Menjelang perlawanan Copa America yang akan membuka tirainya pada 15 Jun ini, mari kita singkap kembali sejarah dan informasi Copa America sejak pertama kali dipertandingkan.

Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Tertua

Copa America pertama kali dilangsungkan pada tahun 1916, bermakna ketika edisi pertama ini dilangsung, Perang Dunia Pertama sedang rancak berlangsung di bumi Eropah iaitu sekitar tahun 1914 hingga 1918.

Copa America juga lebih awal diperkenalkan sebelum Piala Dunia edisi pertama yang berlangsung di Uruguay pada 1930, juga Kejohanan Benua jauh lebih awal berbanding Euro yang pertama kali dilangsungkan di Perancis pada 1960.

Edisi pertama itu dianjurkan di Argentina dengan hanya disertai 4 pasukan iaitu Argentina, Brazil, Chile dan Uruguay. Format ’round-robin’ digunapakai dengan Uruguay ditabalkan sebagai juara setelah memungut 5 mata hasil 2 menang dan 1 seri (ketika itu pemenang akan memungut 2 mata).

Berlangsung Pada Tahun Yang Fleksibel

Berbeza dengan Piala Dunia dan Euro yang kita ketahui penganjurannya berlaku 4 tahun sekali, Copa Amerika berlangsung pada tahun yang fleksibel iaitu tidak tetap kepada beberapa tahun sekali.

Ada yang dilangsungkan setiap tahun, sebagai contoh berlaku pada tahun 1919 hingga 1927. Kemudiannya dianjurkan setiap 2 tahun sekali seperti ditahun 1935, 1937, 1939, 1941.

Jangan tak tahu, Copa Amerika juga pernah dilangsungkan 2 kali dalam setahun, ianya berlaku di bulan April dan Disember pada tahun 1959.

Disebabkan pasukan di bawah naungan CONMEBOL hanyalah sejumlah 10 pasukan, tidak pelik jika Kejohanan Copa America dilangsungkan bila-bila masa. Malah penulis cuma nampak cabaran utama sesebuah pasukan untuk membariskan skuad terbaik adalah mengumpulkan pemain terbaik yang mereka ada yang bermain di Eropah.

Tetapi harus diingatkan, sungguhpun Conmebol mempunyai 10 pasukan, pernah berlangsung perlawanan kelayakan iaitu ketika Edisi 1967, Chile tewaskan Colombia agreget 5-2 dan Paraguay tewaskan Ecuador agreget 5-3.

Tetapi sejak edisi 1993, Copa Amerika mengambil pendekatan dengan menjemput pasukan luar benua Amerika Selatan untuk turut sama memeriahkan kejohanan ini.

Juara Terbanyak

Kita semua ketahui Brazil merupakan pasukan yang tidak pernah gagal ke Piala Dunia dan merupakan juara Piala Dunia terbanyak dengan 5 kejuaraan. Tetapi itu tak bermakna Brazil juga merupakan juara terbanyak Copa America.

Uruguay selaku juara edisi pertama, juga tuan rumah dan juara Piala Dunia edisi pertama, merupakan juara terbanyak dengan 15 kejuaraan. Ianya diikuti Argentina dengan 14 gelaran juara. Ironinya kali pertama dan terakhir Uruguay merangkul juara adalah dibumi Argentina. Edisi 2011 menyaksikan Uruguay tewaskan pasukan yang langsung tidak pernah menang tetapi mara ke final iaitu Paraguay dengan jaringan 3-0.

Hanya Ecuador dan Venezuela sebagai pasukan Conmebol tidak pernah merasa nikmat juara, pencapaian terbaik Ecuador ialah menduduki tempat ke-4 pada edisi 1993, Venezuela yang juga merupakan satu-satunya pasukan Conmebol yang tidak pernah berpeluang ke Piala Dunia juga melalui pencapaian terbaik dengan menduduki tempat ke-4, iaitu pada Edisi 2011. Venezuela tewas 4-1 kepada Peru dipenentuan tempat ke-3.

Tahun ke-100

Copa America pernah menjarakkan tahun penganjuran kepada 4 tahun sekali iaitu pada 2011, 2015 dan 2019. Tetapi pada 2016 lalu penganjuran istimewa dianjurkan sempena genap 100 tahun penganjuran. Lebih unik ianya dianjurkan buat pertama diluar Benua Amerika Selatan dengan Amerika Syarikat dipilih selaku penganjur edisi istimewa ini.

Pasukan Jemputan

Untuk edisi 2019 ini, Jepun yang pernah dijemput pada edisi 1999,  sekali lagi menjadi pasukan jemputan bersama satu lagi pasukan dari Asia yang juga bakal penganjur Piala Dunia 2022, Qatar.

Jepun diundi dalam kumpulan C bersama Chile, Ecuador dan Uruguay sementara Qatar diletakkan dalam kumpulan B bersama Argentina, Colombia dan Paraguay.

Untuk rekod, edisi 2016 yang juga digelar Centenario, merupakan pasukan terbanyak hadir sebagai pasukan jemputan iaitu Costa Rica, Haiti, Jamaica, Mexico, Panama dan tentunya tuan rumah Amerika Syarikat.

Pasukan jemputan setakat ini belum pernah bergelar juara, tetapi Mexico selaku pasukan jemputan regular sejak edisi 1993 pernah berjaya ke final 2 kali, Mexico tewas 2-1 kepada Argentina di edisi 1993 dan 1-0 kepada Colombia pada 2001.

Rekod

Javier Ambrois dari Uruguay dan Humberto Maschio dari Argentina merupakan pemain terakhir yang menjaringkan gol terbanyak iaitu 9 gol di edisi 1957. Rekod itu gagal dipecahkan hingga hari ini, Pelle muncul pada edisi berikutnya dengan 8 gol (1959), sementara Adriano menjaringkan 7 gol pada edisi 2004, itulah gol terbesar dicatatkan di era moden. Mungkinkah edisi 2019 ini ada pemain mampu jaringkan 10 gol?

Guillermo Stábile dari Argentina merupakan Jurulatih terbaik dengan merekodkan 6 kejuaraan Copa America buat Argentina, ianya berlaku pada edisi 1941, 1945, 1946, 1947, 1955 dan 1957.

Jika Javier Ambrois dan Humberto Maschio mencipta rekod 9 gol dalam 1 edisi, Zizinho dari Brazil dan Norberto Méndez dari Argentina pula mencipta rekod 17 gol sepanjang edisi pernah dilangsungkan. Pemain yang masih bermain ketika ini, iaitu Paolo Guerrero dari Peru dan Eduardo Vargas dari Chile baru menjaringkan 11 gol, masih ketinggalan 6 gol.

Walaupun tidak pernah memberikan kejuaraan kepada Argentina, Lionel Messi sekurang-kurangnya mencipta rekod peribadi dengan melakukan assist terbanyak iaitu 11 assist, Messi juga mencipta rekod hatrik terpantas iaitu hanya dalam masa 19 minit, ianya berlaku pada edisi 2016 di mana Messi menjaringkan gol minit 68′ 78′ dan 87′ ke atas Panama di perlawanan kumpulan D.

Nota Kaki: RTM akan menyiarkan perlawanan pilihan secara langsung menerusi TV2, perlawanan pembukaan antara tuan rumah, Brazil menentang Bolivia akan berlangsung jam 8.30 pagi, sabtu 15 Jun ini.

Beberapa perlawanan pilihan turut disiarkan tetapi waktu siaran semestinya tidak mesra Malaysia..haha

Argentina menentang Colombia (16 Jun – 5.30 pagi)

Jepun lawan Chile (18 Jun – 6.30 pagi)

Brazil lawan Venezuela (19 Jun – 8.00 pagi)

Argentina lawan Paraguay (20 Jun – 8.00 pagi)

Uruguay lawan Jepun (21 Jun – 6.30 pagi)

Peru lawan Brazil (23 Jun – 2.30 pagi)

Qatar lawan Argentina (24 Jun – 2.30 pagi)

Chile lawan Uruguay (25 Jun – 6.30 pagi)

Selamat Menonton..

Sumber: tonyscupdotcom – History The beginning of the oldest continental soccer championship in the world.

Kongsi Artikel Ini

Rahim Giolorossi merupakan salah seorang admin AS Roma Malaysia.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.