Irfan Bakti bukanlah nama asing dalam dunia bola sepak di Malaysia. Sosok tubuh jurulatih berusia 68 tahun ini sememangnya cukup disegani di Liga Malaysia.

Beliau secara rasminya telah menghantar surat perletakan jawatan beliau sebagai ketua jurulatih Terengganu serta merta dan perkara tersebut diterima oleh pihak pengurusan.

Jika diamati, musim ini sepatutnya menjadi musim yang hebat untuk Terengganu sekiranya kita melihat perjalanan Irfan sejak mula kembali ke Kuala Terengganu pada 2017.

Pada musim 2017, beliau cemerlang membawa Terengganu kembali ke Liga Super selepas menduduki tangga kedua Liga Perdana dalam musim debut beliau selepas kepulangan semula.

Nama Kipre Tchetche yang memiliki gelaran ‘Drogba Ganu’ mula kedengaran ketika ini. Irfan berjaya menjadikan Kipre sebagai pemain import yang mula menjadi tumpuan ramai.

Musim 2018, Irfan Bakti menggalas cabaran membawa Terengganu mengharungi Liga Super selepas tercicir ke liga bawahan selama semusim.

Lee Tuck menjadi enjin baru Terengganu di bahagian tengah sementara kemunculan ‘Messi Ganu’ iaitu Faiz Nasir menjadi senjata utama Terengganu pada musim 2018.

Irfan Bakti berjaya membawa dimensi baru kembali kepada Terengganu sebagai sebuah nama besar dalam arena bola sepak di Malaysia.

Tamat Liga Super, Irfan Bakti membawa Terengganu untuk menduduki tangga kelima Liga Super, satu kedudukan yang agak baik untuk sebuah pasukan yang baru naik dari Liga Perdana.

Piala Malaysia !

Mengulangi pencapaian beliau pada 2011 ketika bersama Terengganu, Irfan Bakti sekali lagi melakukan magis beliau yang tersendiri apabila membawa Terengganu ke final Piala Malaysia 2018.

Laluan mereka tidak mudah. Bermula dengan menewaskan Felda United di suku akhir, mereka berdepan cabaran besar bertemu juara Liga Super iaitu JDT di separuh akhir.

Tak memandang status lawan, Terengganu menghumban kelab 50 langkah di hadapan itu tersingkir dari Piala Malaysia dan ke final berdepan Perak.

‘Bola itu bulat’, rezeki tidak memihak Irfan dan anak buah beliau dalam final bertemu Perak itu. Badi kuning dan hitam terus melekat di dalam diri Irfan Bakti.

Pada 2011 beliau tewas kepada Negeri Sembilan dan 2018 beliau tewas kepada Perak. Kedua – dua lawan memiliki warna baju yang serupa dan Terengganu dalam dua perlawanan itu gagal memanfaatkan kelebihan gol.

Musim 2018 satu musim yang baik untuk Irfan Bakti dan ramai mula melihat beliau bakal melakukan yang lebih baik bagi musim 2019 nanti.

‘Indah khabar dari rupa’, Terengganu merudum jatuh bagaikan bursa saham Malaysia. Permainan yang merosot mula dipamerkan Terengganu.

Beberapa kali musim ini pasukan Terengganu gagal mengekalkan kelebihan mereka. Dalam suku akhir Piala FA, mereka gagal menggunakan sebaiknya kelebihan mendahului Pahang secara agregat.

Terengganu tewas besar 0-4 kepada ‘Tok Gajah’ pada perlawanan kedua. Terbaru, mereka mendahului Petaling Jaya City 3-0 namun pada masa penuh perlawanan, mereka tewas 3-5. Macam lawan adik aku je masa kecik, saja je bagi dia leading dulu lepastu aku kejar balik.

Mujur Irfan Bakti tidak terlepas daripada merasai nikmat terikat seri ketika bertemu Perak. Satu kepuasan yang tidak terhingga berada dalam badi seri Perak.

Sehingga perletakan jawatan beliau, inilah keputusan Terengganu bersama Irfan Bakti musim ini :

Liga Super – 4 menang, 4 seri dan 5 kalah.
Piala FA : Suku akhir

Rumusan :

Bagi aku, mengapa Terengganu berbeza musim ini bukanlah kesalahan sepenuhnya kepada Irfan Bakti. Beliau hilang pemain utama iaitu Faiz Nasir yang banyak memainkan peranan penting.

Selain itu, beliau hilang kualiti beberapa pemain import beliau seperti Kipre yang mempunyai masalah penyudah dan Thierry Chantha Bin yang mula merosot.

Irfan Bakti kekal menjadi seorang jurulatih berpengalaman yang terbaik pernah dimiliki Liga Malaysia. Semoga maju jaya ‘coach’!

P/S: Artikel di atas adalah pendapat peribadi penulis. Bola Tonjol seperti biasa, sentiasa kekal berkecuali dalam hal-hal berkaitan isu ‘deep’ seperti artikel ini.

Nota: Tulisan ini dikongsi oleh saudara Azhan Mohi. Boleh follow FB beliau di sini.

Kongsi Artikel Ini

Anda berminat dalam penulisan tentang bolasepak? Salurkan kekreatifan anda dengan menghantar artikel kepada kami di thebolatonjol@gmail.com


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.