“Aku sampai di Manchester United sebagai seorang budak. Dan bila aku tinggalkan Manchester United, aku adalah seorang lelaki.”

Gerard Pique lahir dan dibesarkan di kota Barcelona. Di usia remajanya, dia merupakan salah seorang pelatih kepada kelab bola sepak terkenal dunia, FC Barcelona.

Kehidupan Gerard Pique banyak berlegar-legar di dalam tempat kelahirannya sehinggalah dia berumur 17 tahun. Manchester United yang ketika itu di bawah dinasti Sir Alex Ferguson sedar akan bakat dan potensi Gerard Pique. Dan mereka membawanya ke Old Trafford.

Maka bermulalah hidup jauh di perantauan yang banyak mendewasakan Gerard Pique, seperti yang kita lihat dia pada hari ni.

PENGALAMAN TERAWAL GERARD PIQUE DI MU

Dalam salah satu perlawanan terawal di Old Trafford, Gerard Pique sudah merasai tekanan bilik persalinan Manchester United. Lebih lagi, ketika itu bilik persalinan kelab berkenaan dikawal oleh Roy Keane. Seorang kapten yang terkenal dengan perangai bengis. Seperti Awie Wings barangkali.

Gerard Pique ketika itu tengah bersiap nak pakai stoking sebelum perlawanan. Duduk bersebelahannya adalah Ruud Van Nistelrooy, Ryan Giggs dan Rio Ferdinand.

Sementara menunggu Alex Ferguson masuk bagi menyampaikan amanat, Roy Keane pula datang dan duduk di sebelah Gerard Pique. Memandangkan bilik persalinan itu sendat, kaki lutut pemain boleh saja hampir berlaga semasa duduk.

Keadaan menjadi sunyi sepi. Seperti malam yang sepi, Pak Mat jual kopi, kopi yang enak, Pak Mat jual anak.

Tiba-tiba….

Bzzzzz, bzzzzz, bzzzzz.

Bunyi telefon sedang bergetar. Sangat halus tapi boleh jelas didengari. Roy Keane mula melilau cuba mencari dari mana bunyi itu datang.

Gerard Pique dah mula menggelabah. Itu bunyi telefon bimbitnya yang berada dalam kocek seluar. Dan seluar tu pula betul-betul tergantung tak jauh di belakang kepala Roy Keane.

Saka Roy Keane pun mula muncul dalam diri. Si kapten dah menggila nak mencari dari mana bunyi tu datang.

“Siapa punya telefon tu???!!!!” Bentak Roy Keane membingitkan bilik persalinan.

Bili persalinan senyap.

Diulangnya sekali lagi bentakan lagi.

Senyap lagi.

Masuk kali ketiga, saka Roy Keane mencapai tahap tertinggi amarahnya;

“Siapa. Punya. Telefon. Yang. £&%#@. Tu?????!!!!!!!”

Gerard Pique pun termangu-mangu mengaku. Tak ubah seperti budak sekolah berdepan dengan cikgu disiplin. Budak sekolah zaman dululah. Bukan budak sekolah zaman sekarang.

Lepas tu, rasanya dah boleh agak apa yang terjadi. Gerard Pique macam rasa nak terberak akibat amukan Roy Keane depan semua pemain lain.

Nak terberak okay, bukan terkencing lagi dah. Bayangkanlah.

GERARD PIQUE BERGELUT MAHU SESUAIKAN DIRI DI MANCHESTER UNITED

Jikalau melihat Gerard Pique di FC Barcelona hari ni, mungkin kita terlupa era dia di Manchester United.

Kalau di FC Barcelona, Gerard Pique bagaikan pemain pertahanan tak terkalahkan. Boleh dikira antara terbaik di dunia. Tapi di Manchester United, Gerard Pique umpama tak mencapai tahap sebegitu.

Salah satu sebabnya adalah Gerard Pique agak bergelut untuk menyesuaikan diri di tempat orang. Bahasa berbeza. Budaya berbeza. Cara bola sepak berbeza. Lagi parah, berjauhan dengan keluarga.

Ditambah pula masa tu Gerard Pique seolah-olah rasa tenggelam bila dikelilingi nama-nama besar bola sepak di Manchester United yang boleh dikira sebagai “living legend”. Bermain pula dibawah kendalian pengurus terkenal seantero dunia, Sir Alex Ferguson.

Dan seperti kebanyakan pemain import lain, cuaca di kota Manchester adalah satu cabaran paling tertinggi. Kalau pemain lain merungut Manchester selalu mendung dan hujan, Gerard Pique pula merungut pasal tempoh siangnya singkat apabila musim luruh.

Pukul 4 petang saja, hari di Manchester dah mula nak gelap. Dan dia jadi lebih suka duduk di rumah. Hampir-hampir saja dia jadi “depression”.

Dek kerana pengalaman ni, Gerard Pique selalu pesan. Jangan hukum atau mengata pemain muda berbakat jika mereka tak menjadi di luar negara. Ada banyak sebab dan faktor luaran yang membuatkan mereka susah nak mencapai potensi.

MUSIM AKHIR GERARD PIQUE DI MANCHESTER UNITED

Kerap kali Gerard Pique selalu terfikir nak balik ke Sepanyol. Tapi ayahnya pula selalu pujuk untuk dia kekal di Manchester. Gerard Pique disuruh untuk fikir positif saja.

Mujurlah Gerard Pique ni di bawah Sir Alex Ferguson. Walaupun garang, dia masih ada sisi kebapaan juga. Tahu macam mana nak jaga budak-budak muda. Itu yang Gerard Pique anggap Alex Ferguson ni macam bapak keduanya.

Dalam tahun 2007, Alex Ferguson ada berjumpa dengan Gerard Pique. Dia pun memberitahu yang Gerard Pique akan bermain 25 perlawanan pada musim 2017/18.

Segalanya bermula seperti yang dirancangkan. Gerard Pique berpeluang bermain di bahagian pertahanan tengah Manchester United. Menjadi regu kepada Rio Ferdinand.

Tapi yang indah hanyalah sementara. Hinggalah Tragedi November berlaku… Ketika itu perlawanan menentang Bolton Wanderers di tempat lawan.

Pada minit ke-11 perlawanan, Bolton Wanderes dihadiahkan tendangan percuma. Gerard Pique ditugaskan mengawal Nicolas Anelka. Ivan Campo menghantar sepakan tersebut ke arah Nicolas Anelka.

Gerard Pique cuba melompat bagi menanduk keluar bola tersebut dari kawasan bahaya. Tapi malangnya dia gagal menjangkakan pergerakan bola dengan tepat.

Bola sampai ke Nicolas Anelka. Dan dengan mudah penyerang kontroversi itu melakukan jaringan.

Peristiwa itu merupakan mimpi ngeri buat Gerard Pique. Lebih-lebih lagi Manchester United kalah 1-0 pada perlawanan tersebut.

Masa tu, Gerard Pique dah dapat rasakan yang dia mempersia-siakan kepercayaan yang diberi Alex Ferguson. Mengharungi musim itu, Gerard Pique hanya diturunkan 13 perlawanan sahaja. Hanya separuh daripada apa yang pernah disasarkannya bersama Alex Ferguson.

Melepasi pertengahan musim itu, ejen Gerard Pique memberitahu yang FC Barcelona mula tunjuk minat untuk mendapatkan kembali khidmatnya. Satu perkara yang dia sendiri pun sukar mempercayainya. Ini disebabkan dia tak dapat banyak peluang bermain pun di Manchester United.

Gerard Pique yang memang dah nak sangat balik kampung pun berjumpa dengan Alex Ferguson. Dia dengan berat hati meminta jasa baik Alex Ferguson untuk melepaskannya pergi sekiranya FC Barcelona mahukannya.

Selepas berborak panjang, Alex Ferguson pun dengan berat hati menyatakan persetujuan. Tapi ada syaratnya. Perpindahan itu hanya akan dipersetujui selepas musim berakhir.

Tapi kisah duka Gerard Pique di Manchester United tidak berakhir di dalam pertemuan empat mata bersama Alex Ferguson tersebut.

Pada April 2008, Manchester United telah dijadualkan untuk bertemu FC Barcelona dalam separuh akhir Liga Juara-Juara. Peringkat pertama pusingan ini bertempat di Nou Camp.

Pada mulanya, Gerard Pique tak rasa dia berpeluang untuk dipilih bermain dalam perlawanan sebesar ni. Maklumlah, pilihan ketiga bek tengah Manchester United, di belakang Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic.

Tapi tak semena-mena, Nemanja Vidic pula tercedera sebelum hari perlawanan. Maka terbuka luaslah peluang untuk Gerard Pique untuk beraksi menentang kelab pujaannya. Satu pengalaman yang mengujakannya untuk beraksi di hadapan 90,000 penonton.

Beberapa jam sebelum perlawanan, Gerard Pique pun berehat sebentar di hotel. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Disangkakan pekerja hotel. Tetapi rupa-rupanya adalah Alex Ferguson.

Gerard Pique mula rasa tak sedap hati. Sebabnya, Alex Ferguson tak pernah jumpa pemain-pemainnya sebelum perlawanan. Dan sangkaan Gerard Pique itu ternyata benar.

“Gerard, aku terpaksa beritahu kau. Aku tak dapat turunkan kau pada perlawanan ni.”

“Perjanjian kau ke Barcelona sudah hampir-hampir kitorang nak muktamadkan. Kalau aku letak kau dalam kesebelasan utama, lepas tu kau pulak tak bermain dengan baik, nanti orang mengata yang dalam kepala kau sudah terfikir nak pergi Barcelona.”

Musnahlah impian Gerard Pique nak bermain untuk Manchester United di Nou Camp. Memang sakit. Seperti sakitnya Sufian Suhaimi putus tunang agaknya.

Tapi kalau difikir-fikirkan ada juga hikmahnya. Manchester United berjaya mengikat FC Barcelona 0-0. Pada perlawanan kedua pula, mereka menang 1-0 di Old Trafford.

Dan selepas tu, tahu-tahulah apa yang terjadi pada Manchester United. Kalau siapa dah tak ingat, biarlah sejarah melaungkan kepada dunia yang Manchester United menjadi juara Liga Juara-Juara Eropah pada musim tu.

Dan Gerard Pique pun meninggalkan Manchester United secara baik.

Namun tak semuanya buruk saja di Manchester United. Bekalan pengalaman berharga berada di bawah Alex Ferguson telah dibawa bersama. Dan menjadikannya sebagai salah seorang pertahanan terbaik di FC Barcelona.

Itu yang Gerard Pique kata;

“Aku sampai di Manchester United sebagai seorang budak. Dan bila aku tinggalkan Manchester United, aku adalah seorang lelaki.”

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

The Players Tribune, 2018, Gerard Pique, A Long Story

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.