“Bagai berlakikan Aliff Aziz.”

Mungkin peribahasa Melayu ini dapat menggambarkan perasaan pemain dan penyokong Eintracht Frankfurt pada perlawanan penutup tirai Bundesliga bagi musim 2018/19. Mereka kalah 5-1 kepada Bayern Munich. Ini merupakan kekalahan kedua terbesar kelab kota metropolitan dalam liga bagi musim ni.

Keputusan ni bukan saja menghadiahkan kejuaraan Bundesliga kepada kelab Bavaria tersebut. Malah, ia membuatkan Eintracht Frankfurt mengakhiri musim mereka dengan tergelincir di tangga ketujuh liga.

Ironisnya, sebelum wisel penamat dibunyikan, Eintracht Frankfurt berisiko menduduki tangga kelapan. Mujurlah nasib mereka berubah apabila nun jauh di Coface Arena, Mainz melakukan “comeback” selepas ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama.

Die Nullfunfer mengambil kesempatan ke atas Hoffenheim yang bermain 10 orang dengan melakar jaringan kemenangan pada lewat perlawanan. Kemenangan Mainz 4-2 ini membuatkan Hoffenheim terpaksa menduduki setangga di bawah Eintracht Frankfurt.

KISAH DONGENG YANG TIADA PENGAKHIRAN GEMBIRA

Eintracht Frankfurt bolehlah dikatakan sebagai “surprise package” atau kisah mengejutkan bagi Bundesliga pada musim ini. Macam kau “target” nak selfie dengan Khatijah Tan, tapi ada pula Elizabeth Tan nak “offer” selfie dengan kau.

Eintracht Frankfurt ni memulakan kempen dengan agak lembap lagi sayur. Die Adler hanya mengutip empat mata selepas lima perlawanan pertama. Mereka menduduki tangga ke-17 Bundesliga.

Nasib mereka terus berubah 180 darjah selepas tu. Skuad kendalian Adi Hutter mencatat empat kemenangan dan satu seri dalam lima perlawanan seterusnya. Ini melonjakkan Eintracht Frankfurt ke tangga kelima Bundesliga, serta dalam kelompok slot untuk ke Eropah pada musim hadapan.

Sejak daripada itu, Eintracht Frankfurt tidak pernah terkeluar daripada kelompok enam kelab teratas Bundesliga hinggalah “match day” ke-22. Ini selepas mereka seri 1-1 dengan Borussia Monchengladbach.

Keputusan itu membuatkan Die Adler jatuh ke tangga ketujuh. Tapi ianya hanyalah sebentar saja. Kemenangan 3-0 ke atas Hannover 96 pada perlawanan berikutnya mengembalikan Die Adler ke kelompok atasan. Dan mereka kekal di sana sehingga “match day” ke-28.

Berbaki 6 perlawanan, Eintracht Frankfurt dengan megahnya berada di tangga keempat Bundesliga dengan 53 mata. Di belakangnya adalah Borussia Monchengladbach dengan 48 mata. Diikuti Wolfsburg pula 45 mata.

Laluan Eintrach Frankfurt untuk ke Liga Juara-Juara nampaknya semakin cerah. Tapi apa yang berlaku selepas itu adalah lebih teruk daripada apa yang dihadapi oleh Die Adler di awal musim.

BEBAN KEJAYAAN LIGA EROPAH

Eintracht Frankfurt merupakan kelab terakhir Bundesliga yang membawa bendera Jerman di pentas Eropah bagi musim ni.

Dalam Liga Juara-Juara, Bayern Munich, Borussia Dortmund dan Schalke 04, kesemuanya sangkut di peringkat 16 pasukan. Manakala Hoffenheim pula sudah awal-awal lagi dibungkus ketat-ketat pada peringkat kumpulan.

Dalam Liga Eropah pula, kelab minuman tenaga, RB Leipizig berkongsi nasib yang serupa seperti Hoffenheim. Manakala kelab ubat-ubatan, Bayer Leverkusen pula ditunjukkan jalan keluar pada peringkat 32 pasukan oleh FC Krasnodar.

Hanya Eintracht Frankfurt saja yang betul-betul mahu membela nama kejuruteraan bola sepak Jerman. Mereka mara ke sehingga ke separuh akhir kejohanan untuk bertemu kelab gergasi Inggeris, Chelsea.

Andai kata Martin Hinteregger dan Goncalo Paciencia kuat mental menyempurnakan dua sepakan penalti terakhir, mungkin Die Adler yang bermain di Baku bagi perlawanan akhir Liga Eropah pada Hari Kaamatan nanti. Bukannya Chelsea.

Dari segi positifnya, pencapaian Eintracht Frankfurt ni ternyata membuka mata ramai pihak terhadap mereka. Die Adler umpama Ajax Amsterdam bagi Liga Juara-Juara. Lagi pun, dapatlah mereka mengumpul duit ganjaran UEFA lebih sikit dari kejayaan ni.

Sepanjang kemaraan ke separuh akhir ini, beberapa kelab yang lebih “established” dan berpengalaman di pentas Eropah tersungkur mencium ibu jari kaki Eintracht Frankfurt. Antara Inter Milan pada peringkat 16 pasukan dan juga Benfica pada peringkat suku akhir.

Namun begitu, Eintracht Frankfurt membayar harga yang tinggi di Bundesliga bagi kejayaan mereka di pentas Eropah.

EINTRACHT FRANKFURT KEPENATAN BEBAN DUA KEJOHANAN

Semenjak selepas pertemuan pertama menentang Benfica di suku akhir pada 11 April, prestasi Eintracht Frankfurt di Bundesliga terus menurun mendadak. Bagai indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI semenjak Pilihanraya Umum ke-14.

Die Adler kalah 3-1 di laman sendiri kepada FC Augsburg pada 14 April. Siap Gelson Fernandes dibuang padang lagi pada minit ke-47. Ini merupakan perlawanan Bundesliga yang ke-29.

Begitu juga empat hari selepas perlawanan suku akhir kedua bertemu Benfica. Mereka seri 1-1 dengan Wolfsburg. Dan ini disusuli pula terikat tanpa jaringan bersama Hertha Berlin.

Selepas mengikat Chelsea 1-1 pada separuh akhir pertama Liga Eropah, Die Adler dimalukan 6-1 oleh Bayer Leverkusen. Lebih pedih, kesemua 6 gol lawan tu dijaringkan pada 36 minit pertama perlawanan.

Balik dari London selepas perlawanan kedua separuh akhir Liga Eropah, Eintracht Frankfurt bertemu Mainz. Die Alder tewas 2-0. Walhal bermain dekat laman sendiri tu.

Lima perlawanan. 2 seri. 3 kalah. 3 gol. 12 bolos. Memang jelas ia bukanlah satu azimat dan tonik yang baik bagi Die Adler untuk dibawa ke perlawanan terakhir Bundesliga menentang Bayern Munich.

Salah satu faktor utama kemerosotan prestasi Eintracht Frankfurt adalah keletihan skuad dalam mengimbangi kedua-dua kejohanan. Lebih-lebih lagi Adi Hutter ni pula jenis yang payah nak “rotate” majoriti kesebelasan utamanya.

Ini ditambah pula dia kehilangan Sebastian Haller, salah seorang figura penting dalam serangan tiga serangkai utama Eintracht Frankfurt. Pemain dari Perancis ini terpaksa diketepikan mengalami masalah abdomen semenjak awal April lagi.

KESIMPULAN

Menghabiskan musim di tangga ketujuh Bundesliga secara asasnya tidak menjanjikan tempat ke Eropah pada musim hadapan. Tetapi Eintracht Frankfurt mungkin perlu berterima kasih kepada Bayern Munich dan RB Leipizig.

Kedua kelab-kelab ini mara ke perlawanan akhir DFB Pokal. Kejuaraan DFB Pokal menjanjikan tempat ke Liga Eropah. Tapi dalam masa yang sama, Bayern Munich dan RB Leipzig sudah pun layak ke Liga Juara-Juara musim depan secara automatik. Ini berdasarkan kedudukan mereka dalam Bundesliga.

Jadinya, slot ke Liga Eropah ini akan diberikan kepada pasukan yang menduduki tangga ketujuh Bundesliga, iaitu Eintracht Frankfurt. Cumanya, mereka terpaksa memulakan musim depan lebih awal berbanding kelab lain. Sebabnya, Die Adler terpaksa melalui pusingan kelayakan bagi kejohanan tu terlebih dahulu.

Liga Eropah mungkin kurang popular dan lumayan berbanding Liga Juara-Juara. Tapi nak buat macam mana, itulah keperitan perlu ditelan oleh Eintracht Frankfurt musim ini. Lebih-lebih lagi, mereka mungkin juga kehilangan Luka Jovic selepas ini.

Tak apa, Die Adler. Manchester United kan ada. Kahkahkah.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

P/S: Artikel di atas adalah pendapat peribadi penulis. Bola Tonjol seperti biasa, sentiasa kekal berkecuali dalam hal-hal berkaitan isu ‘deep’ seperti artikel ini.

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.