Sekitar 2011 hingga 2014, Mink Peeters berlatih di akademi bola sepak Ajax Amsterdam. Antara remaja yang lain yang sezaman berlatih ketika itu adalah Matthijs de Ligt dan Donny van de Beek.

Lima tahun sudah berlalu. Dunia menonton aksi Matthijs de Ligt dan Donny van de Beek apabila kelab mereka, Ajax Amsterdam, menggegarkan pentas Liga Juara-Juara (UCL). Nama mereka berdua sering saja meniti di bibir peminat. Serta sentiasa disebut-sebut dalam media, termasuklah di Bola Tonjol sendiri.

Tapi Mink Peeters?

Entah. Mungkin ramai peminat bola sepak tidak pun mengenalinya atau juga mengingatinya. Mungkin juga dia menjadi sebahagian daripada berbilliyun-billiyun (baca ikut nada bakal PM) penduduk bumi yang berteleku ikut menonton Ajax Amsterdam di UCL.

Siapa Mink Peeters?

MINK PEETERS “WONDERKID” TERHANGAT DI PASARAN

Di zaman remajanya, Mink Peeters pernah digelar dengan pelbagai label yang sedap-sedap belaka. “Wonderkids”. Prospek terhangat Eropah. Permata baru bola sepak Belanda.

Ketika dia di Ajax Amsterdam sudah ada mata-mata dari kelab besar memerhatikan bakatnya. Antaranya Atletico Madrid dan Real Madrid. Namun, Real Madrid dilihat lebih ke hadapan dan serius dalam mendapatkan Mink Peeters.

Sekitar tahun 2014, Florentino Perez telah menyasarkan Mink Peeters sebagai salah seorang dari tiga ubi muda yang bakal mewarnai masa depan Real Madrid. Dua lagi ubi muda lain adalah Marco Asensio yang berusia 18 tahun di Real Mallorca. Dan Martin Odegaard yang berusia 15 tahun di Stormsgodset.

Apabila Real Madrid menawarkan kontrak, ianya terlalu sukar bagi Mink Peeters untuk menolaknya. Bukan senang peluang macam ni nak datang. Tak semua pemain beruntung nak dipinang Real Madrid.

Namun keputusan yang diambil pemain itu jelas tak dipersetujui oleh ikon lagenda Ajax Amsterdam, Johan Cruyff. Manakala Pengarah Teknikal, Marc Overmars, pula berkata Ajax Amsterdam tak mampu menandingi jumlah wang yang ditawarkan Real Madrid.

Kenyataan ni membuatkan bapak Mink Peeters panas. Dia kata pihak-pihak dekat Ajax Amsterdam tu ada PHD. Er, ni tak ada kena mengena Phd asli mahu pun Phd palsu seperti dipakai Azizan Osman. PHD yang dimaksudkan Penyakit Hasad Dengki.

MINK PEETERS DI REAL MADRID, SADIS!

Pada Disember 2014, Mink Peeters secara rasminya menyertai Real Madrid. Dia tiba di Santiago Barnebeu bersama-sama Marco Asensio.

“Aku ni laju, pandangan pun tajam. Bukan senang geng lawan nak kawal aku.”

Begitulah kata-kata Mink Peeters di laman web Real Madrid. Memang yakin habis budak ni.

Sejurus selepas ketibaan Mink Peeters, Real Madrid menyenaraikannya dalam skuad Juvenil A, iaitu skuad utama remaja mereka. Tapi nasib buruk pula melanda.

Mink Peeters tercedera dalam satu perlawanan melibatkan skuad remaja Real Madrid. Habis patah “collarbone”. Sejak dari tu, Mink Peeters ni dah macam tak ada kemajuan dalam bola sepak. Dan dia tak berpeluang pun nak tembus skuad Castilla.

Memandangkan Mink Peeters mahukan minit perlawanan, Real Madrid pun meminjamkannya kepada kelab Eredivisie Belanda, VVV Venlo pada Ogos 2017. Tapi sadis, kehadirannya tak ada beri apa-apa kesan pun. Mink Peeters hanya diturunkan dalam satu perlawanan saja. Itupun sekadar perlawanan pusingan pertama Piala KNVB menentang kelab liga bawahan.

Pada Januari berikutnya, VVV Venlo tamatkan pinjaman. Dan Mink Peeters pun tarik beg ala-ala peserta Akademi Fantasia untuk pulang ke Madrid.

Tak lama kemudian, sekali lagi Mink Peeters dihantar balik ke Belanda. Kali ni, Real Madrid pinjamkannya kepada Almere City. Bukan kelab Eredivisie pun. Sekadar liga bawahan saja.

Mink Peeters diturunkan dalam tiga perlawanan liga. Itu pun bukan hebat mana persembahannya. Akhir musim, dia tempah tiket balik semula ke Madrid.

Memasuki musim baru, Mink Peeters sekali lagi dipinjamkan. Tapi kali ni dalam sempadan Sepanyol saja. Destinasinya adalah Lleida. Sebuah kelab dalam Segunda Divisyen B, iaitu dua tingkat di bawah La Liga.

Dan benda yang sama juga berlaku. Mink Peeters tak dapat minit perlawanan yang diharapkan. Sekadar bermain dalam dua perlawanan saja. Itupun sebagai pemain gantian. Jumlah minit permainannya di Lleida? 32 minit saja dalam masa setengah musim. Aduh.

Memasuki Januari 2019, Mink Peeters pun kembali ke Madrid. Tapi inilah kali terakhir dia bersama Los Blancos. Atas persetujuan bersama, kontraknya ditamatkan. Kalau ikut Transfermarkt, Mink Peeters menghabiskan sisa-sisa musim 2018/19 tanpa ada sebarang kelab.

Mungkin Perlis, Kelantan, Sabah atau Sarawak boleh cuba-cuba nak usha lah kot. Eh.

KESIMPULAN

Kalau nak kira, memang agak membazirlah bakat macam Mink Peeters ni. Terbuang macam tu saja. Tapi nak buat macam mana, mungkin tersilap buat pilihan. Terlalu awal sangat nak sertai kelab besar.

Dari tiga pemain yang diimpikan oleh Florentino Perez pada 2014, hanya satu saja yang betul-betul menjadi, iaitu Marco Asensio. Mungkin sebab faktor dia tiba di kelab berkenaan pada usia yang lebih matang, 18 tahun. Lagi pun, dia terus dipinjamkan kembali ke Real Mallorca buat separuh musim.

Kalaulah Mink Peeters bersabar sikit, mungkin nasibnya berbeza. Mungkin dapat jugalah merasa pentas kegemilangan pentas Eropah pada musim 2018/19 ni.

Oh ya, ada dua ubi muda Ajax Amsterdam yang turut keluar bersama-sama Mink Peeters pada 2014. Mereka ni juga berumur 16 tahun seperti Mink Peeters ketika itu.

Dua pemain berkenaan adalah Javairo Dilrosun yang berhijrah ke Manchester City, dan Timothy Fosu-Mensah ke Manchester United. Hurm, mereka ni pun suam-suam kuku juga jadinya. Kesiannnnn.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

1. Marca, 2019, The story of Mink Peeters, the player who joined Real Madrid and missed out on the Ajax revolution

2. NRC.nl, 2017, Mink Peeters: van Real Madrid naar VVV-Venlo

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.