“Aku rasa pergi ke Baku untuk perlawanan akhir Liga Eropah adalah satu benda kelakar. Aku tak tahulah sarapan apa yang diorang makan masa buat keputusan ni.”

Itulah komen brutal Jurgen Klopp mengenai pemilihan lokasi pentas akhir Liga Eropah (UEL), walaupun skuadnya bukanlah bermain dalam perlawanan tu.

Dan Jurgen Klopp tak keseorangan. Ramai pihak lain yang turut sama sekapal dengan pengurus Liverpool tu dalam membantai Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

ASAS KRITIKAN-KRITIKAN

Satu faktor utama kritikan itu adalah jarak perjalanan. Jauh gila. Kedua-dua pasukan London yang bermain di pentas ini dan penyokong mereka akan bermusafir sejauh 3,967 kilometer. Dengan masa penerbangan terus London-Baku boleh memakan masa 5 jam setengah.

Tapi khabarnya, pada minggu perlawanan UEL tu tak ada penerbangan terus ke Baku dijadualkan. Penyokong terpaksa transit di bandar lain dulu. Dan perjalanan boleh jadi sampai 14 jam. Sehala saja. Tak larat beb.

Dek kerana tu, ramai penyokong Arsenal dan Chelsea membatalkan hasrat mereka nak ke sana. Sampaikan kedua-dua pasukan terpaksa pulangkan hampir separuh daripada 12,000 tiket yang diperuntukkan oleh UEFA kepada mereka.

Lagi sedap, ada pihak penaja kejohanan pun berbuat perkara sama. Jadi, jangan hairanlah kalau malam perlawanan akhir di Stadium Olimpik Baku yang berkapasiti 68,700 tu nanti saling tak tumpah mirip Stadium Etihad. Banyak kerusi kosong.

Selain tu, kritikan-kritikan ni juga ada kena mengena dengan situasi yang dihadapi Henrikh Mkhitaryan. Pemain tengah Arsenal. Dan bekas anak didik Jurgen Klopp sendiri semasa mereka berdua di Borussia Dortmund satu ketika dulu.

Dia memilih untuk tak mahu ikut pergi ke Baku atas sebab faktor keselamatan. Ini disebabkan permusuhan di antara Azerbaijan dan jirannya Armenia, iaitu tanah tumpahnya Henrikh Mkhitaryan. Dengan kedua-dua negara tiada hubungan diplomatik, disebabkan krisis wilayah Nagorno-Karabakh.

Persatuan Bola Sepak Azerbaijan dah beri jaminan keselamatan kepada Henrikh Mkhitaryan. Manakala Kementerian Luar Azerbaijan berkata dia boleh bermain di Baku. Tapi bagi Henrikh Mkhitaryan dan keluarganya, kesemua jaminan tu masih tak cukup lagi.

KEMPEN BOIKOT BAKU?

Memang ada suara-suara mahukan Arsenal dan Chelsea memboikot perlawanan akhir UEL ni. Kiranya dua-dua pun seiring sejalan berpegang tangan tak akan bermain di Baku. Dan dalam masa yang sama, mendesak lokasi permainan ditukar.

Tapi cadangan ni ada satu masalah. Kewangan.

Mengikut undang-undang, UEFA boleh mendenda kedua-dua pasukan sebanyak €500,000 jika tak menurunkan skuad. Ok, benda ni nampak taklah banyak bagi kelab besar seperti Arsenal dan Chelsea.

Namun, perlu ingat, UEFA ada hak untuk mengenakan sekatan lanjut kepada kelab. Antaranya, seperti melarang mereka daripada menyertai kejohanan Eropah selepas ini. Maknanya, kelab-kelab ni bakal terlepas untuk menjana pendapatan dari wang ganjaran bermain di kejohanan ni. Lebih-lebih lagi jika layak ke Liga Juara-Juara Eropah.

Dan benda ni tak terhenti di situ saja. Ia melarat kepada kesan-kesan sampingan lain. Seperti kehilangan pendapatan daripada penjualan tiket atau penajaan. Kemudian, akan memberi kesan pula perbelanjaan operasi kelab. Seperti kemampuan membayar gaji pemain mereka yang sedia mahal. Serta juga berkurangnya tarikan untuk memikat pemain lain datang ke kelab.

BAKU GALAK JADI HOS

Sebenarnya, perlawanan akhir UEL ni bukanlah acara sukan antarabangsa yang pertama dianugerahkan kepada Azerbaijan. Sebelum ni, mereka juga pernah jadi penganjur kepada kejohanan European Games 2015 (dengan Armenia turut menghantar kontinjen) dan Islamic Solidarity Games 2017. Mereka juga menganjurkan perlumbaan Grand Prix F1 setiap tahun, bermula dari 2016.

Bagi bola sepak pula, Azerbaijan pernah menjadi hos kepada kejohanan Euro Bawah-17 2016. Dan, mereka adalah salah satu daripada 12 negara yang menjadi lokasi kepada kejohanan bola sepak Euro 2020.

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa Azerbaijan ni macam galak sangat nak membida penganjuran sukan sejak kebelakangan ni?

Ok. Azerbaijan ni negara kecil saja. Dengan 10 juta populasi. Walaupun mendapat kemerdekaan pada 1991, tapi mereka mempunyai hasil mahsul bumi yang sedap, iaitu minyak dan gas. Demi untuk mempelbagaikan sektor ekonomi, kekayaan yang dijana dari sektor minyak dan gas telah dilaburkan dalam pembinaan infrastruktur moden dan juga sukan. Kiranya ambil jalan lebih kurang macam Qatar lah.

Bila bercakap pasal sukan ni, Azerbaijan tidaklah terhad pada penganjuran acara saja, seperti senarai yang disebutkan di atas tadi. Ia juga termasuk kepada penajaan juga. Antaranya penajaan jersi Atletico Madrid pada satu ketika dulu yang memaparkan “Azerbaijan, Land of Fire”. Serta menjadi rakan penaja kepada UEFA dan FIFA menerusi SOCAR (State Oil Company of Azerbaijan Republic), syarikat minyak dan gas milik negara.

Kalau ikut pandangan kerajaan Azerbaijan, kesemua ni adalah bertujuan untuk mempromosikan nama negara kepada dunia. Dapatlah menarik pelancong datang ke negara tersebut.

Tapi berlainan pula dengan pengkritik kerajaan Azerbaijan. Penganjuran sukan ini tak lebih daripada sekadar nak meluaskan pengaruh strategik dan politik kerajaan sedia ada. Ini bagi menutup kes-kes pencabulan hak asasi yang berlaku di dalam negara itu. Serta kontrak-kontrak berkaitan penganjuran ni dapatlah diagihkan sesama geng kroni.

KESIMPULAN

Penganugerahan lokasi perlawanan akhir UEL kepada Baku ni bukan dibuat pada semalam, minggu lepas atau bulan lepas. Pengumuman tu dah dibuat sejak dari 2017 lagi. Jadinya, memang UEFA tak ada mangkuk berisi air, hirisan limau nipis berserta ayam panggang untuk menilik bagai tok nujum siapa yang bakal ke perlawanan akhir 2019.

Dalam masa yang sama memang tak dinafikanlah, UEFA pun kena cakna. Sebabnya jarang sekali pasukan atau kelab dari sebelah Eropah Timur akan layak sampai ke perlawanan akhir semenjak kebelakangan ni. Berbanding pasukan seperti di England, Sepanyol, Itali, Perancis atau Portugal.

Tapi nak buat macam mana. Ada suara sinis kata pemilihan Baku ni adalah didorong oleh ‘peranan besar’ SOCAR di dalam UEFA juga.

em>(Layari laman web bolatonjol.com hari ini untuk mendapatkan artikel-artikel santai dan sinikal berfakta tentang bola sepak. Sedap di mata, sedap di hati, sedap di fikiran.)

Sumber:

1. South China Morning Post, 2019, Simon Chadwick & Paul Widdop, Baku in the big league: Arsenal and Chelsea supporters caught up in Uefa playing politics with Azerbaijan

2. Channel News Asia, 2019, Europa League final: Azerbaijan’s sporting glitz conceals grim reality

3. The Guardian, 2019, Barry Glendenning, Baku boycott would solve Arsenal dilemma rather than leave a man behind

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.