Tanggal 28 Mei 2019, bersamaan 23 Ramadhan 1440 hijrah.

Negara Malaysia kehilangan seorang lagi permatanya apabila Tan Sri Professor Emiritus Dr Khoo Kay menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat jangkitan paru-paru. Usianya 82 tahun. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Anak kelahiran Kampar, Perak ini dikenali sebagai tokoh sejarah negara. Beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah Malaysia Universiti Malaysia selama lebih 50 tahun. Pelbagai artikel-artikel serta buku-buku berkenaan sejarah Malaysia telah ditulis sepanjang hayatnya. Apabila berbicara, segala catatan sejarah negara umpama berada di hujung jarinya sahaja.

Di sebalik latar belakangnya yang mungkin kelihatan agak serius itu, Khoo Kay Kim sebenarnya minat serta mengikuti dengan rapat perkembangan sukan-sukan tempatan. Ini termasuklah sukan bola sepak sendiri. Maka tidak hairanlah, Khoo Kay Kim memang biasa dalam memberi pendapat mengenai sesuatu isu berkaitan bola sepak.

Dan beliau terkenal untuk tidak berselindung dalam memberi pandangan. Bak kata orang putih, “no fear or favour”. Berani dan tajam. Namun ada asasnya. Tidak kiralah sama ada ianya dituju terhadap peminat, pemain, mahu pun pengurusan tertinggi. Walaupun ada di antara mereka ini merupakan ahli politik, menteri, atau juga kerabat istana. Semuanya dibuat bukan untuk mencari kepentigan peribadi, tetapi kerana ketinggian sayangnya kepada sukan tempatan.

Sempena pemergian tokoh ini, kami imbas kembali beberapa pandangan dan kritikan yang pernah beliau utarakan. Jangan terkejut, jika ada pandangannya ini masih lagi boleh diguna pakai pada masa kini.

1. Februari 2013 – FAM Jangan Sibuk Guna Artikel 88

“FAM seharusnya lebih bersifat terbuka menerima kritikan kerana ia dapat membantu menambah baik persatuan itu dan bukan terus menjatuhi hukuman ke atas pihak yang membuat teguran. Saya bimbang suatu hari nanti semua orang jemu dengan tindakan FAM.

“FAM sepatutnya lebih risau prestasi skuad Harimau Malaya yang semakin merudum sejak kebelakangan ini dan bukannya sibuk menjatuhi hukuman terhadap anggota gabungannya.”

Pandangan Khoo Kay Kim ini tercetus selepas siri demi siri pemimpin persatuan bola sepak menjadi mangsa hukuman FAM atas dasar Artikel 88. Ini gara-gara kritikan mereka terhadap badan induk bola sepak tersebut. Ada yang digantung. Ada yang didenda.

Antaranya, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (kini Allahyarham) dan Datuk Ahmad Basri Akil (kini Allahyarham).

Sumber: Mstar

2. Februari 2016 – Tukar Nama Bukan Boleh Buat Apa-Apa

“Jangan sekadar tukar nama kalau prestasi masih di takuk lama.”

“Tukar nama bukan boleh buat apa-apa, yang penting bagaimana cara menaikkan taraf bola sepak kita. Bagi saya tidak ada masalah dengan penggunaan gelaran Harimau Malaysia cuma saya percaya peminat lebih mahukan kejayaan.”

“Mungkin ada yang tidak senang dengan nama baru ini kerana Harimau Malaya sudah sinonim dengan skuad kebangsaan tapi jika bola sepak Malaysia terus berkembang, semua pihak boleh menerimanya,”

Ulasan Khoo Kay Kim ni tercetus daripada perubahan dilakukan oleh Presiden FAM (ketika itu) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda mengumumkan gelaran ‘Harimau Malaya’ digantikan dengan ‘Harimau Malaysia’. Tujuannya, untuk merapatkan lagi sokongan semua rakyat negara ini. Ini kerana nama Malaya sudah tidak relevan sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Sumber: Harian Metro

3. April 2016 – Sekadar Debat Saja Tak Ada Guna

“Ramai anak muda yang dilihat kurang berpengalaman dan pengetahuan suka membincangkan hal-hal berkaitan bola sepak kerana keinginan mereka untuk meningkatkan mutu sukan itu di negara ini.

“Namun, jika sekadar guna mulut tidak akan ke mana kerana ia perlu disusuli dengan melaksanakan input perbahasan itu. Ramai orang boleh bercakap itu dan ini, namun tiada langkah pembaikan yang diambil oleh mereka. Kita boleh lihat apa yang kita peroleh sekarang.”

“Bagi saya apa yang kita perlukan ialah satu kajian lebih menyeluruh punca masalah dan mengatasi masalah itu supaya kita dapat semula mutu permainan seperti yang kita capai suatu ketika dahulu.”

“Kita perlukan tindakan dan bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaja. Jika perbahasan sekadar mengeluarkan pendapat tanpa apa-apa langkah penyelesaian, tidak ada gunanya perbahasan itu.”

Kritikan Khoo Kay Kim ni diutarakan di saat arena bola sepak tempatan jadi hangat. Tengku Mahkota Johor (TMJ) mencabar beberapa individu untuk berdebat secara langsung di kaca televisyen berkaitan kemorosotan mutu bola sepak negara.

Antara individu yang disenaraikan oleh TMJ adalah Khairy Jamaluddin, Ong Kim Swee, Lim Teong Kim, dan juga B Sathianathan.

Sumber: Berita Harian

4. April 2016 – Pemain Import Membazir

“Kita harapkan kemasukan pemain import ini untuk memberi saingan dan meningkatkan mutu permainan pemain tempatan, tetapi tidak berlaku.”

“Saya tidak tahu apa keistimewaan pemain import sehingga menjadi rebutan pasukan dalam Liga M apabila berlumba-lumba untuk membayar harga tinggi untuk mendapatkan khidmat mereka.

“Sepatutnya wang yang digunakan untuk membayar gaji pemain import itu digunakan untuk program pembangunan akar umbi setiap pasukan atau kelab yang bertanding di Liga M.”

Khoo Kay Kim berasa kehadiran pemain import ni membuatkan bola sepak Malaysia mati. Ini disebabkan pembangunan bola sepak negara jangka panjang (melalui melahirkan pemain muda) terpaksa dikorbankan. Dan Malaysia hanya terpaksa berharap kepada produk Program Pembangunan Malaysia (NFDP) saja.

Sumber: Berita Harian

5. September 2016 – Main Bola Tak Pakai Otak

“Pemain kita main tak pakai otak, mereka main macam robot, hantar bola tak betul, tendang tak betul, semua tak betul, macam mana mereka boleh bermain untuk pasukan kebangsaan?”

“Mereka tidak diberi latihan yang sesuai, bila kita pilih pemain kita perlu mengkaji cara mereka bermain bukan seperti robot, selalu bagi bola kepada penjaga gol.

“Bagaimana mereka nak capai keputusan baik kalau mereka selalu hantar bola kepada penjaga gol?” soal beliau.

Kritikan ini diutarakan sehari selepas skuad kebangsaan kalah 3-0 kepada Indonesia dalam satu perlawanan persahabatan. Dan lima hari selepas skuad negara bawah-22 (B-22) tewas 1-2 kepada skuad B-22 Bahrain, juga perlawanan persahabatan.

Bagi Khoo Kay Kim, pengurusan pasukan tidak memberi modul latihan yang betul selama ni kepada para pemain-pemain bola sepak.

Sumber: Free Malaysia Today.

6. Oktober 2016 – Najib? Tak Masuk Akal

“Perdana menteri mesti faham tentang bola sepak. Kita nak tahu apa pengetahuan dan pengalaman yang dia ada. Bukan hanya kerana dia perdana menteri secara automatik boleh jadi presiden FAM.

“Cadangan itu saya rasa tidak masuk akal. Inilah masalah kita sekarang. Mereka tidak tahu bagaimana nak mencari jalan sesuai untuk memajukan bola sepak negara. Bagi saya generasi sekarang semua tidak tahu memajukan bola sepak.”

Ulasan Khoo Kay Kim ni timbul apabila bekas naib presiden FAM Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (kini Allahyarham) mencadangkan supaya Najib mengambil alih kerusi nombor 1 FAM. Alasannya, Najib adalah calon yang menepati kredibiliti dan mempunyai pengaruh besar

Sumber: Free Malaysia Today

7. Disember 2016 – Pengurusan Lemah Pasukan Kelantan

“Bola sepak ketika ini sudah tidak sama macam dulu, bukan saja perubahan dari aspek permainan malah juga dalam menguruskan pasukan.”

“Perbelanjaan besar diperlukan persatuan termasuk untuk kos operasi dan gaji pemain menyebabkan pasukan perlu bekerja keras dalam mencari dana.”

Kemelut kewangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehingga meluahkan hasrat menarik diri dari saingan Liga Malaysia telah menarik perhatian Khoo Kay Kim. Pada beliau, jika sesuatu pasukan tu mahu berbelanja besar, maka pengurusan pasukan itu sendiri perlu dimantapkan terlebih dahulu.

Nampaknya, ada pasukan tak nak dengar cakap Khoo Kay Kim tu hingga kini.

Sumber: Berita Harian

8. Januari 2017 – Pencalonan Annuar Musa Sebagai Presiden FAM

“Dia perlu tarik diri ekoran skandal penyelewengan wang Mara berkaitan penajaan pasukan bola sepak The Red Warriors (TRW). Pada pendapat saya dakwaan itu amat serius.”

“Lagipun saya rasa beliau tidak cukup pengalaman dan kurang berpengetahuan. Jadi, tak ada guna kalau menerima jawatan itu kemudian gagal sekali lagi,” katanya.

“Bola sepak negara ini sudah begitu tenat. Jadi kita perlukan individu yang benar-benar boleh membantu menyembuhkan penyakit ini. Saya rasa Annuar jangan cubalah.”

Khoo Kay Kim ternyata bimbang apabila Annuar Musa menjadi salah seorang daripada empat calon yang bertanding sebagai Presiden FAM. Beliau khuatir FAM akan terkesan jika Annuar Musa memenangi pemilihan tersebut.

Oh ya, ini bukanlah kali pertama Khoo Kay Kim mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan Annuar Musa dalam pengurusan bola sepak.

Sumber: Mstar

KESIMPULAN

Tak dinafikan, ada pihak tertentu kurang senang dengan Khoo Kay Kim. Sehinggakan mereka meminta media tidak mencari Khoo Kay Kim bagi mendapat ulasan atau pandangan berkaitan bola sepak negara. Pihak tersebut menganggap seorang ahli sejarah tidak mempunyai kredibiliti dan kepakaran tentang bola sepak.

Walau bagaimana pun, Khoo Kay Kim mempertahankan haknya untuk bercakap. Ini kerana beliau sememangnya tahu tentang selok belok sejarah bola sepak negara dengan teliti. Terutamanya di sebalik ketika zaman kegemilangan satu ketika dulu.

Walau apa pun, sudah tiada lagi pandangan Khoo Kay Kim selepas ini. Dan pastinya keberanian beliau bakal dirindui.

Terima kasih banyak-banyak di atas ilmu, Tan Sri Professor Emiritus Dr Khoo Kay Kim. Salam takziah daripada kami kepada keluarga beliau.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Kongsi Artikel Ini

Sebuah Page Bola Yang Melangkah 786,025 Ke Hadapan


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.