Pep Guardiola mungkin cemerlang mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL). Jurgen Klopp pula memberi tentangan sengit kepada skuad Pep Guardiola sehingga ke perlawanan terakhir EPL. Satu fenomena perlumbaan kejuaraan EPL yang penuh dramatik tak terlihat sebelum ni.

Maurico Pochettino masih mampu membawa Tottenham Hotspur dalam kelompok empat teratas EPL, walaupun dinafikan dari berbelanja membeli pemain baru dalam kedua-dua tingkap perpindahan musim 2018/19. Manakala Nuno Espirito Santo mengemudi Wolverhampton Wanderers untuk berada di tangga ketujuh dalam musim pertama sekembalinya kelab tersebut ke EPL.

Keempat-empat nama ini tercalon bagi anugerah Pengurus Terbaik 2018/19 yang diberikan oleh Persatuan Pengurus Liga (LMA). Namun mereka semuanya tewas kepada Chris Wilder. Kejayaan kelabnya, Sheffield United, naik ke EPL bagi musim 2019/20 ternyata lebih memikat para pengundi.

Chris Wilder merupakan pengurus bukan EPL yang kelima memenangi anugerah utama ni. Kali terakhir, pengurus bukan EPL yang berjaya mendapat gelaran ni adalah Eddie Howe pada 2015. Ini selepas Bournemouth berjaya naik ke EPL. Tahun itu juga merupakan kali terakhir pengurus berbangsa Inggeris dinobatkan anugerah tersebut.

Selain daripada gelaran ni, Chris Wilder juga memenangi anugerah Pengurus Terbaik bagi Liga Kejuaraan 2018/19.

SEJARAH KEJAYAAN CHRIS WILDER DALAM ANUGERAH LMA

Nama Chris Wilder ni taklah popular menghiasi artikel-artikel dalam laman web bola sepak. Juga, susah betul kita nak terbaca khabar-khabar angin mengaitkan Chris Wilder mengambil alih jawatan pengurus dalam kelab yang popular.

Walaupun begitu, kita jangan mudah memperkecilkan Chris Wilder. Dia sudah lama tegar dalam meraih anugerah LMA sejak daripada musim 2015/16 hinggalah 2018/19 ni, kecuali musim 2017/18 saja.

Pada musim 2015/16, dia bergelar Pengurus Terbaik Liga Dua. Ketika itu, Chris Wilder bersama kelab Northampton Town telah menjuarai liga keempat tertinggi di dalam hierarki bola sepak Inggeris.

Musim berikutnya, Chris Wilder menggondol pula anugerah Pengurus Terbaik Liga Satu. Ini selepas kelab yang baru disertainya, Sheffield United menjadi juara liga tersebut.

Kalau dilihat pada rekod ni, Chris Wilder sudah sapu kesemua anugerah LMA dalam setiap kejohanan liga yang disertainya.

SIAPA CHRIS WILDER?

Kalau dilihat daripada pencapaian Chris Wilder di atas, kita akan rasakan dia ni macam ada magis. Macam senang-senang saja dia bermaharaja lela dalam liga bawahan. Tapi hakikatnya tak semudah tu.

Dia memulakan karier pengurusannya pada usia 34 tahun. Muda. Kelab pertama di bawah kendaliannya adalah Alfreton Town.

Tak kenal?

Tak apa. Kelab ni berada dikira sebagai ‘bukan liga’ sebab berada lagi bawah daripada hierarki piramid Liga Bola Sepak Inggeris (EFL). Walaupun begitu, mereka masih juga ada liga wilayah yang tersendiri.

Chris Wilder tak lama bersama Alfreton Town. Sekadar 27 minggu saja. Tapi dia berjaya menang empat piala. Selepas itu, dia terus menyertai Halifax Town, kelab terakhirnya semasa zaman main bola sepak dulu. Chris Wilder jadi pengurus Halifax Town selama 6 tahun. Sampailah kelab tu sendiri menemui ajal akibat masalah kewangan.

Pada Jun 2008, dia menyertai Bury. Chris Wilder menjadi orang nombor dua kepada bekas pertahanan Halifax Town, Alan Knill. Buat sementara waktu, Chris Wilder tak lagi sibuk dalam tugas-tugas utama menguruskan skuad.

Enam bulan kemudian, Chris Wilder menerima tawaran menjadi pengurus Oxford United. Ketika itu, kelab yang juga dikenali sebagai ‘The U’s’ ni bermain dalam Liga Konferens. Mereka berada di kedudukan tengah liga. Prestasi pemain ke laut. Dengan berpotensi besar boleh diturunkan ke liga bawahan.

Kehadiran Chris Wilder mengubah nasib Oxford United. Di sini, dia menggunakan pendekatan seperti yang diamalkan dalam kelab-kelab professional liga atasan. Chris Wilder bawa masuk jurulatih kecergasan.

Tiap kali Jumaat penghulu segala hari, Chris Wilder akan suruh pemain remaja Oxford United jadi kerani. Kerja mereka adalah membantu menaip kertas laporan terperinci pasal taktikal pasukan lawan.

Laporan ni pula diberi kepada pemain skuad senior sebelum menghadapi perlawanan. Selain tu, mereka juga perlu tengok DVD corak permainan lawan. Hasil usaha Chris Wilder berhasil. The U’s berjaya kembali ke EFL (Liga Dua) pada musim 2009/10, setelah 4 tahun terbuang ke bawah.

Pada Januari 2014, Chris Wilder membuat keputusan mengejutkan. Dia meninggalkan Oxford United yang sedang sedap-sedap nak mengejar “promotion” ke Liga Satu. Destinasinya adalah Northampton Town, kelab yang satu liga dengan Oxford United. Tapi sedang berada di tempat paling corot.

Menariknya, bekas bos Chris Wilder di Bury dulu, Alan Knill turut menyertainya. Kali ni, Alan Knill pula yang menjadi orang nombor dua kepada Chris Wilder. Terbalik dari apa yang mereka lalui satu ketika dulu.

Gandingan Chris Wilder-Alan Knill berjaya menyelamatkan Northampton Town daripada diturunkan. Dua musim selepasnya, mereka berjaya membawa Northampton Town menjuarai liga, dan naik ke Liga Satu.

CHRIS WILDER DI SHEFFIELD UNITED

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Chris Wilder ni membuka jalan kepada ‘dream job’ nya. Tanggal 12 Mei 2016, Chris Wilder secara rasminya menjadi pengurus Sheffield United. Alan Knill pun turut ikut.

Sebenarnya, banyak unsur sentimental di sebalik kelab ini kepada Chris Wilder.

Sheffield United merupakan kelab yang disokongnya. Kelab ini jugalah tempat dia berlatih masa budak-budak dulu. Tempat ni adalah mula-mula dia berkenalan dengan Alan Knill semasa umur pertengahan remaja.

Chris Wilder juga pernah jadi budak milo di Bramall Lane, arena bagi Sheffield United. Dia juga pernah beraksi menyarung jersi kelab. Siap buat tatu lambang kelab lagi. Ini stok kalau toreh lengan, mungkin keluar darah warna jersi The Blades kot.

Antara benda pertama yang dilakukan setibanya di Sheffield United adalah melantik penyerang Billy Sharp sebagai kapten. Billy Sharp ni sebenarnya sehati sejiwa macam Chris Wilder juga. Penyokong totok lagi tegar The Blades.

Di bawah Chris Wilder, permulaan Sheffield United bagi musim 2016/17 agak lembap. Selepas empat perlawanan, mereka hanya mampu mencatat satu mata dan terperosok di tangga terbawah Liga Satu. Tapi selepas itu, Sheffield United mula sedap masuk gear, tekan minyak dan henjut. Akhirnya, mereka berjaya menjuarai liga setelah mengumpul 100 mata.

Secara automatik, The Blades naik ke Liga Kejuaraan. Kejayaan ni boleh dibanggakan sebab Sheffield United adalah kelab yang ‘sengkek’. Walhal kelab itu dimiliki 50% oleh putera Arab Saudi, Abdullah bin Musa’ed sejak dari 2013.

Sekembalinya ke Liga Kejuaraan, Sheffield United menghabiskan musim 2017/18 di tangga ke-10. Memasuki musim panas 2018, pergolakan di antara kedua-dua pemilik kelab, Abdullah bin Musa’ad dan Kevin McCabe pun berlaku.

Chris Wilder mula mengugut akan meletak jawatan jika ianya tak diselesaikan. Kedua-duanya pun berdamai sekejap, sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada Mei 2019.

Penjualan David Brooks ke Bournemouth pada musim panas yang sama pada nilai £11 juta ternyata melegakan sedikit kantung kewangan kelab.

Dengan modal duit tu, Chris Wilder membawa masuk John Egan pada £5 juta, rekod pembelian termahal kelab. Selain tu, dia juga berbelanja £2 juta bagi mendapatkan Oliver Norwood. Pemain-pemain baru yang lain semuanya diambil melalui perpindahan percuma.

Dua perlawanan pertama musim 2018/19 berakhir dengan kekalahan. Tapi biasalah, hero mesti kalah dulu. Sheffield United mula masuk gear tinggi sikit demi sikit. Pada Hari Natal, mereka menduduki tangga keenam Liga Kejuaraan.

Selepas perayaan itu, prestasi mereka mencanak-canak perginya. Menang 15 perlawanan dan 5 seri dalam 22 perlawanan. Dan apabila Sheffield United menumpaskan Ipswich Town 2-0, maka mereka pun ditakdirkan untuk naik ke EPL. Ini selepas 13 tahun disingkirkan daripada liga teratas Inggeris tersebut.

MENGAMBIL INSPIRASI DARI EDDIE HOWE

Bukanlah satu rahsia yang Chris Wilder ni mengidolakan Eddie Howe, walaupun rakan sejawatnya di Bournemouth tu satu dekad lagi muda darinya.

Antara sebab-sebabnya adalah Bournemouth kelab kecil. Di bawah Eddie Howe, kelab berkenaan berjaya mendaki dari Liga Satu ke EPL.

Selain tu, Eddie Howe juga masih percaya dan mengekalkan beberapa pemain yang telah bersama Bournemouth semasa kelab bermain dalam liga bawahan lagi. Antaranya, kapten Simon Francis, Steve Cook, Marc Pugh dan Charlie Daniels.

Di Sheffield United, Chris Wilder selalu menggunakan kejayaan Eddie Howe dan Bournemouth ni sebagai modal untuk memotivasikan skuadnya. Dan teknik ini nampaknya berjaya apabila Sheffield United berjaya mendapatkan dua kenaikan liga dalam masa tiga musim. Satu pencapaian yang sebijik seperti dilakukan oleh Eddie Howe di Bournemouth.

KESIMPULAN

Semua kenaikan dalam piramid liga professional bola sepak Inggeris sudah dirasai Chris Wilder. Dengan kejayaan ke EPL merupakan yang paling “ultimate” dalam resume atau CVnya.

Oxford United, Northampton Town dan terkini Sheffield United sudah merasai magis Chris Wilder. Tak keterlaluan kalau kita katakan Chris Wilder ni pakar dalam membawa kelab naik ke liga yang lebih atas.

Cuma sayangnya, nama dia adalah Chris Wilder. Kalau nama dia Chris Wilderrossini atau Chris Wildersmann, mungkin dah lama dia dapat jawatan dekat kelab-kelab yang lagi besar dalam bola sepak Inggeris.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

1. The Guardian, 2019, Sheffield United’s Chris Wilder beats Pep Guardiola to LMA manager of the year

2. The Guardian, 2017, Nick Miller, Sheffield United’s Chris Wilder: ‘I want to drive this club to the highest level’

3. The Guardian, 2019, John Ashdown, Sheffield United ready for a Premier League walk on the Wilder side

4. The Guardian, 2019, Ben Fisher, From Alfreton Town to the Premier League: the rise and rise of Chris Wilder

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.