi. Jadinya, bila Cristiano Ronaldo dan Gerard Pique beramas mesra selepas wisel penamat perlawanan ditiupkan, memang ada yang merasa pelik. Mungkin mereka dah terlupa yang kedua-dua pemain ni pernah bersama di Manchester United semasa zaman muda-muda dulu.

Cristiano Ronaldo berhijrah ke Manchester United pada 2003 ketika berusia 18 tahun. Manakala Gerard Pique pula tiba semusim selepasnya pada usia 17 tahun.

Namun nasib kedua-dua pemain ni berbeza di Old Trafford. Cristiano Ronaldo mencapai status lagenda, lebih-lebih lagi menyarung jersi nombor 7.

Manakala Gerard Pique pula bergelut dengan masalah “homesick”, serta ketakutan tahap agung pada kapten Roy Keane. Dia gagal memecah dominasi Rio Ferdinand-Nemanja Vidic di bahagian bek tengah Manchester United.

Kedua-dua mereka sempat bersama dikalungkan pingat Liga Juara-Juara pada 2008.

3. EDEN HAZARD DAN PIERRE-EMERICK AUBAMEYANG

Dua-dua bermain di London. Tapi kelab berlainan. Satu di Chelsea, satu di Arsenal.

Walaupun perseteruannya taklah sekuat Manchester United-Manchester City atau juga Real Madrid-Barcelona, mungkin kita tertanya bila masa Eden Hazard dan Pierre-Emerick Aubameyang ni pernah bermain bersama.

Ok. Eden Hazard memulakan kariernya bersama Lille, pada 2007. Dia bermain di kelab Perancis tersebut sehinggalah 2012, apabila menyertai Chelsea.

Sepanjang di Lille, ada pelbagai nama-nama pemain bola sepak terkenal yang menjadi rakan sepasukan Eden Hazard. Patrick Kluivert, Joe Cole, Dmitri Payet dan errr Pierre-Emerick Aubameyang.

Mungkin orang terlepas pandang pasal Pierre-Emerick Aubameyang ni kerana tempohnya di Lille tak lama. Dia dipinjamkan dari AC Milan selama semusim pada 2009/10. Dan Pierre Emerick-Aubameyang ni pun taklah sampai menjadi kesebelasan utama di Lille pun. Namun, dia. masih pernah bermain bersama-sama Eden Hazard.

4. SERGIO AGUERO DAN DAVID DE GEA

Seorang penggempur berbisa yang menjaringkan gol demi gol. Seorang lagi penjaga gol kental yang kadang-kadang menepis percubaan gol di luar jangkauan akal manusia.

Seorang di Manchester City. Seorang di Manchester United.

Itulah David De Gea dan Sergio Aguero. Dua identiti berlawanan. Tapi itu atas padang.

Luar padang, mereka adalah rakan. Kalau siapa pernah menonton dokumentari Manchester City, All Or Nothing, Sergio Aguero pernah mengaku salah satu cara nak hilangkan kesunyian hidup di Manchester adalah dengan cara keluar lepak minum mengeteh dengan David De Gea.

Ini tak menghairankan. Sebabnya Sergio Aguero dan David De Gea pernah bersama-sama dalam satu skuad senior di Atletico Madrid. Dari 2009 hinggalah 2011.

Kedua-dua mereka sempatlah membantu Atletico Madrid Piala Eropah dan juga Super Cup UEFA pada 2010. Dan setahun kemudian, kedua-dua mereka keluar dari Los Colchoneros untuk menyertai kelab-kelab di Manchester.

5. JOSHUA KING DAN MARCO REUS

Joshua King ni memang pelik. Daripada nama pun dah pelik. Tak hairanlah kalau ada orang boleh sangka yang dia ni orang Inggeris. Walhal dia ni berasal dari Norway.

Semasa remajanya, dia pernah bermain bagi Valerenga sebelum menyertai errr, akademi Manchester United. Rasanya, peminat Manchester United pun tak perasan yang Joshua King ni pernah jadi sebahagian daripada keluarga Setan Merah.

Kalau tak perasan, tak apa. Sebabnya Manchester United asyik pinjamkan Joshua King kepada pelbagai kelab. Preston North End, Borussia Monchengladbach, dan juga Blackburn Rovers (dan akhirnya ditandatangani secara kekal oleh Blackburn Rovers). Apabila dia berpindah ke AFC Bournemouth pada 2015, barulah sahamnya naik mencanak-canak.

Semasa separuh musim di Borussia Monchengladbach, Joshua King hanya mampu melakukan dua penampilan. Tapi rakan sepasukannya ketika itu adalah Marco Reus. Ya, Marco Reus!!!

6. MAURICIO POCHETTINO DAN RONALDINHO

Errrr, Mauricio Pochettino dan Ronaldinho?

Ok. Pada Januari 2001, Mauricio Pochettino telah berhijrah ke Paris Saint Germain. Pada bulan yang sama juga, Ronaldinho tiba di kelab berkenaan dari Gremio. Kedua-dua mereka sempatlah bermain bersama selama dua musim, sebelum Ronaldinho berhijrah ke Barcelona.

Ironisnya, semusim selepas perpindahan tersebut, Mauricio Pochettino kembali ke Espanyol, iaitu kelab seteru jiran Barcelona.

7. DAVID BECKHAM DAN DAVID MOYES

David Beckham satu pasukan Davis Moyes? Ya, macam mustahil. Tapi itulah hakikatnya.

Pada tahun 1995, Alex Ferguson menghantar David Beckham (yang ketika itu belum terkenal dan belum bercinta dengan Victoria Spice Girls) ke Preston North End. Ianya atas sekadar dasar pinjaman untuk mendapat minit permainan. Ketika tu, salah seorang daripada pemain Preston North End adalah bakal pewaris Alex Ferguson di Manchester United, David Moyes.

David Beckham tak lama di Preston North End. Sekadar sebulan. Tapi “debut”nya bersama pasukan berkenaan memang diingati. David Beckham menjaringkan gol terus daripada sepakan sudut.

Pada perlawanan kedua pula, David Beckham menjaringkan gol daripada sepakan percuma. David Moyes punyalah gembira, hampir saja dia pecahkan kepala David Beckham semasa meraikan gol.

Tiga tahun selepas tu, David Moyes pun jadi pengurus Preston North End. Dan David Beckham pula ke Piala Dunia.

Oh ya, sehingga kini peminat-peminat Preston North End menganggap kehebatan David Beckham adalah disebabkan apa yang telah dia pelajari sepanjang berada di kelab berkenaan.

Errr, kehebatan David Moyes dalam menguruskan kelab tak nak “claim” sama ke, saudara?

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

BBC, 2019, Ciaran Varley, Throwback to these players you forgot used to be in the same team

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.