“Boleh ke abang Micki beraksi di Baku nanti?”

Mungkin inilah persoalan besar di dalam kepala geng-geng Arsenal semenjak dua tiga hari kebelakangan ni.

Perlawanan akhir Liga Eropah di Baku, Azerbaijan mungkin adalah lokasi terakhir yang diimpikan oleh Henrikh Mkhitaryan sendiri.

Pada tahun 2015, dia tak mengikut rombongan Cik Kiah skuad Borussia Dortmund bagi perlawanan Liga Eropah menentang FK Qabala di Bakceli Arena, Baku. Alasan kelab adalah faktor keselamatan.

Dan perkara yang sama juga berlaku pada Oktober 2018. Dia tak disenaraikan oleh Arsenal untuk bermusafir ke Stadium Olimpik Baku bagi menentang Qarabag FK. Unai Emery memberi alasan, “Mkhitaryan tak boleh datang sini”, walaupun UEFA sudah memberi jaminan akan membantunya dari segi permohonan visa.

Semuanya adalah kerana kewarganegaraan dan etnik Henrikh Mkhitaryan itu sendiri. Dia adalah orang Armenia. Jiran belakang pintu dapur Azerbaijan saja. Memang dekat. Tapi kedua-dua negara tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik. Sebagai mana Malaysia dan Israel.

Secara sejarahnya, Azerbaijan jarang-jarang sekali membenarkan orang Armenia masuk ke negara mereka. Ini selepas berlakunya konflik Nagorno-Karabagh yang tercetus sejak era awal 1990-an, sehingga kini. Fuh, memang lama gila dah.

Apa yang serius sangat pasal konflik Nagorno-Karabakh ni sampai kan Henrikh Mkhitaryan pun terkesan?

DI SEBALIK KRISIS NAGORNO-KARABAKH

Wilayah Nogorno-Karabakh ni adalah kawasan pergunungan. Walaupun ianya dalam Azerbaijan, tapi majoriti penduduknya adalah etnik bangsa Armenia. Sejak dari zaman empayar Soviet Union lagi, etnik Armenia di sana mahukan wilayah mereka ini diletakkan di bawah Armenia.

Pada Februari 1988, pentadbiran wilayah Nagorno-Karabakh mengisytiharkan mereka merdeka dari Azerbaijan. Tapi keputusan tu ditolak oleh pentadbiran Azerbaijan. Kepimpinan Soviet Union pula bergelut nak selesaikan isu ini. Ditambah pula masa tu empayar Soviet Union di ambang perpecahan.

Bila jadi macam ni, pergeseran antara penduduk Nagorno-Karabakh yang beretnik Armenia dan etnik Azerbaijan mula berlaku. Protes-memprotes. Pembunuhan antara etnik. Tembak menembak. Dan ini menjadi titik tolak kepada permulaan peperangan di antara Armenia dan Azerbaijan.

Ketika empayar Soviet Union di ambang kejatuhan pada akhir tahun 1991, Azerbaijan dan Armenia mula mengumpulkan kelengkapan perang yang ditinggalkan tentera Soviet Union. Dari senjata api sampailah kenderaan perang.

Maka bermulalah perang pada skala lebih besar bagi merebut wilayah Nagorno-Karabakh di antara Armenia dan Azerbaijan. Hasilnya etnik Armenia di Nagorno-Karabakh (yang disokong secara kewangan dan ketenteraan oleh Armenia) berjaya menguasai wilayah tersebut.

Mereka juga berusaha untuk meluaskan penguasaan melangkaui Nagorno-Karabakh. Ini adalah untuk tujuan strategik, bagi dijadikan sebagai zon penampan di antara Azerbaijan dan Nagorno-Karabakh serta Armenia. Dianggarkan seramai 20,000-30,000 orang terbunuh sepanjang konflik ni.

Pada 1994, Russia berjaya membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan untuk gencatan senjata. Tapi ia masih tak menyelesaikan masalah status Nagorno-Karabakh.

Sejak dari itu, ada beberapa kali pertempuran di antara kedua-dua belah pihak. Etnik Azerbaijan yang melarikan diri semasa konflik pun masih lagi tak dapat pulang ke tanah kampung halaman. Manakala etnik Armenia pula dilihat tak mahu memberikan kembali tanah kepada etnik Azerbaijan yang pernah mereka diami di Nagorno-Karabagh.

REAKSI AZERBAIJAN ATAS KES HENRIKH MKHITARYAN

Setakat ini, Kementerian Luar Azerbaijan berkata Henrikh Mkhitaryan boleh bermain di Baku. Mereka menggunakan prinsip politik dan sukan mesti diasingkan. Lagi pun katanya, sebelum ni sudah pernah ada kes atlet sukan Armenia dibenarkan beraksi di Azerbaijan.

Di pihak UEFA sendiri pun, mereka juga dah menerima jaminan daripada persatuan bola sepak sendiri. Walaubagaimanapun, setakat ini Arsenal masih lagi mendesak UEFA untuk menerima jaminan keselamatan daripada kerajaan Azerbaijan ke atas Henrikh Mkhitaryan.

Yalah, jaminan boleh bermain dengan jaminan keselamatan adalah dua perkara berbeza kot.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.