Kalau diselak kedudukan carta Serie A sekarang ni, nampak gayanya Napoli segak di hadapan. Mendahului juara bertahan Juventus yang berada di tempat kedua dengan 4 mata.

Namun begitu, Juventus masih ada satu perlawanan dalam tangan. Sebabnya, perlawanan mereka menentang Atalanta pada 27 Februari telah ditunda akibat salji lebat.

Kalau dipandang dari satu sudut, salji ni tiba-tiba telah menjadi satu rahmat besar kepada Napoli. Terutamanya dalam perlumbaan merebut kejuaraan Serie A yang tampak sengit. Ah, bukan macam dekat Liga Perdana Inggeris, Ligue 1 dan Bundesliga tu. Kelab nombor satu “leading” jauh gila.

BENUA EROPAH DIBELENGGU SALJI

Sekarang ni banyak tempat di Eropah dilanda salji lebat. Walhal dah masuk akhir bulan Februari kot. Dengan ada tempat yang suhunya mencecah bawah kosong (“sub-zero”).

Bukan saja perlawanan bola terganggu. Tapi juga ada kes jadual penerbangan dan kereta api dibatalkan. Sekolah ditutup. Jalan raya tak boleh dilalui. Orang-orang yang “homeless” menderita.

Ah, senang cerita anda ingat salji turun ni semuanya indah belaka ke. Macam dalam filem atau drama tu.

Salah satu sebab fenomena ini adalah “Beast of the East”. Angin yang bertiup dari wilayah Siberia membawa cuaca sejuk ke benua Eropah.

PERLUMBAAN KEJUARAAN SERIE A, PERLUMBAAN PSIKOLOGI

Perlawanan minggu lepas merupakan pusingan yang ke-26 dalam Serie A pada musim ni. Sebelum perlawanan bermula, Napoli mendahului Juventus dengan hanya 1 mata.

Kedudukan liga dan perbezaan mata ini statik di antara kedua-dua pasukan sejak dari 16 Disember 2017. Iaitu pada perlawanan ke-17 Serie A. Sepanjang tempoh ini, Napoli dan Juventus sudah melakar 9 kemenangan berturut-turut. Memang betul sengit depa ni.

Atas kertas, Juventus kelihatan kena sentiasa “catch-up” dengan Napoli. Tapi kalau diperhati dalam-dalam, situasi sebenar yang berlaku adalah sebaliknya. Napoli sebenarnya yang kena “catch-up” dengan Juventus.

Kenapa ni berlaku?

JADUAL PERLAWANAN SERIE A TAK SEIMBANG

Jurulatih Napoli, Maurizio Sarri menyifatkan Serie A ni dah lakukan kesilapan besar semasa menyusun jadual liga.

Apa tidaknya, bermula dari perlawanan ke-22 hinggalah ke-25, Juventus bermain terlebih dulu daripada Napoli. Samada beberapa jam lebih awal. Atau juga sehari dua lebih awal dari Napoli.

Apabila setiap kali Juventus mencatat kemenangan, mereka memintas buat sementara waktu kedudukan Napoli. Dan Napoli pula terpaksa menanggung tekanan dari segi psikologi untuk “catch-up”.

Ini adalah umpama sepakan penentuan penalti sebelum sistem ABBA diperkenalkan. Pasukan yang pertama ambil sepakan kerap kali mendapat kelebihan psikologi. Ini seterusnya memberi kelebihan juga kepada mereka untuk memenangi penentuan ni.

Lebih memeritkan, jadual perlawanan Serie A ke-26 hingga ke-29 juga begitu. Memihak kepada Juventus. Tapi mujurlah salji turun. Sehingga membuatkan perlawanan ke-26 Juventus ditangguhkan.

Dengan penangguhan ni, beban “catch-up” serta tekanan psikologi telah beralih kepada Juventus buat seketika. Sekurang-kurangnya sehingga 14 Mac 2018. Iaitu perlawanan Juventus-Atalanta yang dijadualkan semula.

KESIMPULAN

Juventus dan Napoli dijangka bertemu dalam “penultimate match” pada 22 April 2018. Iaitu perlawanan ke-34 liga. Kalau kedua-dua pasukan mengekalkan prestasi semasa, kejuaraan Serie A mungkin boleh ditentukan pada perlawanan ni.

Namun begitu, bermula hujung minggu ini hinggalah ke tarikh tu, ada beberapa perlawanan yang boleh dikatakan mampu mengubah lanskap kedudukan Serie A.

Pada hujung minggu ni, Juventus berkunjung ke laman Lazio. Manakala Napoli pula melayan AS Roma.

Kemudian, Napoli bertandang ke San Siro untuk bertemu Inter Milan pada 11 Mac. Dan juga AC Milan pada 15 April. Manakala Juventus pula bakal menerima kunjungan AC Milan pada 31 Mac.

Andainya Napoli berjaya memecah dominasi Juventus dalam Serie A pada akhir musim ni, pasukan dan penyokong mereka kena bersyukur kepada Tuhan kerana mendatangkan fenomena “Beast from The East”.

Sumber:

1. Reuters, 2018, Who will blink first – Napoli or Juventus?

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.