Ketika artikel ini ditulis, carta Liga Perdana Inggeris megah diterajui Manchester City (MC) dengan kelebihan 13 mata mengatasi jiran merangkap musuh ketat, Manchester United selepas melalui 26 perlawanan.

Tapi harus diingatkan, sejarah mampu berulang. Di sini, penulis membongkar semula kisah benar Liga Perdana Inggeris di mana sebuah pasukan yang megah dengan kelebihan 12 mata, tetapi akhirnya terpaksa menyerahkan gelaran Liga Perdana kepada pasukan pencabar yang setia menunggu masa untuk memintas kedudukan.

LIGA PERDANA INGGERIS, MUSIM 1995/96

Newcastle United!

Pada 14 Januari 1996, Newcastle United yang digelar “The Magpies” berada gah di puncak liga dengan kelebihan 12 mata, dan liga masih lagi berbaki 16 perlawanan. Mereka berjaya menundukkan Coventry City 1-0 hasil gol tunggal Steve Watson. Sementara pesaing terdekat, Liverpool diikat 1-1 oleh Sheffield Wednesday. Manakala MU pula seri tanpa jaringan kepada Aston Villa di Old Trafford.

Selepas 23 perlawanan, The Magpies selesa mendahului 12 mata di tangga teratas Liga

Newcastle selesa dengan bekalan 54 mata hasil 17 kemenangan, 3 seri dan tewas sebanyak 3 kali sahaja. Meninggalkan Liverpool dan MU berkongsi 42 mata di kedudukan kedua dan ketiga.

The Magpies, yang dipimpin oleh Keevin Keegan sudah mula berkira-kira. Mereka bakal menjulang kejuaraan liga terulung ini. Kali terakhir mereka memenangi Liga ini adalah pada musim 1926/27. Hampir 70 tahun lamanya mereka menunggu saat ini. Oh gersangnya!

Keevin Keegan dan Alex Ferguson, Teman Tapi Mesra

MAC DAN MINGGU AWAL APRIL 1996

Malangnya, detik-detik hitam bermula ketika Newcastle menghadapi perlawanan ke-27 bertarikh 4 Mac 1996. Newcastle berdepan MU di tempat sendiri, dalam misi menjarakkan mata dengan mencapai kemenangan. Namun, apa yang terjadi sebaliknya, apabila MU menang 1-0 menerusi jaringan tunggal Eric Cantona. Kepulangan Eric Cantona pada Januari 1996 dari penggantungan sememangnya memberikan semangat baru buat kem MU waktu itu.

MU yang pada satu masa ketinggalan 12 mata berbanding Newcastle, kini berjaya merapatkan kedudukan apabila mencatatkan hanya kurang 1 mata selepas perlawanan itu (Newcastle 61 mata, MU 60 mata, baki 9 perlawanan).

Keadaan tambah dramatik ketika pertengahan Mac 1996. Minggu sebelumnya, MU diikat 1-1 oleh pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Queen Park Rangers. Sementara pada minggu kemudian, Newcastle kembali melebarkan jurang kepada 3 mata (Newcastle 64 mata, MU 61 mata, baki 8 perlawanan liga) setelah membenam West Ham 3-0, membalas dendam setelah The Magpies tewas 0-2 kepada West Ham pada perlawanan di bulan Februari sebelum ini.

Namun, langit tak selalunya cerah. Penghujung Mac dan di awal April 1996, Newcastle mengalami 2 kekalahan berturut-turut di tangan Arsenal dengan tewas 0-2, dan juga Liverpool, 3-4.

Stan Collymore, penyerang lagenda Liverpool berjaya menjaringkan gol kemenangan 4-3 menewaskan Newcastle United.

“Terima Kasih buat Arsenal dan Liverpool yang berhempas-pulas menewaskan Newcastle.” Mungkin itulah ‘pujian’ yang bermain di hati Alex Ferguson.

Pada masa yang sama, MU pula berjaya meraih 2 kemenangan berturut-turut, sekaligus berjaya memintas kedudukan Newcastle dengan jarak 3 mata! MU kini memiliki 67 mata berbanding Newcastle dengan 64 mata, setelah melalui 32 perlawanan liga.

Menjelang perlawanan ke 33. Newcastle kemudiannya berjaya mengatasi QPR 2-1, manakala MU pula menewaskan jiran mereka, Man City, 3-2. Arghhh, MU masih kekal sebagai pendahulu liga dengan kelebihan 3 mata sahaja berbanding Newcastle yang menngumpul 67 mata. Tinggal 5 sahaja baki perlawanan liga, musim itu.

Perlawanan ke 34 (MU menang mengatasi Coventry 1-0 , manakala Newcastle tewas 1-2 kepada Blackburn) menyaksikan MU berjaya menjarakkan 6 mata meninggalkan Newcastle. Kini MU mengumpul 73 mata, dan Newcastle dijarakkan di tempat kedua dengan 67 mata.

APRIL 1996

Bersambung perlawanan ke-35, MU tewas pula kepada Southampton, sementara Newcastle kembali merapatkan kedudukan dengan jarak 3 mata selepas menewaskan Aston Villa 1-0. Damn! Baki perlawanan kini tinggal 3 sahaja, dengan MU dan Newcastle masing-masing mencatatkan 73 dan 70 mata.

Tidak mahu mengalah, kedua-dua pasukan MU dan Newcastle masing-masing berjaya memenangi perlawanan ke 36 selepas itu.

Sungguh mendebarkan!

2 PERLAWANAN TERAKHIR LIGA, PENGHUJUNG APRIL DAN MEI 1996

MU masih mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu liga dengan mengumpul 79 mata, manakala Newcastle yang pernah menjadi penyandang liga melebihi separuh musim pula menduduki rapat di tangga kedua dengan 76 mata. Hanya 3 mata menjadi pemisah di antara 2 pasukan di atas.

Kurang 3 mata dan memiliki kelebihan 1 perlawanan berbanding MU, Newcastle sebenarnya memiliki kelebihan untuk menjadi juara liga.

MU, pada perlawanan bertarikh 28 April 1996 selesa mengatasi Nottingham Forest 5-0 (2 jaringan daripada Abang Beckham, 1 dari Paul Scholes, Ryan Giggs dan Eric Cantona). Namun, Newcastle gagal memanfaatkan peluang semasa berdepan Nottingham Forest 4 hari berikutnya, selepas keputusan perlawanan berakhir dengan seri 1-1. 2 mata masih menjadi pemisah di antara MU dan Newcastle.

Harapan untuk membawa gelaran Juara Liga ke perlawanan terakhir kian samar. MU 79 mata, Newcastle 77 mata, dan baki tinggal 1 perlawanan sahaja.

Kurang 2 mata, Newcastle mengharapkan keputusan buruk untuk MU berlaku di Stadium Riverside menentang Middlesbrough pada perlawanan terakhir, dan mereka sedar betapa wajibnya mereka menang ke atas Tottenham.

KEPUTUSAN AKHIR LIGA INGGERIS 1995/96

MU akhirnya berjaya mengesahkan kejuaraan dengan menundukkan Middlesbrough 3-0 hasil jaringan David May, Andy Cole dan Ryan Giggs. Manakala Newcastle dalam keterpaksaan hanya mampu berpuas hati di tempat kedua, apabila sekadar seri 1-1 kepada Tottenham.

Keputusan akhir, English Premier League Musim 1995/86

PENUTUP

Jadi sekarang anda dah nampak bukan? Newcastle, pada separuh season pernah mendahului 12 mata, dengan hanya baki 16 perlawanan sahaja perlu dilalui. Akhirnya, mereka tersungkur di penghujung saingan liga. Persembahan Newcastle yang tidak konsisten terutamanya pada separuh kedua musim 1995/96 seperti tewas kepada MU di tempat sendiri dan lawan, tewas berturut-turut kepada Arsenal dan Liverpool, serta sekadar seri kepada Nottingham Forest pada perlawanan ke-37 telah menyumbang kepada kegagalan mereka mempertahankan kedudukan juara liga.

Mungkinkah MU sekali lagi akan membawa watak ‘hero kalah dulu’ dalam skrip drama Liga Perdana musim ini? Nantikan…

Kongsi Artikel Ini

Rahim Giolorossi merupakan salah seorang admin AS Roma Malaysia.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.