Dalam sukan, terma “home advantage” selalu digunakan. Ini termasuklah dalam sukan bolasepak. Ia menggambarkan seolah-olah tuan rumah memiliki kelebihan untuk menang satu-satu perlawanan berbanding lawan yang bertandang.

Tapi pernahkah anda terfikir apakah kelebihan-kelebihan tersebut? Kalau tak, di sini ada senarainya.

1. PENYOKONG

Selalunya pihak tuan rumah mendapat “allocation” tiket yang super besar lagi dari pihak lawan. Dan jumlah penyokong tuan rumah yang besar ni boleh “intimidate” mental pemain pasukan lawan atas padang. Tak hairanlah mereka dipanggil pemain ke-12.

Untuk sesetengah kes yang ekstrim, penyokong dah mula provokasi pemain lawan sejak dari luar padang lagi. Kepung bas yang bawa pemain lawan. Baling batu sambil jerit dan maki hamun.

Contoh mudah adalah ketika kejohanan Sukan Sea 2011 di Indonesia. Pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia terpaksa naik kereta perisai Barracuda untuk ke Stadium Gelora Bung Karno.

2. KEADAAN PADANG

Pemain tuan rumah ada kelebihan dari segi familiariti dengan keadaan padang mereka. Dah mereka selalu main di situ, berbanding pasukan lawan.

Salah satunya permukaan padang. Masih ingat lagi kes pasukan Malaysia “struggle” bermain di padang tiruan Stadium Jalan Besar, Singapura.

Selain itu, juga saiz dan “design” padang juga boleh beri kesan kepada taktikal. Contoh mudah adalah arena tuan rumah Manchester United, Old Trafford.

Stoke City yang bertandang ke sini sukar nak meneksploitasi taktikal “throw-in” jarak jauh yang padu oleh Rory Delap. Sebabnya tepi padang Old Trafford sedikit bercerun. Dan ini menyukarkan Delap membuat larian sebelum lakukan lontaran.

3. JARAK PERJALANAN

Pasukan tuan rumah tak perlu tempuh perjalanan jauh untuk ke stadium mereka. Kepenatan dan “stress” hasil dari perjalanan jauh jarang berlaku. Tak ada risiko “flight delay”. Risiko tersekat dalam “traffic jam” sampai berjam-jam pun lebih minima. Tak macam pasukan lawan.

Lagi ekstrim, kalau ada pemain lawan yang takut terbang. Terpaksa dia naik pengangkutan darat ke arena lawan. Lagi senak jadinya. Contoh paling mudah adalah Dennis Bergkamp, lagenda Arsenal satu ketika dulu.

4. CUACA DAN IKLIM

Ini selalunya melibatkan perlawanan peringkat luar dari domestik. Lebih-lebih lagi jika salah satunya dari benua atau kawasan iklim berbeza. Ada yang panas lembap macam Malaysia. Atau ada yang panas kering macam Timur Tengah.

Pasukan tuan rumah tentunya sudah biasa keadaan macam ni. Tetapi pemain pasukan lawan perlukan masa untuk sesuaikan diri.

Salah satu contoh ekstrim adalah Bolivia. Sebuah negara beraltitud tinggi di pergunungan Andes, Amerika Selatan.

Pasukan lawan rata-rata akan “struggle” bila bertandang ke La Paz. Walaupun pasukan lawan itu berstatus gergasi seperti Brazil atau Argentina. Sebabnya oksigen di sini nipis. Dan buatkan pemain lawan yang datang dari tanah rendah sukar nak bernafas.

5. ZON MASA

Pasukan tuan rumah tentu dah biasa dengan waktu tempatan. Tapi tidak dengan pasukan lawan yang mungkin datang dari dua atau tiga zon waktu berbeza. Pemain mereka nak kena “adjust” pula “body clock” ikut masa tuan rumah.

6. PENGADIL

Menurut sebuah kajian dijalankan oleh pihak Scorecasting, Tobias Moskowitz dan Jon Wertheim mendapati pengadil perlawanan beri kelebihan sedikit kepada pasukan tuan rumah. Ini bukanlah disengajakan.

Ianya lebih disebabkan situasi stadium itu tersendiri. Yang mana pengadil terikut-ikut emosi penonton tuan rumah secara “sub-conscious”. Atau dalam kata lain tanpa pengadil itu sedar.

KESIMPULAN

Kelebihan ini sebenarnya adalah terbit dari segi psikologi. Iaitu kebolehan untuk “familiar” dengan satu-satu keadaan. Tapi ia tidaklah terpakai kepada semua pemain. Sebab sikap dan mentaliti pemain berbeza-beza.

Sebabnya, ada juga yang lebih tertekan untuk bermain di laman sendiri berbanding di tempat lawan. Sebab mereka saiko dengan status kelebihan tuan rumah. Dan ini menjadikan prestasi mereka lagi buruk dari pasukan lawan.

Yalah. Manusia bukan mesin.

Sumber:

1. The Guardian, 2008, Rory Carroll, Fifa suspends ban on high-altitude football

2. Bleacher Report, 2013, Christopher Atkins, How Much Does Home-Field Advantage Matter in Soccer?

3. The Guardian, 2013, Sean Ingle, Statistical models show referees are homers – by popular acclamation

Kongsi Artikel Ini

Sebuah Page Bola Yang Melangkah 786,025 Ke Hadapan


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.