Sebut pasal bola sepak Iran, siapa tak kenal dengan Ali Daei, dialah pemegang rekod gol terbanyak Iran dan Dunia. Ya Dunia. Namanya kembali diingati selepas Cristiano Ronaldo dah menambah 5 gol peribadinya dalam 2 perlawanan kelayakan Euro 2020 (1 gol lawan Serbia, 4 gol lawan Lithuania) baru-baru ni.

Ronaldo ketika ini telah mengumpul 93 gol diperingkat antarabangsa, diingatkan jumlah gol ini termasuklah melibatkan perlawanan persahabatan. Saat ini, Ronaldo kurang 16 gol berbanding Ali Daei. Usia Ronaldo ketika ini 34 tahun dan adalah sangat realistik untuk rekod 109 gol Ali Daei dipecahkan. Bergantung pada tahap konsistensi Ronaldo, bebas dari kecederaan dan peluang lebih cerah dilihat jika Portugal mara ke Euro 2020 (Ronaldo 35 tahun) dan Piala Dunia 2022 (Ronaldo 37 tahun).

Sebelum kisah gol Ronaldo pergi lebih jauh yang memang tak kena dengan tajuk artikel ni, elok rasanya kita ketahui 109 gol Ali Daei terhasil dari mana.

8 Kali Hat-trick

Dalam 109 gol, Ali Daei jaringkan 8 kali hat-trick. Hat-trick pertama berlaku pada 10 Jun 1996, perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 1996. Iran langsung tak bagi muka buat negara yang rajin supply Security kat Malaysia ni. Iran menang 8-0, Ali jaringkan 4 gol perlawanan ni. Dua hari kemudiannya anda tahu apa jadi? Iran berdepan Sri Lanka, Ali tambah rakus dengan jaringkan 5 gol. Iran menang 7-0. Iran akhiri pusingan kelayakan dengan menang kesemua 6 perlawanan, 27 gol dan cuma bolos sekali (perlawanan terakhir, Oman gol menerusi penalti). Ali kumpul 12 gol keseluruhan untuk Iran dipusingan kelayakan.

Ali tak hanya mampu tapau gol lawan pasukan kerdil seperti Nepal dan Sri Lanka. Kejohanan Piala Asia 1996, Ali jaringkan 4 gol tumbangkan Korea Selatan, Iran menang 6-2 diperingkat Suku Akhir. Ali jaringkan 8 gol dan pastilah dia muncul Pemenang Kasut Emas.

Ali cipta hat-trick sepanjang kariernya ketika Iran berdepan Uzbekistan (Sukan Asia 1998), Maldives (Kelayakan Piala Asia 2000), Guam (Kelayakan Piala Dunia 2002), Lubnan (Piala Asia Barat 2004) dan hat-trick terakhir terhasil pada 17 November 2004 (lawan Laos, Kelayakan Piala Dunia 2006).

Nota Kaki: Ali Daei tak pernah jaringkan gol lawan Malaysia sebab Malaysia berdepan Iran sebelum Ali memulakan karier antarabangsa (Iran 3-0 Malaysia, Sukan Asia 1990) dan selepas Ali bersara (Iran 2-0 Malaysia, Piala Asia 2007).

Gol Paling Banyak Terhasil Pada Tahun 1996

Perlawanan Kelayakan Piala Asia 1996 dan Kejohanan Piala Asia 1996 begitu melambung tinggi nama Ali, penulis pasti walaupun tak faham bahasa Parsi, tentulah akhbar-akhbar dan media Iran acap kali mengeluarkan berita berkisarkan Ali Daei di era dimana skuad Malaysia dibarisi oleh Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan Arwahyarham Anuar Abu Bakar.

11 perlawanan diharungi Ali, beliau hasilkan 22 gol, 3 perlawanan hat-trick (4 gol lawan Nepal dan Korea Selatan dan 5 gol lawan Sri Lanka), 12 gol perlawanan kelayakan, 8 gol Piala Asia dan 2 gol perlawanan persahabatan lawan Kuwait.

Nikmat mana yang rakyat Iran dustakan.

Ali Tak Jaringkan Gol Di Piala Dunia

Agak kurang sedap bila mengatakan 109 gol, tetapi tiada satupun terhasil dipentas Piala Dunia, jadi Dunia sebenarnya tak dapat lah saksikan gol Ali menerusi siaran langsung, Dunia yang cuba ditekankan disini adalah kerana aksi Piala Dunia lah biasanya disaksikan oleh semua, tidak kira pasukan mana yang bertanding, waima perlawanan Iran menentang Angola di Piala Dunia 2006, pastinya disaksikan oleh berjuta-juta peminat bola sepak di seluruh dunia.

Sepanjang karier antarabangsa Iran dari tahun 1993 hingga 2006, Iran melangkah ke pentas Piala Dunia 1998 dan 2006. Ali Daei sendiri bermain sebanyak 5 perlawanan dari 6 jumlah penampilan keseluruhan Iran. Ali sendiri merupakan Kapten Iran di edisi 2006, ironinya Iran menjaringkan 2 gol di edisi 2006 dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain pertahanan, Yahya Golmohammadi dan Sohrab Bakhtiarizadeh. Edisi sebelumnya (1998), Iran juga menghasilkan 2 gol, kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh pemain tengah, Hamid Estili dan Mehdi Mahdavikia.

The Iran team during the 1998 soccer World Cup prior to the match against Yugoslavia. | Location: Saint-Etienne, France. (Photo by Jerome Prevost/TempSport/Corbis/VCG via Getty Images)

LEIPZIG, GERMANY – JUNE 21: The Iran team line up for a group photo prior to the FIFA World Cup Germany 2006 Group D match between Iran and Angola played at the Zentralstadion on June 21, 2006 in Leipzig, Germany. (Photo by Shaun Botterill/Getty Images)

Karier Kelab

Ali Daei bermain untuk pasukan Persepolis. Kelab yang bertempat di Ibu Kota Tehran. Selepas beliau meracau dengan 12 gol disaingan kelayakan Piala Asia 1996, Ali berhijrah ke kelab Qatar, Al-Sadd. Selepas aksi zombinya dihadapan gol lawan disepanjang kejohanan Piala Asia (walaupun Iran gagal ke final), kelab Bundesliga, Arminia Bielefeld menjadi kelab Eropah pertama disertai Ali. Dan untuk mempercepatkan Ali membiasakan diri di Jerman, kelab Arminia turut membawa bersama rakan seperjuangan Ali, Karim Bagheri yang bermain diposisi Defensive midfielder. Seorang lagi pemain Iran yang bermain di Bundesliga adalah Khodadad Azizi, beliau bermain di FC Koln. Tiga pemain ini menjadi pemain Iran terawal menjejakkan kaki ke kancah bola sepak Jerman. Dan Kelab yang mereka sertai adalah divisyen teratas.

Ali jaringkan gol pertama pada perlawanan kedua liga, gol Ali terhasil pada lewat permainan untuk Arminia Bielefeld menang 2-1 lawan VfB Stuttgart. Ali bermain 25 perlawanan musim pertamanya, hasilkan 7 gol dan dua gol daripadanya terhasil lawan Kaiserslautern, masa ni Michael Ballack main untuk kelab ni.

Ali berhijrah ke Bayern Munich musim berikutnya dengan nilai perpindahan €2.5 juta, rupanya dari dulu lagi Bayern suka rembat pemain berbakat kelab lain dari Bundesliga. Ali menjadi pemain Iran pertama bermain untuk pasukan gergasi Jerman ini, yang selepas itu disertai pemain seperti Vahid Hashemian dan seorang lagi tentulah Ali Karimi, nama yang juga familiar.

Di Bayern ketika itu, Ali bersaing posisi penyerang dengan Carsten Jancker, Alexander Zickler, Mario Basler dan Giovane Élber. Beliau bermain 23 perlawanan dan menghasilkan 6 gol, 2 daripadanya terhasil pada perlawanan liga ke-5, Bayern tewaskan Hamburg 5-3. Carsten Jancker selaku penyerang regular menjadi penjaring terbanyak pasukan dengan 20 gol semusim dan Bayern merangkul kejuaraan Bundesliga dan DFB Liga-Pokal.

Ali dilepaskan ke Hertha BSC Berlin dengan tag harga €2.7 juta. Ali juga merupakan pemain Iran pertama bermain untuk Hertha BSC yang kemudiannya diwakili oleh bekas pemain Fulham, Ashkan Dejagah.

Ali yang gagal jaringkan gol dipentas UCL 1998/99 dalam 5 perlawanan untuk Bayern, menjaringkan gol seawal minit ke-2 untuk Hertha diperlawanan kelayakan UCL 1999/00, Hertha tewaskan kelab Cyprus, Anorthosis Famagusta (agreget 2-0), Hertha layak ke UCL dan ditempatkan dalam kumpulan H yang turut dihuni oleh Milan, Chelsea dan Galatasaray. Kurang impak Ali di Bayern tidak berulang apabila beliau membantu Hertha melepasi saingan kumpulan, Ali jaringkan 2 gol, masing-masing satu ketika berdepan Milan dan Chelsea.

Ali kekal di Hertha selama 3 musim, namun musim terakhirnya di Jerman, beliau kurang penampilan kerana faktor sukar menembusi kesebelasan utama skuad, yang membuatkan keputusannya pulang di Asia, beliau sertai kelab UAE, Al-Shabab sebelum kembali ke Iran dan meneruskan penghujung karier.

Penutup

Karier bola sepak Ali telah lama berakhir, untuk pasukan antarabangsa ianya berakhir pada 2006, 13 tahun yang lalu, hingga saat ini tiada mana-mana pemain bola sepak yang mampu menyaingi 109 gol keseluruhan dihasilkan Ali Daei. Mungkin ada sinikal menangkal rekod Ali yang banyak meledak gol lawan pasukan kerdil seperti Nepal, Sri Lanka, Laos, Guam. Namun rekod tetap rekod, mungkin secara faktanya Ali bermain untuk pasukan kebangsaan Asia, adakah gol sebanyak 109 ini akan tercatat jika Ali bernama Alisson dan bermain untuk pasukan seperti Paraguay yang bermain di Zon Conmebol?Atau namanya McAlister dan bermain untuk pasukan Scotland di Zon UEFA.

Mungkin juga jika Cristiano Ronaldo adalah individu sama yang bernama Ciatisuk Piyapong dan bermain untuk pasukan kebangsaan Thailand, beliau boleh meledak lebih 300 gol untuk Thailand ketika ini.

Kongsi Artikel Ini

Rahim Giolorossi merupakan salah seorang admin AS Roma Malaysia.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.