Tersebutlah kisah, pada zaman dahulu, sekitar 1989, terdapat suatu keluarga yang tinggal di sebuah kampung bernama Valence, Perancis. Anak kecil mereka bernama Henrikh Mkhitaryan. Manakala bapanya pula bernama Hamlet Mkhitaryan.

Demi menyara kehidupan mereka sekeluarga, Hamlet bekerja sebagai penyerang di kelab bolasepak ASOA Valence. Sebenarnya, Hamlet nekad membawa keluarganya berhijrah ke Perancis. Ini kerana tanah airnya sedang dilanda pergolakan di antara etnik Armenia dan Azerbaijan.

Di awal penghijrahan itu, Henrikh baru berusia 1 tahun. Pastinya dia sama sekali tidak mengerti makna perkauman, tetapi turut terheret sama menjadi mangsa.

Setiap kali, Hamlet keluar rumah untuk ke padang latihan, Henrikh pasti menangis semahu-mahunya. Henrikh inginkan bapanya membawanya bersama. Pada Henrikh, dia mahu sentiasa bersama bapanya.

Walaupun begitu, Hamlet risaukan anak kecilnya itu akan berlari-lari ke sana sini. Dan ini boleh menganggu tumpuan Hamlet semasa latihan. Sebagai helah, bapanya selalu berkata pada Henrikh bahawa dia akan ke kedai runcit apabila setiap kali dia keluar ke padang latihan.

Hinggalah pada satu hari, Hamlet memberitahu keluarganya bahawa mereka patut pulang ke Armenia. Ketika itu, Henrikh sudah mencecah usia 6 tahun. Henrikh tidak memahami apa yang tersirat di sebalik keputusan bapanya. Henrikh tidak sedar bahawa keindahan saat membesar bersama bapanya hampir menuju ke penghujungnya.

Di Armenia, bapanya berhenti bermain bolasepak dan berada di rumah sepanjang masa. Setahun kemudian, bapanya pergi menghadap Maha Pencipta buat selama-lamanya akibat barah otak.

Henrikh masih mentah untuk memahami erti sebuah kematian. Dia selalu bertanya ke manakah bapanya telah pergi. Dan setiap hari jugalah ibu dan kakaknya menerangkan apa yang telah terjadi.

Untuk melepaskan kerinduan pada bapanya, Henrikh sering menonton pita video rakaman ayahnya bermain bola. Pada Henrikh, bapanya hidup di dalam video.

Setahun selepas kematian bapanya, Henrikh mula berjinak-jinak bermain bola. Henrikh mahu menjadi seperti bapanya. Berlari seperti bapanya. Menjaringkan gol seperti bapanya.

Henrikh mendedikasikan seluruh kehidupannya untuk bolasepak. Berlatih. Bermain “playstation”. Menonton bolasepak. Membaca tentang bolasepak.

Pada Henrikh, kehilangan bapanya merupakan satu detik sukar kerana dia tiada tempat bergantung untuk mendapatkan nasihat. Walaupun begitu, kehilangan bapanya juga mengajar Henrikh erti kedewasaan.

Dan kematian bapanya jugalah membuka hati Henrikh untuk bermain bolasepak. Henrikh percaya, bapanya “di atas sana” sentiasa memerhatikan setiap aksinya di padang dengan penuh bangga.

Sumber:

1. The Players Tribune, 2016, Henrikh Mkhitaryan, Zidane, Kaka and Hamlet

2. The Guardian, 2016, Jamie Jackson, Henrikh Mkhitaryan driven by tragic premature death of his father

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.