“Paris Saint-Germain pasukan istimewa bagi diri aku. Jadi bila aku berpeluang menyarung jersi ni di Parc des Princes, benda ni merupakan impian aku sejak masa kecil-kecil dulu.”

Itulah kata-kata Hatem Ben Arfa ketika dia diperagakan sebagai pemain baru kelab Paris Saint-Germain Darul Sheikh Qatar pada 1 Julai 2016. Ianya satu momen yang membanggakan bagi Hatem Ben Arfa, lebih-lebih lagi dia sendiri berasal dari kota raya Paris.

Pada umur 29 tahun, menyertai kelab segah Paris Saint-Germain bolehlah dikatakan sebagai peluang terakhir untuk Hatem Ben Arfa memburu gelaran kejuaraan (dan tentunya juga gaji yang besar). Sebelum ni, kariernya berlegar-legar dalam pasukan yang kita boleh katakan tidak dikategorikan sebagai kelab gergasi kaya raya Eropah.

Kelab-kelab yang pernah disertai Hatem Ben Arfa adalah Lyon, Marseille, Newcastle United, Hull City dan Nice. Sedangkan produk keluaran akademi elit Perancis, Clairefontaine ni amat sedap juga skilnya.

Siapa boleh lupa gol solonya ketika menentang Blackburn Rovers dan Bolton Wanderers semasa di Newcastle United dulu. Terlalu padu. Maka, tak hairanlah Karim Benzema pernah melabelkan skil Hatem Ben Arfa satu tingkat yang sama dengan Lionel Messi.

Cumanya, gabungan kekurangan disiplin serta kecederaan demi kecederaan panjang semacam satu halangan untuk Hatem Ben Arfa untuk menjadi seperti Lionel Messi.

Bagi Paris Saint-Germain pula, risiko mengambil personaliti seperti Hatem Ben Arfa tidaklah besar. Tiada sebarang yuran perpindahan yang dibayar kepada Nice kerana kontrak Hatem Ben Arfa telah tamat. Dan mereka memberi Hatem Ben Arfa kontrak selama dua musim.

Lagi pun, perpindahan ni bolehlah dikira sebagai satu kejayaan juga bagi Paris Saint-Germain. Ramai lagi kelab-kelab Eropah lain juga berminat untuk mendapatkan Hatem Ben Arfa.

Ini selepas prestasi Hatem Ben Arfa cemerlang gemilang terbilang semasa semusim di Nice. Dia mencetak 17 gol dan 6 bantuan (“assist”) dalam 34 penampilan Ligue 1. Salah satu jaringan yang paling diingati sepanjang Hatem Ben Arfa di Nice tentulah gol solonya semasa menentang Caen. Gila lah.

KUSANGKA LANGIT CERAH SAMPAI KE PETANG RUPANYA HUJAN DI TENGAH HARI

Musim 2016/17 bukan saja musim pertama buat Hatem Ben Arfa di Paris Saint-Germain. Ia juga musim pertama buat ketua jurulatih Unai Emery yang baru tiba dari Sevilla selepas penyandang sebelumnya, Laurent Blanc dipecat.

Dengan lambakan pemain tengah menyerang berkualiti di Paris Saint-Germain seperti Angel Di Maria, Lucas Moura, Javier Pastore dan Julian Draxler, persaingan agak kompetitif untuk mengisi kesebelasan utama Unai Emery. Dan impian zaman kecil Hatem Ben Arfa mula bertukar mimpi ngeri.

Hatem Ben Arfa keluar masuk dari senarai skuad hari perlawanan. Kalau disenaraikan pun, Unai Emery lebih lunak untuk menjadikan Hatem Ben Arfa sebagai pemain gantian.

Memang boleh dibilang dengan jari dua tangan saja jumlah yang Hatem Ben Arfa dijadikan kesebelasan utama Paris Saint Germain. Alasan Unai Emery adalah tak puas hati dengan usaha yang ditunjukkan Hatem Ben Arfa semasa latihan dan juga perlawanan.

“Kau bukan Messi!” Dikhabarkan itulah bentakan Unai Emery kepada Hatem Ben Arfa dalam satu sesi latihan.

Tanpa siapa pun menduga, tanggal 5 April 2017 menjadi penampilan terakhir Hatem Ben Arfa buat Paris Saint-Germain. Dalam perlawanan suku akhir Coupe de France menentang Avranches, Hatem Ben Arfa menjaringkan dua gol dan melakukan satu bantuan untuk jaringan Javier Pastore.

Jaringan pertamanya merupakan satu percubaan yang agung, melencong dari kanan luar kotak penalti, hasil sepakan percuma pendek. Manakala bantuan golnya pula adalah hantaran bersahaja tetapi tajam melepasi perangkap “offside” lawan.

Namun, riak muka Hatem Ben Arfa di atas padang pada malam itu mungkin sudah menceritakan segalanya. Senyuman Hatem Ben Arfa tawar semasa meraikan gol-golnya. Manakala Unai Emery pula tidak kelihatan teruja. Ironisnya, inilah antara persembahan terbaik Hatem Ben Arfa di dalam jersi Paris Saint-Germain.

Selepas perlawanan tersebut, Paris Saint-Germain pun membekukan Hatem Ben Arfa. Tidak lagi diturunkan dalam sebarang perlawanan.

Memasuki tingkap perpindahan musim panas 2017, Paris Saint-Germain dengan kuasa duitnya telah membeli Neymar pada nilai perpindahan yang mencipta rekod dunia. Dalam masa yang sama, Unai Emery dah beritahu siap-siap yang Hatem Ben Arfa akan kekal di luar perancangannya.

Bagi mengimbangi perbelanjaan besar musim tersebut, Paris Saint-Germain memang dah bercadang nak jual Hatem Ben Arfa. Lagi pun dengan kontrak berbaki setahun, inilah peluang terbaik bagi kelab untuk dapatkan nilai yang sedap dari Hatem Ben Arfa.

Tapi perancangan Paris Saint-Germain gagal. Hatem Ben Arfa berdegil. Dia mahu kekal bersama kelab. Dan sebagai hukuman keras kepala, Paris Saint-Germain menghantar Hatem Ben Arfa berlatih bersama skuad remaja.

Memasuki tingkap perpindahan Januari 2018, Paris Saint-Germain sekali lagi cuba menjual Hatem Ben Arfa. Satu-satunya peluang terakhir bagi kelab untuk mendapatkan sisa-sisa wang yang ada. Leicester City menyatakan minat untuk membeli Hatem Ben Arfa. Tapi sekali lagi pemain berkenaan tak berganjak sedikit pun pendirian.

Hatem Ben Arfa memutuskan untuk keluar dari Paris Saint-Germain hanya selepas kontraknya tamat. Memang sikit pun Hatem Ben Arfa tak nak bagi Paris Saint-Germain dapat keuntungan daripadanya.

Hurm, dah macam taktik bumi hangus. “If I lose then you’re gonna lose too.” Dua-dua ego. Seorang Arab keturunan Tunisia dengan egonya. Seorang lagi Arab dari Qatar dengan egonya.

Pada April 2018, dia telah menaikkan gambar kek hari jadi dalam akaun Instagram. Benda ni pelik sebabnya tarikh lahir Hatem Ben Arfa adalah 7 Mac. Rupa-rupanya dia saja nak “troll” Paris Saint-Germain. Kek tu hanyalah simbolik meraikan setahun dia dibekukan daripada beraksi untuk Paris Saint-Germain.

Dan pada musim panas 2018, maka Hatem Ben Arfa pun melangkah keluar dari Paris Saint-Germain. Dia masih mengaku yang kelab itu tetap istimewa di hatinya. Yang dia tak puas hati hanyalah pada pihak pengurusan kelab saja. Dan dendam kesumat tu dibawanya bersama.

DENDAM KESUMAT HATEM BEN ARFA TAK BERKESUDAHAN

Walaupun Hatem Ben Arfa tak bermain hampir setahun setengah, kelab Rennes masih berminat untuk mendapatkannya. Maka Hatem Ben Arfa pun diberikan kontrak selama dua musim.

Pada awal kemunculannya di Rennes, aksi Hatem Ben Arfa agak berkarat. Dia tak mampu nak membantu kelab. Dalam 10 perlawanan liga pertama, Rennes hanya mampu mencatat tiga kemenangan. Gol pertama Hatem Ben Arfa buat Rennes pula hanya hadir pada bulan Oktober ketika menentang AS Monaco.

Begitu juga dalam cabaran peringkat kumpulan Liga Eropah (UEL). Rennes memulakan langkah kaki kiri. Mereka hanya melakarkan satu kemenangan pada 4 perlawanan pertama.

Mujurlah ketika hampir memasuki bulan Disember, Rennes berjaya menstabilkan prestasi bagi mengharungi musim. Ini yang membuatkan Rennes layak ke peringkat kalah mati UEL. Dan mungkin seperti yang sudah tertulis dalam qada dan qadar Ilahi, Rennes dipertemukan dengan Arsenal pada pusingan 16 pasukan UEL.

Pertemuan ni agak emosi bagi Hatem Ben Arfa sebab… Arsenal dibimbing oleh bekas bosnya sendiri, Unai Emery. Oh ya, Unai Emery pun turut meninggalkan Paris Saint Germain pada musim panas 2018 seperti Hatem Ben Arfa juga. Masuk sama-sama. Keluar sama-sama.

Walaupun kelab yang disokong Zizi Kirana ni merupakan sebuah pasukan lemah, lembik, sayur dan ayam, tapi mereka masih mempunyai kelebihan berbanding Rennes di atas kertas. Dan ini pun diakui oleh Hatem Ben Arfa sendiri.

Pertemuan pertama berlangsung di Roazhon Park. Tapi Rennes berjaya mengejutkan Arsenal 3-1. Perlawanan ni diingati bila mana Hatem Ben Arfa menggelakkan Unai Emery secara ikhlas. Tidak tawar atau kelat macam senyuman dia semasa meraikan gol ketika dalam penampilan terakhir Paris Saint-Germain.

Memang berdendam betul dia dengan Unai Emery. Mujurlah pada pusingan kedua di Stadium Emirates, Arsenal menang 3-0. Kalau tak, mungkin lagi besar gelakan Hatem Ben Arfa kepada Unai Emery.

Tapi dendam paling besar Hatem Ben Arfa tentulah pada pihak tertinggi Paris Saint-Germain, Sheikh Nasser Al-Khelaifi. Apabila Rennes ditakdirkan mara ke perlawanan akhir Coupe de France menentang Paris Saint-Germain, memang Hatem Ben Arfa bersemangat betul nak kalahkan majikan lamanya.

Perlawanan yang berlangsung pada 27 April 2019, menyaksikan Paris Saint-Germain mendahului selesa 2-0. Tapi Rennes berjaya mengikat kedudukan sebelum tamat wisel 90 minit perlawanan. Setelah tiada gol dijaringkan oleh kedua-dua pasukan dalam masa 30 minit masa tambahan, penentuan sepakan penalti dijalankan.

Dan apabila Christopher Nkunku gagal melaksanakan sepakan penaltinya, maka Rennes ditabal menjadi juara Coupe De France yang baru. Ini sekaligus menamatkan dominasi kejuaraan Paris Saint-Germain dalam kejohanan semenjak musim 2014/15. Ini juga merupakan trofi besar pertama bagi Rennes semenjak 1970.

Namun, aksi yang paling mencuri tumpuan tentulah selepas perlawanan. Hatem Ben Arfa dengan nakalnya menuju ke arah Sheikh Nasser Al-Khelaifi dan mahu bersalaman. Tapi muka pemilik Paris Saint-Germain tu pula seolah-olah terkejut dan buat macam tak mahu menerima salam Hatem Ben Arfa. Memang “savage” habis. Kahkahkah.

Semasa dalam temuduga selepas perlawanan, Hatem Ben Arfa sempat juga troll Paris Saint-Germain. Dia bangga pasukannya dapat melakukan “Remontada”, atau “comeback” ke atas Paris Saint-Germain.

Dalam masa yang sama, Hatem Ben Arfa nampak lawannya itu macam dah biasa mengalaminya. Ini merujuk juga kes Paris Saint-Germain kalah dalam situasi yang hampir serupa kepada dua pasukan gagah perkasa, iaitu Barcelona dan Manchester United di Liga Juara-Juara (UCL) pada musim 2017/18 dan 2018/19.

Dan Hatem Ben Arfa pun sempat memperingatkan Sheikh Nasser Al-Khelaifi tentang karma. Sebab sekarang ni, Adrien Rabiot pun mengalami nasib yang sama seperti Hatem Ben Arfa di Paris Saint-Germain. Dia kata Adrien Rabiot pun bakal lakukan pembalasan juga bila berpindah ke kelab lain pada musim panas nanti.

“Ingat, jangan pandang rendah lawan kau. Satu hari nanti, lawan-lawan kau ni akan datang balik dengan keadaan yang lebih padu!” Nasihat si ego Arab keturunan Tunisia kepada si ego Arab Qatar.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.