Tahniah kepada pasukan Perancis yang berjaya melangkah ke pusingan berikutnya selepas menewaskan Argentina 4-3.

Namun, disebalik kemenangan Perancis dan kekalahan team Lionnel Messi muncul seorang pemain muda yang berjaya menarik perhatian ramai pihak.

Kehebatan Kylian Mbappe pemain penyerang Perancis yang memakai jersi nombor 10 turut mendapat pujian daripada legenda bola sepak dunia, Pele.

Menerusi Twitter miliknya, Pele memuji Mbappe sebagai bakat muda paling menarik dengan gaya yang menakjubkan.

“Tahniah, Kylian Mbappe.

“Dua gol dalam Piala Dunia pada usia begitu muda meletakkan anda dalam kelas tersendiri!

“Semoga berjaya dalam perlawanan yang lain, kecuali dengan Brazil!,” tulis Pele di Twitter.

Dalam aksi semalam, Mbappe, 19, muncul pemain remaja pertama yang menjaringkan lebih daripada satu gol dalam kempen Piala Dunia sejak Pele mencetak dua gol ketika Brazil menewaskan Sweden dalam aksi final pada 1958.

Pemain penyerang pasukan Paris Saint-Germain (PSG) dalam kancah Ligue 1 itu semalam berjaya menyumbat dua gol sekaligus membantu Perancis menyingkirkan Argentina.

Kejayaan Perancis itu bakal menemukan mereka dengan satu lagi pasukan hebat dari Amerika Selatan, Uruguay yang berjaya menyingkirkan Portugal 2-1 semalam.

Untuk info peminat bola sepak semua, sebelum membuat kemunculan bersama skuad Perancis pada tahun lalu, Mbappe layak untuk mewakili negara Cameroon dan Algeria. Ini kerana bapanya, Wilfried berketurunan Cameroon manakala ibunya, Fayza berasal dari Algeria. Tetapi tidak dapat dipastikan pegangan agamanya.

Bapa Mbappe merupakan jurulatih bola sepak dan merangkap ejen kepada Mbappe manakala ibunya dahulu pernah menjadi pemain bola tampar.

Kehebatan Mbappe yang telah bersinar dalam usia muda turut mendapat perhatian bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger pada 2016 untuk membawa beliau menyertai pasukan Gunners tetapi ini bukan kali pertama beliau berjaya menarik minat pasukan dari London kerana pada usia 14 tahun Mbappe telah menjalani trial atau pemilihan bersama pasukan Chelsea.

Dalam sesi pemilihan bersama skuad remaja Chelsea itu, Mbappe juga pernah terlibat dalam satu aksi bersama pasukan Charlton Athletic.

Bagaimanapun Mbappe tidak ada rezeki untuk mewakili kedua-dua pasukan dari London itu dan memilih untuk mewakili kelab Monaco.

Sepanjang musim 2016/2017, beliau telah berjaya menjaringkan 26 gol daripada 44 penampilan sehingga tamat musim.

Tetapi pada 31 Julai 2017, Mbappe telah memeterai perjanjian bersama pasukan PSG secara pinjaman dari Monaco.

Difahamkan jumlah yuran perpindahannya ialah sebanyak €145 juta ditambah dengan p€35 juta.Ini menjadikan Mbappe pemain remaja berstatus paling mahal dan berpotensi menjadi pemain kedua paling mahal selepas Neymar yang juga rakan sepasukannya. Untuk rekod, perpindahan Neymar dari Barcelona ke Paris Saint German ialah €222 juta sekaligus menjadi pemain termahal dunia.

Jika Mbappe terus menunjukkan kehebatannya dalam edisi Piala Dunia kali ini tidak mustahil lebih banyak pasukan hebat dunia termasuk Real Madrid yang pernah mengintainya satu masa dahulu akan masuk meminang.

Apa pun diucapkan maju jaya kepada Perancis dan semoga Mbappe dapat terus menyinar dalam aksi menentang Uruguay nanti.

Kongsi Artikel Ini

Berkecimpung sebagai penulis sepenuh masa, Mamu Kandaq merupakan peminat tegar pasukan Liga Malaysia tanpa meminggirkan liga-liga utama Eropah dan Asia lain. Selain meminati arena sukan, Mamu Kandaq juga sangat obses pada makanan yang lazat dan sedap terutamanya nasi kandaq lauk teloq sotong.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.