Westfalenstadion dan Anfield mungkin dipisahkan dengan jarak sejauh kira-kira 970 kilometer. Tapi kelab Borussia Dortmund dan Liverpool berkongsi beberapa persamaan kecil.

Kedua-dua kelab pernah dan sedang menerima sentuhan Jurgen Klopp. Menariknya, ketua jurulatih tersebut mengembalikan status sebagai kelab disegani. Walhal sebelum kedatangannya, Borussia Dortmund dan Liverpool sedang dilanda tempoh suam-suam kuku.

Selain itu, penyokong kedua-dua kelab juga mengadaptasikan sorakan You’ll Never Walk Alone. Liverpool memulakannya pada 1960-an, manakala Borussia Dortmund pula lebih kurang 30 tahun selepasnya.

Dan persamaan kedua-dua kelab ni lebih ketara pada musim 2018/19 ni. Mereka berkongsi nasib yang hampir serupa dalam mengejar kejuaraan liga.

HENJUTAN AWAL YANG LAJU

“This year is their year.”

Begitulah lebih kurang ramalan media, pundit dan kaki judi ke atas Borussia Dortmund.

Yakin sungguh mereka Die Borussen bakal menamatkan dominasi Bayern Munich dalam Bundesliga selama enam musim berturut-turut. Lagi pun, bukan sedikit penyokong neutral yang sudah bosan melihat geng-geng Bayern Munich asyik menjulang trofi liga tertinggi Jerman ni.

Ramalan ni bukan cakap kosong seperti baru menikmati hisapan bau gam kasut. Ini adalah berdasarkan kepada prestasi cemerlang gemilang terbilang Borussia Dortmund itu sendiri.

Die Borussen tak kalah dalam 15 perlawanan pertama liga. Mereka merekodkan 12 kemenangan, 3 seri. 41 jaringan gol. 15 bolos. Salah satu kelab yang menjadi mangsa Borussia Dortmund sepanjang tempoh ini adalah Bayern Munich sendiri.

Ketika itu, jurang Borussia Dortmund ke atas Bayern Munich adalah sebanyak 9 mata. Sangat selesa. Seteru mereka itu berada di kedudukan tangga ketiga liga. Bukan saja sedang bergelut dengan prestasi, malahan juga konflik dalaman kelab.

Kekalahan pertama Borussia Dortmund hadir pada “match day” ke-16. Kelab bawahan liga, Fortuna Dusseldorf membuat kejutan. Mereka meleburkan rekod bersih Borussia Dortmund menerusi kemenangan 2-1.

Tak dapat dipastikan sama ada skuad bimbingan Lucien Favre terganggu sebentar dengan kesibukan persiapan mencari buluh meriam atau lemang, menukar langsir rumah serta memasang pelita sempena Hari Natal yang bakal menjelang.

Walaupun begitu, kedudukan Borussia Dortmund sebagai pendahulu liga yang dipegang semenjak akhir September masih lagi utuh. Cumanya, jurang itu tadi berkurangan kepada 6 mata.

Dan keadaan ni berkekalan sehingga seusainya separuh pertama musim (atau dalam kamus Bundesliganya dipanggil sebagai ‘hinrunde’) pada 19 Januari 2019. Mereka mengumpul dua lagi kemenangan selepas kekalahan kepada Fortuna Dusseldorf. Ketika ini, ramai yang dah kata perlumbaan mengejar kejuaraan sudah berakhir.

KLIMAKS DI PERTENGAHAN JALAN

Kedatangan tahun babi dalam kalendar Cina tidak membawa tuah yang diharapkan ke atas Die Borussen. Memasuki bulan Februari, tiba-tiba prestasi garang Borussia Dortmund jadi lemah dan lembik. Umpama teratai layu di tasik madu.

Mereka seri 1-1 dengan Eintracht Frankfurt pada “match day” ke-20. Selang empat hari kemudian, Borussia Dortmund tersingkir dari pusingan ketiga DFB Pokal selepas tewas kepada Werder Bremen melalui penentuan sepakan penalti.

Tapi paling pedih sekali, Marco Reus tercedera semasa perlawanan tu. Dia terpaksa direhatkan daripada semua perlawanan dalam bulan tersebut. Sudahlah bek tengah utama, Manuel Akanji pun masih tercedera. Kehilangan kedua pemain ni, memberi kesan kepada serangan dan pertahanan pasukan.

Borussia Dortmund hanya mampu mencatat seri dalam dua perlawanan berikutnya, iaitu Hoffenheim dan Nurnberg (di samping kalah 3-0 kepada Tottenham Hotspur dalam Liga Juara-Juara).

Anak buah Lucien Favre cuba bangkit pada perlawanan ke-23. Mereka menewaskan Bayer Leverkusan 3-2. Tapi kebangkitan itu hanyalah sementara saja, umpama azam Fathia Latiff ingin bertudung. Mereka kalah mengejut 2-1 kepada FC Augsburg pada perlawanan seterusnya.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh Bayern Munich. Mereka membelasah cukup-cukup Borussia Monchengladbach 5-1. Buat pertama kalinya, Bayern Munich berjaya menyamai jumlah pungutan 54 mata Borussia Dortmund, hanya dipisahkan oleh jumlah jaringan saja.

DULU DIPUJI SEKARANG DIKEJI

Penurunan prestasi Die Borussen ni mula mendapat kritikan pedas masak lemak cili api.

Matthias Sammer mengutuk pemain yang mempamerkan aksi sambil lewa segelintir budak muda bila berhadapan pasukan bawahan liga.

“Keputusan perlawanan bukan terhasil sebab cara hangpa bermain, tapi apa yang ada dalam kepala otak hangpa.”

Kutukan lagenda Borussia Dortmund yang pernah memenangi Ballon d’Or tu turut disambut pengarah sukan, Michael Zorc.

“Kita ni sebenarnya kalah kepada ketidak yakinan sendiri.”

Dengan jarak tiga perlawanan menuju ke Der Klassiker, tekanan ke atas skuad muda Borussia Dortmund dengan purata 24.9 tahun semakin meninggi.

BORUSSIA DORTMUND TERLEPAS KEJUARAAN

Kombinasi kesilapan taktikal Lucien Fabre serta gemuruh budak muda Borussia Dortmund membuatkan mereka kalah teruk yang amat dalam Der Klassiker pada 6 April.

Bayangkan saja Bayern Munich boleh bersenang lenang mendahului 4-0 ketika perlawanan memasuki minit ke-43. Mujurlah memasuki separuh masa kedua mereka tak tekan minyak berhabis lagi. Cuma dapat tambah 1 gol saja menerusi Robert Lewandowski.

Keputusan akhir, Bayern Munich 5, Borussia Dortmund 0. Itu saja belum cukup perit, Bayern Munich juga pertama kali memintas kedudukan Borussia Dortmund sebagai pendahulu liga.

Sejak dari itu, kedudukan kekal sehingga wisel penamat perlawanan terakhir musim 2018/19. Bayern Munich megahnya menjulang kejuaraan Bundesliga buat kali ketujuh berturut-turut, dengan perbezaan dua mata ke atas Borussia Dortmund.

SUDUT POSITIF BUAT BORUSSIA DORTMUND

Ini adalah kali pertama kejuaraan Bundesliga ditentukan pada hari terakhir musim, sejak musim 2009/10. Tapi kalau nak dibandingkan, drama musim ini jauh lebih hebat.

Masa tu, Schalke 04 bukan saja kena menang perlawanan terakhir, malah mereka juga kena mengharapkan Bayern Munich kalah. Selain tu, Schalke 04 kena “overturn” kelebihan perbezaan 17 jaringan yang dimiliki oleh Bayern Munich. Satu benda yang hampir mustahil untuk dilakukan. Hasilnya, Schalke 04 hanya mampu seri. Dan Bayern pula menang bergaya.

Pada musim ini, Borussia Dortmund perlu menang ke atas Borussia Monchengladbach pada perlawanan terakhir. Manakala dalam masa sama, mereka mengharapkan bantuan Eintracht Frankfurt untuk menewaskan Bayern Munich. Tapi satu harapan saja yang jadi realiti.

Pujian masih boleh diberikan kepada Borussia Dortmund. Memungut 76 mata pada musim ni merupakan satu peningkatan yang agak tinggi. Pada musim lepas, mereka menduduki tangga keempat dengan 55 mata. Selain itu, barisan serangan Borussia Dortmund juga lebih klinikal apabila menjaringkan 81 gol (2017/18: 64 gol).

Antara penyumbang kecemerlangan Borussia Dortmund ni adalah larian rempit dan skil lazat berkrim Jadon Sancho yang membuatkan pertahanan lawan menggelupur. Dilengkapi pula ketajaman penyudah tanpa segan silu Marco Reus. Dan diikuti ‘supersub’ Paco Alcacer tegar mengambil kesempatan di atas keletihan lawan pada lewat permainan.

“NEXT YEAR IS OUR YEAR?”

Memang tak dinafikan, memang ada sekelumit rasa kecewa dalam penyokong Borussia Dortmund. Musim ini dilihat sebagai peluang terbaik bagi pasukan mereka untuk menjuarai Bundesliga.

Jadon Sancho memberitahu yang Borussia Dortmund akan mendapatkan trofi Bundesliga pada musim hadapan. Memang hampir senada dengan sentimen pemain Liverpool selepas gagal merangkul trofi EPL pada musim ini.

Tapi persoalannya paling besar di sini, apakah Borussia Dortmund betul-betul mampu melakukannya.

Bayern Munich sudah pun ada pelan besar bagi memperbaiki prestasi mereka musim ni. Selama ni, mereka mengutuk kelab-kelab serata Eropah berbelanja besar untuk mendapatkan pemain. Tapi kini mereka jilat kahak hijau sendiri apabila memilih jalan yang sama.

Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness berkata kelab menyediakan bajet sebanyak €200 juta bagi tingkap perpindahan musim panas ni. Nama-nama seperti Timo Werner (RB Leipzig), Kai Havertz (Bayer Leverkusen) dan Callum Hudson-Odoi (Chelsea) menjadi sasaran utama mereka.

Setakat ni, Bayern Munich sudah pun memeterai pembelian mega dua pemenang Piala Dunia 2018, Benjamin Pavard (Vfb Stuttgart) dan Lucas Hernandez (Atletico Madrid). Dengan nilai perpindahan keduanya berjumlah €115 juta. Selain tu, mereka juga membayar Hamburg sebanyak €7 juta bagi mendapatkan Jann-Fiete Arp.

Melihat daripada umur senarai pemain di atas ni, Bayern Munich memang menyasarkan kecemerlangan jangka masa panjang.

Bagi Borussia Dortmund pula, mereka sudah pun kehilangan Christian Pulisic ke Chelsea. Dan mungkin juga mereka tak mampu menepis bidaan kelab lain terhadap Jadon Sancho.

“Next year is our year?”

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.