Hari ini kita dengar cerita Paul Pogba kemain bersungguh hendak berpindah ke Real Madrid. Bukan hari ini sahaja, sebenarnya sejak dahulu lagi ramai pemain bola sepak yang mendambakan untuk beraksi dengan pasukan Real Madrid ni. Asbabnya ialah reputasi Real Madrid yang begitu gah di peringkat dunia. Selain daripada kenaikan gaji dan bekalan KWSP di masa hadapanlah.

Tidak ketinggalan juga pemain dari England. Meskipun mempunyai liga yang mantap dan popular, namun peluang beraksi dengan pasukan Real Madrid tidak patut dilepaskan begitu sahaja.

Antara pemain England yang pernah bermain dengan pasukan Real Madrid ialah Laurie Cunningham (1979-1984) Steve McManaman (1999-2003), David Beckham (2003-2007) dan juga Michael Owen (2004-2005).

Oh ya. Hampir terlupa saya. Ada seorang lagi pemain England yang pernah bermain untuk pasukan Real Madrid iaitu Jonathan Woodgate. Masih ingat dengan nama ini? Jika sudah lupa, mari saya ingatkan semula.

SUKSES DI LEEDS DAN NEWCASTLE.

Selepas cemerlang beraksi di peringkat akademi, Woodgate akhirnya berjaya memasuki pasukan utama Leeds United.

Pada ketika itu Leeds turut mempunyai pemain pertahanan tengah yang hebat seperti Rio Ferdinand, Dominic Matteo dan juga Lucas Radebe.

Namun begitu beliau tenang mempamerkan aksi matang seterusnya berjaya berada dalam kesebelasan utama pasukan Leeds United. Selain itu Woodgate turut berada dalam radar pemilihan pasukan kebangsaan England. Nama beliau juga mula meniti dari mulut ke mulut peminat Leeds. Segalanya berjalan dengan indah dan cantik.

Tetapi selepas itu krisis kewangan telah ‘menceraikan’ jodoh Woodgate dan Leeds. Beliau akhirnya dijual ke pasukan Newcastle bagi meringankan bebanan kewangan. Selepas melakukan lebih kurang 104 penampilan untuk Leeds, ucapan selamat tinggal dilafazkan kepada seluruh warga Elland Road.

Woodgate kemudian meneruskan kehebatannya di St. James Park. Paling diingati ialah aksi bertaraf dunia yang dipamerkan ketika melayan kunjungan Marseille dalam perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala UEFA 2004. Malangnya Woodgate tidak beraksi kerana cedera pada perlawanan kedua dan Newcastle tewas 2-0 hasil jaringan Didier Drogba – Lagenda Chelsea.

Walaupun begitu jodoh Woodgate dan Newcastle hanya bertahan selama 18 bulan sahaja. Ini kerana Real Madrid telah mengeluarkan sejumlah £13.4 juta untuk mendapatkan khidmatnya. Satu jumlah yang besar untuk pemain yang hanya melakukan 37 penampilan daripada 128 aksi yang sepatutnya beliau tampilkan. Barangkali ini yang dinamakan sebagai rezeki bergolek. Entahlah.

Woodgate kemudiannya menjadi pemain Inggeris ke-5 yang beraksi untuk Real Madrid dan setakat hari ini yang terakhir buat warga England.

PERPINDAHAN KE REAL MADRID

Seluruh England bersorak dengan pembelian ini bersama perasaan bercampur baur. Ini kerana Woodgate berjaya mengenepikan nama-nama besar lain yang menjadi sasaran Real Madrid sebelum ini iaitu Alessandro Nesta dan Fabio Cannavaro. Turut bersama Woodgate di Bernabeu ketika itu ialah seorang lagi lagenda Inggeris iaitu Michael Owen.

Walaupun Woodgate melepasi ujian kecergasan, dia masih tidak mampu untuk beraksi dengan Real Madrid dalam seluruh musim pertamanya. Gila. Musim 2004/2005 turut menyaksikan Real Madrid menyudahkan La Liga di tangga ke-2 dan tiada sebarang trofi dijulang serta 3 kali bertukar pengurus. Ini betol-betol gila.

DEBUT YANG MENGERIKAN

Woodgate akhirnya berpeluang menyarung jersi putih Real Madrid setelah bertapa selama 14 bulan di pusat rehabilitasi dan gimnasium. Lawan pada hari penuh bersejarah tersebut ialah pasukan Atletic Bilbao.

Kebetulan pada hari tersebut Ivan Helguera dan Sergio Ramos tidak dapat beraksi. Walter Samuel pula sudah berpindah ke Inter Milan. Maka Woodgate yang telah cergas sepenuhnya akan turun bermain berpasangan dengan Francisco Pavon.

Dari awal lagi semuanya serba tidak kena buat Woodgate. Pada minit ke-26 dia menanduk cantik jaringan gol sendiri menewaskan Iker Casillas. Sebelum tamat separuh masa pertama Woodgate telah dilayangkan kad kuning pula. Adeeeeh.

Pada minit ke-66, Woodgate dilayangkan kad kuning kedua selepas menghalang larian Joseba Etxeberria. Makanya kad merahlah menjadi milik beliau. Sangatlah malang.

Mujur Real Madrid tidak kalah dalam perlawanan tersebut. Jika kalah sudah tentu Woodgate perlu segera bertaubat dan berhenti bermain bola sepak.

Woodgate mendapat peluang keduanya selepas tamat penggantungan perlawanan tersebut dan menjaringkan gol pertamanya untuk Real Madrid sebulan selepas itu. Tetapi malangnya beliau kembali tercedera dan telepas banyak perlawanan untuk Real Madrid.

Sebagai rekod, Woodgate tidak pernah berjaya melakukan lebih daripada 3 perlawanan berturut-turut untuk Real Madrid. Tamat musim 2005/2006 Woodgate dipinjamkan ke Middlesbrough dengan hanya 14 penampilan untuk Los Blancos dalam semua pertandingan. Gagal.

KEKAL PAHIT DALAM SEJARAH REAL MADRID

Ramai pengkaji bola sepak bersepakat bahawasanya Woodgate telah gagal di Real Madrid. Debutan bekas pertahanan tengah England pada 22 September 2005 telah menjadi kenangan kelam buat beliau.

“Ia sangat hebat. Saya menyukainya. Setahun saya tak menyepak bola. Masuk padang untuk perlawanan pertama, terus skor gol sendiri dan dilayangkan kad merah. Power!”Woodgate, 2017.

Hari ini pada usia 39 tahun Woodgate telah dilantik sebagai pengurus pasukan Middlesbrough. Kelab ini pernah menjadi tempat beliau menabur bakti sebanyak dua kali pada tahun 2007-2008 dan 2012-2016. Di Boro nanti beliau akan dibantu oleh bekas rakan sepasukannya dan pemain lagenda Republic of Ireland, Robbie Keane.

Bagaimana pula nasib dan kehidupan Woodgate sebagai pengurus nanti ye? Hanya masa yang akan menentukan segalanya.

Nota: Tulisan ini dikongsi daripada penulis dan pengkaji tegar bola sepak, saudara Muhammad Hadri. Rantaian karya beliau boleh diikuti di sini.

Kongsi Artikel Ini

Seorang pengkaji tegar bola sepak, pemilik blog Mata Pena Si Hitam. Boleh panggil saya John Wick jugak.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.