Sebastian Haller. Ante Rebic. Luka Jovic.

Inilah gandingan tiga serangkai serangan utama yang membantu Eintracht Frankfurt mencapai prestasi mengagumkan di dalam Jerman dan juga Liga Eropah pada musim ini. Sehingga kini, ketiga-tiga mereka saja telah menjaringkan jumlah 55 gol. Lebih separuh daripada keseluruhan 89 gol yang direkodkan oleh Eintracht Frankfurt.

Namun nama yang paling menonjol sekali tentulah Luka Jovic. Berusia awal 21 tahun, Luka Jovic sudah melakar rekod sebagai pemain termuda menjaringkan 5 gol dalam perlawanan Bundesliga menentang Fortuna Dusseldorf pada 19 Oktober 2018.

Saban minggu juga kita disajikan dengan khabar angin perpindahan Luka Jovic. Bermacam-macam jenis kelab yang berminat nak mendapatkannya. Liverpool lah. Real Madrid lah. Barcelona lah. Sampai naik muak nak baca.

Andai kata, Eintracht Frankfurt bersedia melepaskan Luka Jovic, pastinya mereka mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Memang berbaloi mereka melabur ke atas pemain yang satu ketika dulu pernah dianggap sebagai tidak bagus.

Dan ini adalah hasil ketajaman Pengarah Bola Sepak Eintracht Frankfurt, Fredi Bobic dalam mengesan bakat Luka Jovic.

AWAL KARIER LUKA JOVIC

Luka Jovic menyertai Eintracht Frankfurt pada Jun 2017. Itu pun secara menerusi perjanjian “loan to buy”. Bagi Fredi Bobic, dia akhirnya berjaya dapatkan pemain yang sudah diimpikan sejak bertahun-tahun lagi.

Ketika itu, Fredi Bobic menjawat jawatan Pengarah Bola Sepak di Vfb Stuttgart. Mamat Croatia ni pergi ke rumah keluarga Luka Jovic yang terletak di Bijeljina, Bosnia Herzegovina.

Tujuannya Fredi Bobic hanya satu. Pujuk Luka Jovic untuk tidak menandatangani kontrak professional pertamanya bersama Red Star Belgrade, tapi berhijrah ke Jerman untuk bermain bersama Vfb Stuttgart. Namun misi Fredi Bobic gagal. Luka Jovic mahu kekal di kelab yang melatihnya sejak umurnya 8 tahun lagi.

“Jovic bakal menjadi penyerang terbaik di Eropah.” Itulah ramalan Pengarah Red Star Belgrade, Zvezdan Terzic.

Ramalan Zvezdan Terzic ni bukan cakap-cakap kosong kedai kopi. Atau juga borak-borak gosip pakcik-makcik bawang.

Luka Jovic melakukan debut professionalnya pada perlawanan terakhir musim 2013/14, menentang FK Vojvodina. Dia siap menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut. Walhal baru masuk dua minit sebagai pemain gantian.

Ini sekaligus menjadikan Luka Jovic sebagai pemain termuda melakukan gol dalam sejarah Red Star Belgrade. Dengan jaringan ni, dia telah memadam rekod lama milik Dejan Stankovic yang dicipta pada tahun 1995.

Kenal tak Dejan Stankovic ni? Kalau tak kenal, nanti boleh minta salah seorang penyumbang tulisan di Bola Tonjol menulis pasal lagenda ni.

Musim berikutnya, dia diberikan jersi nombor 9. Luka Jovic terus dijadikan watak penting bagi kelab dalam menggempur pertahanan lawan. Selepas menjaringkan lagi 12 gol, akhirnya Luka Jovic berpindah ke Benfica pada awal 2016.

KONTROVERSI LUKA JOVIC DI BENFICA

Karier bola sepak Luka Jovic di Benfica secara keseluruhannya bolehlah dilupakan. Sepanjang semusim setengah, dia hanya mampu melakukan empat penampilan bersama skuad senior. Mungkin angka penampilan itu menjadi lima, sekiranya Luka Jovic tak kantoi pergi kelab malam sebelum satu perlawanan.

Kalau ikut kata Luka Jovic, dia taklah teringin sangat nak berhijrah ke Portugal. Dia masih lagi nak bermain di Red Star Belgrade, sambil mencipta pelbagai rekod kelab. Tapi kalau menerusi Football Leaks, ada cerita skandal belakang tabir berlaku di sebalik perpindahan Luka Jovic dari Red Star Belgrade ke Benfica.

Sebelum perpindahan ni berlaku, Red Star Belgrade telah menjual hak ekonomi (“economic right”) Luka Jovic sebanyak 70% kepada sebuah kelab Cyprus, Apollon Limassol pada Januari 2016. Dengan nilai penjualan berjumlah €1.4 juta. Kelab Cyprus ni dimiliki oleh super ejen bola sepak yang penuh kontroversi dari Israel, Pini Zahavi.

Dalam kontrak di antara kedua-dua kelab tersebut ada klausa menyatakan Apollon Limassol ada hak untuk membeli baki 30% kepentingan di dalam Luka Jovic pada 25 Januari 2016, dengan nilai €600,000. Dan mereka pun mengaktifkan hak tersebut pada tarikh tersebut.

Tak sampai seminggu selepas itu, Apollon Limassol menjual Luka Jovic ke Benfica dengan nilai €7 juta (walaupun dalam media kata €2 juta). Memang untung atas angin je der. Bak kata filem P Ramlee, jual manusia lagi untung dari jual unta.

Benda ni sebenarnya adalah helah para ejen untuk tak melanggar undang-undang FIFA, yang menghalang mana-mana individu atau syarikat pelaburan daripada memiliki “economic right” pemain. Tapi undang-undang ni tak pula secara khusus menghalang sesebuah kelab menjual “economic right” pemain mereka kepada kelab lain.

Bila dah kantoi, barulah Luka Jovic mengaku yang benda ni terjadi sebab dia muda tahap belum cukup makan garam dunia bola sepak professional. Ditambah pula kepala tengah serabut, maka Luka Jovic terima saja perpindahan ke Benfica. Hurm….

FREDI BOBIC PENYELAMAT

Fredi Bobic baru saja setahun menjawat jawatan sebagai Pengarah Bola Sepak di Eintracht Frankfurt. Tapi dia masih ingat lagi pada Luka Jovic. Dan apabila Fredi Bobic kembali kepada Luka Jovic buat kali kedua, pemain tersebut tidak lagi menolak.

Lagi pun, dia memang nak keluar dari neraka di Benfica. Dan Benfica sendiri pun menganggap Luka Jovic tak cukup bagus untuk mereka.

Luka Jovic hadir ke Eintracht Frankfurt dengan keyakinan berada tahap paling rendah. Tapi gabungan jurulatih Niko Kovac-Fredi Bobic cuba menaikkan semangat budak yang baru berusia 20 tahun. Yang penting dia dapat main dengan rasa gembira tepuk tangan hoorah. hoorey Didi and Friends.

Musim 2017/18, Luka Jovic menjaringkan satu gol bagi setiap tiga perlawanan. Tapi momen penting bagi musim tersebut adalah dia menjaringkan gol secara “backheel” ketika menentang Schalke semasa separuh akhir DFB Pokal. Memang enak-enak rasa cukup-cukup rasa.

Memasuki musim baru, prestasinya semakin meningkat. Dan kenangan paling manis tentulah ketika di suku akhir Liga Eropah. Luka Jovic pulang ke Estadio da Luz bagi perlawanan menentang Benfica. Dan dia menjaringkan satu gol.

Dek kerana “away gol” (bersama satu gol lagi oleh Goncalo Paciencia), ia telah menjadi faktor penting dalam kemaraan Eintracht Frankfurt ke separuh akhir. Fuh, memang pembalasan dendam yang manis.

Pada 17 April 2019, Eintracht Frankfurt telah mengaktifkan klausa pembelian Luka Jovic. Nilai yang perlu dibayar kelab Bundesliga tersebut? €7 juta saja. Memang murah gila-gila kalau dibandingkan dengan prestasi sebenar Luka Jovic.

Bagi Fredi Bobic, dia mahu mengekalkan Luka Jovic selama mungkin di kelab.

“Tapi kita dekat sini kenalah berpijak di bumi nyata. Kalau kelab besar macam Real Madrid datang nak masuk meminang, memang susah kitorang nak dia terus bersama kelab.”

Menurut laman Transfermarkt, Luka Jovic dinilai sekitar €50 juta. Tapi boleh dapat lebih lagi dari ni. Kau bayangkanlah berapa banyak untung. Dua musim saja bai, dua musim.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

1. Futbolgrad, 2016, Manuel Veth, Luka Jović via Cyprus to Benfica Lisbon

2. The Guardian, 2016, Nick Ames, ‘He’ll be the best striker in Europe’ – the stunning emergence of Luka Jovic

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.