Seperti penyokong Arsenal yang teresak-esak menangi mengenangkan kekalahan Arsenal, mungkin itu jugalah apa yang dirasai oleh Bojan Hodak.

Beliau secara rasminya tidak diberi lanjutan kontrak oleh FAM bagi jawatan ketua jurulatih Malaysia B19 yang beliau pegang sejak 2017 ketika dilantik Tunku Ismail.

Ironinya, ia berlaku selepas beberapa bulan lalu beliau mengkritik FAM mengenai sistem bola sepak di Malaysia yang digunapakai oleh badan induk bola sepak itu.

Hodak ketika itu membawa cabaran Malaysia U19 dalam kejohanan Piala Sanix di Jepun dan beliau mengakui kagum dan memberitahu banyak perbezaan bola sepak di sana dengan di Malaysia.

Hodak memberi kenyataannya dan menegaskan sistem pembangunan bola sepak merangkumi umur 12 hingga 17 tahun di negara ini salah kerana tiada kelab yang akan mengambil mereka untuk menjalani latihan lebih lengkap dan sistematik.

Disebabkan itu, pemain yang berbakat seolah-olah hilang arah tanpa ada pihak yang membimbing mereka secara lebih baik.

Selepas mengetahui kebenaran, FAM sudah semestinya rasa sakit bagai peluru yang menusuk dada mereka namun FAM tetap merasakan mereka paling betul.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi yang tampil membidas dengan mengatakan Bojan tidak sepatutnya mengeluarkan alasan sedemikian rupa bagi menutup kesalahannya di kejohanan berkenaan (Piala Sanix).

Adakah keputusan tidak menyambung kontrak Hodak disebabkan isu kritikan beliau memandangkan perkara tersebut memang realiti dan bukan cakap kosong.

Namun setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam menafikan keputusan mereka itu ada kena mengena dengan isu kritikan Hodak.

Jadi jika tidak ada kena mengena, mengapa FAM perlu mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak jurulatih yang telah banyak membangunkan skuad Malaysia U19.

Sejak menyertai Malaysia U19, Hodak telah membawa skuad Harimau Muda ke perlawanan akhir Piala AFF B19 dua kali dengan salah satunya, Malaysia berjaya meraih kejuaraan.

Selain itu, Hodak jugalah yang membawa Malaysia U19 untuk melayakkan diri buat pertama kali ke kejohanan Piala Asia B19 hujung tahun lalu.

Sudah tentu Hodak memiliki sesuatu yang istimewa sehingga beliau berjaya meningkatkan prestasi Malaysia U19.

Sama ada FAM sudah ada pengganti yang lebih baik dari Hodak untuk menggalas jawatan ini, kita tidak pasti tapi khabar angin mengatakan pembantu Datuk Ong Kim Swee, iaitu Brad Maloney akan menggantikan beliau.

Ianya mungkin sekadar khabar angin namun jika diperhatikan, kualiti antara Maloney dan Hodak agak jauh.

Segalanya terserah kepada FAM, jika takutkan kritikan ubahlah segala yang ada pada pengurusan.

(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Kongsi Artikel Ini

Ada orang gilakan perempuan, bagi aku aku lebih gilakan bola sepak. Tidak melukakan hati yang dalam.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.