Perlawanan akhir Piala FA 2018, Antonio Conte memadamkan rekod malang untuknya yang gagal menjulang kejuaraan selain kejuaraan liga dengan menjulang Piala FA bersama Chelsea.

Namun Conte wajar belajar dari sejarah lalu yang diharungi Louis Van Gaal yang menerima nasib malang selepas di buang Manchester United walaupun menjulang Piala FA.

Ternyata sejarah berulang itu benar seperti yang disebut Newboyz. Jodoh Conte untuk merenung trofi Piala FA agak singkat selepas beliau dipecat oleh Chelsea.

Sebenarnya bukan Van Gaal dan Conte saja menerima nasib sama, Thomas Tuchel juga pernah kena bersama Borussia Dortmund. Pedih kan, macam korang dapatkan projek untuk syarikat tapi kena buang, sakit do.

Selepas itu Chelsea mula letak iklan jawatan kosong depan pejabat. Sudah tentulah salah satu syaratnya ialah tahan maki, sebab pengurusan Chelsea ni ganas.

Di kepala otak pengurusan Chelsea ialah satu permainan yang bernama ‘Sarri Ball’. Permainan yang dicipta oleh Maurizio Sarri iaitu pengurus SC Napoli yang menamatkan Serie A di tangga kedua.

Mereka mula menyusun strategi untuk mendapatkan Sarri dan ada beberapa isu teknikal dengan Napoli memberitahu Sarri masih milik mereka padahal mereka sudah menamakan Carlo Ancelotti sebagai pengurus baru. Aku pun pening.

Namun selepas pelbagai halangan, akhirnya Sarri diumumkan sebagai pengurus baru Chelsea dan aku rasa semasa perbincangan kontrak, Sarri mesti tanya wakil Chelsea tentang kedai jual rokok yang terdekat di Stamford Bridge.

Rokok dan Sarri sukar dipisahkan. Barangkali Sarri belum berniat untuk mencuba perkara baru seperti vape dan pod yang menjadi trend masa kini.

Kemasukan Sarri diikuti oleh anak angkatnya, Jorginho. Menurut Sarri, tanpa Jorginho, ‘Sarri Ball’ takkan menjadi. Maka Kante masa tu dah mula risau dengan kehadiran Jorginho.

Premier League pun bermula dan Chelsea kembali kepada formasi empat bertahan sekaligus meluputkan tinggalan sejarah Conte iaitu tiga pertahanan. Moses pun dah hilang tempat mengadu kerana beliau pemain penting Conte.

Sarri awal-awal lagi dah cipta gempak apabila membawa Chelsea tanpa kalah dalam 12 perlawanan awal liga sekaligus mencipta sejarah sebagai pengurus baru yang melakukannya.

Jiran Chelsea, Tottenham Hotspurs memang takkan mahu tengok Chelsea bahagia. Merekalah yang telah menamatkan rekod itu dan telah membocorkan rahsia ‘Sarri Ball’ dengan kemenangan 3-1. Penuh dengan hasad dengki.

Ketika itulah ada suara yang mengkritik Sarri yang tak habis-habis dengan Jorginho beliau. Namun Sarri lantang bersuara mengenai pendirian beliau.

Kritikan dan ejekan penyokong Chelsea terus ditujukan kepada Sarri tapi Sarri macam biasalah “lek lu, sap kok lu,”. Sarri tegas dengan apa yang beliau lakukan.

Hari berganti hari dan Sarri berjaya membalas dendam ke atas Tottenham apabila menewaskan kelab tersebut dalam saingan separuh akhir Piala Carabao dan ke final pertama beliau.

Walaupun tidak konsisten dalam liga, Chelsea menghadapi final Piala Carabao menentang juara bertahan, Manchester City dengan tenang walaupun sebelum itu Chelsea dibelasah dengan teruk oleh City dengan keputusan 6-0.

Memang pedih, semua penyokong Chelsea melarikan diri selepas tewas sampai mereka dah mula elak berbincang pasal bola bila lepak minum dengan kawan.

Chelsea mempamerkan persembahan berbeza dalam final apabila berjaya mengikat City 0-0 dalam 120 minit permainan. Ketika perlawanan inilah kreadibiliti Kepa Arrizabalaga selaku pengurus mula dikesan.

Siapa sangka sebenarnya Chelsea memiliki dua pengurus ketika itu. Sarri mengamuk apabila Kepa enggan dikeluarkan walaupun Willy Caballero dah ready untuk masuk.

Balasan untuk Kepa taknak dengar cakap pengurus, beliau gagal untuk membantu Chelsea dalam penentuan sepakan penalti sekaligus memberi City kejuaraan.

Dalam liga, Sarri berhadapan Chelsea yang tidak konsisten namun mujur pasukan pesaing kedudukan ke UCL yang lain pun dapat penyakit macam Chelsea.

Masing-masing enggan menerima pelawaan ke UCL selepas Arsenal, Chelsea, Tottenham dan Manchester United juga beraksi di bawah par. Manchester United takyah cakaplah sebab diaorang memang bukan kelompok atasan.

Sudahnya akhir liga, Chelsea berjaya menduduki tangga ketiga dan Sarri menutup mulut penyokong yang selalu mengkritik kehadiran beliau.

Penamat sempurna, itulah yang Sarri dapat apabila pasukannya menang UEL selepas menewaskan budak tadika, Arsenal dengan keputusan 4-1. Arsenal masuk final pakai kabel ke apa?

Itulah kejuaraan pertama Sarri dalam karier beliau sebagai seorang pengurus. Ada satu video menunjukkan wajah Sarri teruja memegang pingat kemenangan, aku jadi terharu tengok perkara tu.

Bayangkan jadi pengurus dalam masa yang lama tapi baru kali pertama kau menang Piala, ia satu momen indah untuk Sarri. Beliau disahkan menjadi pengurus baru Juventus.

Satu musim yang panjang untuk Sarri. Dikritik teruk dengan falsafah beliau tapi tetap tenang sehingga menghadiahkan Chelsea kedudukan UCL, nombor tiga Premier League, naib juara Piala Carabao dan juara UEL.

Pahit yang diterima Sarri kini sudah berlalu apabila beliau pasti mengharapkan undian UCL menemukan beliau kembali dengan Chelsea untuk beliau balas dendam.

Chelsea kini pasti menyesal tapi sesal kemudian tak bermakna dan persoalannya siapa tempat mengadu Jorginho selepas ini?

Kongsi Artikel Ini

Ada orang gilakan perempuan, bagi aku aku lebih gilakan bola sepak. Tidak melukakan hati yang dalam.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.