Sebelum perlawanan akhir Piala Dunia 2018, jurulatih kebangsaan bawah-19, Bojan Hojdak memberitahu kita semua bahawa bola sepak adalah passport untuk anak-anak Croatia keluar daripada kemiskinan. Walaupun fasiliti bola sepak di Croatia taklah segah mana, tapi bola sepak dijadikan platform untuk pemain muda mereka keluar merantau dan bermain di liga utama Eropah yang sememangnya mampu membayar gaji yang cukup lumayan.

Situasi di Croatia ini tidaklah asing. Ia berlaku di pelbagai negara lain. Kita sudah acap kali dengar kisah-kisah pemain bola sepak terkenal yang dilahirkan daripada keluarga yang susah. Hatta, banyak pemain bola sepak Perancis yang memenangi Piala Dunia baru-baru ini juga datang dari keluarga imigran yang tinggal di pinggir bandar serta ghetto.

Namun di sebalik keriuhan kita mendengar komen Bojan Hojdak ni, ada satu lagi suara yang agak kontras lagi kontroversi, nun jauh datang dari Amerika Syarikat. Suara berkenaan milik bekas penjaga gol jelita Amerika Syarikat, Hope Solo. Dia berkata, bola sepak pada masa hadapan mungkin bukan lagi passport untuk budak-budak keluar daripada kemiskinan. Ia bakal dimonopoli oleh orang berkulit putih daripada keluarga yang berduit.

“Keluarga aku mungkin tak mampu untuk jadikan aku pemain bola kalau lah aku hidup pada zaman ni.”

“Aku jadi sedih, bila dapat khabar ada budak muda yang minat gila main bola, dan ada pula kemahiran, tapi tak dapat main bola lebih jauh sampai peringkat negara sebab tak ada duit.”

Kenyataan Hope Solo ni dikeluarkan semasa dia berada dalam sebuah konferens Hashtag Sport yang diadakan di New York.

Adakah kenyataan ini aneh?

Ya, mungkin daripada kebanyakan antara kita nampak ini adalah aneh. Walaupun aneh kenyataan ini, tapi ianya seolah-olah tak mendapat perhatian besar seperti perkara aneh yang lain. Aneh kuasa dua.

Sebelum bercerita panjang lebar, duit yang dimaksudkan oleh Hope Solo ni bukanlah berbentuk rasuah. Atau juga suapan kepada jurulatih untuk memilih budak-budak dalam satu-satu pasukan bola sepak.

Duit yang dimaksudkan oleh Hope Solo ni adalah perbelanjaan (lagi sedap kalau guna perkataan ‘pelaburan’) yang bakal dikeluarkan oleh mak bapak dalam mengasah minat serta bakat anak mereka dalam sukan bola sepak. Ya, untuk main bola sepak pada hari ini perlukan duit.

Duit minyak untuk ulang alik hantar anak ke tempat latihan dan juga perlawanan. Duit untuk bayar yuran kepada kelab-kelab atau akademi-akademi swasta. Kalau nak ke depan lagi, bayar pula jurulatih atau pelatih peribadi untuk memperbaiki teknik permainan dan juga kecergasan.

Ini belum campur lagi beli but dan macam-macam lagi perkakas. Menyediakan makanan serta nutrisi terbaik yang tentunya bukan murah. Jadinya, bukan sikit duit yang bakal dikeluarkan. Dengan mak bapak semakin berlumba nak beri pendedahan awal sukan kepada budak seawal sebelum masuk usia persekolahan, jumlah belanja ni nyata lebih besar, sebelum anak mereka mampu mendapat kontrak professional yang pertama.

Lihat sajalah bakat muda paling terbesar Amerika Syarikat, Christian Pulisic. Semasa kecil, bapanya membawa Pulisic merata melihat perlawanan bola sepak melibatkan kelab terkemuka Inggeris untuk semata-mata memberikan anaknya suasana sebenar bermain bola sepak pada peringkat tertinggi. Bila tiap kali cuti musim panas, didaftarnya Pulisic untuk berlatih bersama akademi bola sepak di Eropah. Dari sini saja, anda dah boleh bayangkan berapa banyak duit yang dikeluarkan sebelum Pulisic mampu sampai ke peringkat sekarang. Sehingga sentiasa namanya menjadi salah satu bahan “transfer rumours” pada setiap kali tingkap perpindahan dibuka.

Fenomena ni sebenarnya bukan saja ada pada bola sepak. Malah juga dalam sukan-sukan lain. Terutamanya sukan-sukan yang menjanjikan pulangan yang lumayan pada masa depan anak-anak. Antaranya seperti tenis dan bola keranjang NBA. Hatta, kalau anda nak hantar anak bermain badminton supaya dia menjadi “the next Lee Chong Wei” pun perlukan duit di Malaysia ni.

Dari satu segi yang lain, mungkin terlalu awal untuk kita menerka sejauh mana keseriusan ramalan Hope Solo ni di masa depan. Tapi jika ianya berlaku, janganlah anda hairan pula jikalau satu hari nanti skuad juara Piala Dunia dimonopoli oleh anak-anak ekspatriat berbanding anak-anak imigran.

Sumber:

1. Forbes, 2018, Bob Cook, Hope Solo Is Right

2. Guardian, 2016, Nick Ames, Christian Pulisic: the making of a young man ready to step up

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.