Beberapa hari yang lepas Alex Iwobi berjaya membawa Nigeria mara ke peringkat separuh akhir Piala Afrika 2019. Pemain dari Arsenal yang hebat ini sedang membina reputasinya sebagai antara anak muda yang meningkat naik namanya.

Tetapi saya bukan hendak bercerita pasal beliau. Benda macam gini biarkan peminat Arsenal sahaja yang buat. Kali ini izinkan saya menulis serba ringkas kisah Pak Sedara Iwobi iaitu Jay-Jay Okocha.

Okocha adalah individu yang menyuruh Iwobi memilih untuk mewakili Nigeria berbanding England.

Benarkah Okocha Pencipta Gerakan The Rainbow?

Sebagai rekod, nama penuh beliau ialah Augustine Azuka “Jay-Jay” Okocha. Sedap sungguh bunyinya. Pada 14 Ogos nanti beliau akan berusia 46 tahun. Kalau di Malaysia dah dikira sebagai warga emas dah ni.

Seperti kebanyakan pemain bola sepak yang lain, Okocha juga bermula dengan bola sepak jalanan. Mengikut cerita, beliau akan gunakan apa sahaja yang terdapat di sekitar jalanan untuk dijadikan sebagai medan dan bahan untuk menyepak bola. Maka tidak hairanlah pelbagai gerakan penuh skil berjaya beliau lakukan serta pamerkan sepanjang beraksi di atas padang.

Sehingga hari ini perawi bola sepak masih berdebat tentang siapakah yang mencipta teknik The Rainbow. Namun apa yang sahih ialah Jay-Jay Okocha telah menjadi pemain yang mempopularkan gerakan ini dalam perlawanan bola sepak yang kompetitif. Tak percaya? Cuba buka redtube. Eh silap. Youtube.

Dari Jalanan Ke Muka Dunia.

Okocha memulakan pengembaraan warna-warni kariernya di Eropah pada tahun 1990 dengan mewakili Borussia Neunkirchen. Selepas itu diikuti dengan Eintracht Frankfurt, Fenerbahçe, Paris Saint-Germain, Bolton Wanderers dan Hull City.

Secara kasarnya selama 18 tahun inilah beliau menjadi rujukan dan mentor kepada pemain muda yang lain seperti Ronaldinho dan Nicolas Anelka.

Okocha adalah pemain nombor 10 yang sangat saya kagumi,” komen Ronaldinho dalam satu portal bola sepak atas talian.

Begitulah tingginya martabat Okocha di mata Ronaldinho.

Dewa Bola Sepak Di Bolton.

Bolton merekrut Okocha pada tahun 2002 dan selepas itu beliau pantas menjadi pemain penting untuk pasukan ini.

Pada musim 2004/2005, Okocha memacu Bolton ke tangga ke-6 Liga Perdana Inggeris. Seterusnya ia melayakkan pasukan Bolton untuk bermain di kejohanan Piala UEFA pada musim 2005/2006. Ia adalah kali pertama berlaku dalam sejarah bola sepak Bolton. Hebat.

Dalam kempen Piala UEFA tersebut Bolton berjaya layak sehingga ke peringkat 32 pasukan. Namun mereka tewas kepada Marseille dengan skor 1-2.

Karier bola sepak Okocha sudah tentu paling mendapat perhatian ketika beraksi dengan pasukan Bolton. Ahli silap mata dari Nigeria ini mengetuai pasukan asuhan Sam Allardyce yang diadun mesra serta sedap dengan kehadiran pemain bintang seperti Youri Djorkaeff, Ricardo Gardner, Gary Speed, Iván Campo, Fernando Hierro, Nicolas Anelka dan juga Jussi Jääskeläinen.

Menjadi ketua pasukan yang membawa Bolton ke Piala UEFA buat pertama kali dan layak ke perlawanan akhir Piala Liga 2003/2004 (Carling Cup) adalah satu pencapaian hebat serta luar biasa buat Okocha.

Membina Reputasi bersama Nigeria.

Di awal permulaan karier antarabangsanya, Okocha membuat 3 penampilan untuk pasukan ‘Super Eagles’ pada Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat ketika bertemu pasukan Argentina, Greece dan Bulgaria. Kemudiannya dalam tahun yang sama juga beliau menjulang Kejuaraan Piala Afrika di Tunisia.

Dua tahun kemudian, Okocha membantu Nigeria memenangi pingat emas Olimpik 1996 selepas menewaskan Argentina dengan skor 3-2. Ketika itu Nigeria yang membariskan pemain seperti Babayaro, Taribo West dan Kanu berjaya memalukan Argentina yang diwakili pemain berbakat besar seperti Hernan Crespo, Roberto Ayala, Zanetti, Juan Veron, Simeone, Claudio Lopez, Pablo Sorin dan juga Si Lincah Ariel Ortega.

Selepas itu pada Piala Dunia 1998, walaupun Okocha menjadi perhatian dunia namun beliau sekali lagi gagal mara jauh bersama Nigeria. Kali ini mereka tewas pula kepada Sepanyol dalam pusingan kedua.

Mujur Okocha dan Nigeria cemerlang dalam Kejohanan Piala Afrika apabila secara berjemaah menjadi Naib Juara pada tahun 2000 dan mendapat tempat ketiga pada edisi 2002, 2004 dan 2006.

Bersara Dengan Muka Ada Senyum.

Sepanjang kariernya dari tahun 1990 hingga 2008, beliau telah membuat 454 penampilan dan menjaringkan sejumlah 85 gol. Okocha bersara penuh pada tahun 2008 dan ramai yang berpendapat beliau masih berada pada kemuncak prestasinya. Tetapi saya berpendapat tak mengapalah bersara awal macam gini. Sekurang-kurangnya ia lebih mulia daripada bersara selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan akhir Piala Dunia. Kheeeen?

Ya, begitulah serba ringkas sirah Jay-Jay Okocha – Si Ahli Silap Mata Dari Nigeria. Ramai pemain bola sepak dikenang dengan jumlah jaringannya, tetapi Okocha diingati dengan aksi dan golnya yang bertaraf dunia.

Nota: Tulisan ini dikongsi daripada penulis dan pengkaji tegar bola sepak, saudara Muhammad Hadri. Rantaian karya beliau boleh diikuti di sini.

Kongsi Artikel Ini

Seorang pengkaji tegar bola sepak, pemilik blog Mata Pena Si Hitam. Boleh panggil saya John Wick jugak.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.