“Anak aku dah jadi serupa banduan di Paris Saint Germain!!!”

“Diorang denda anak aku sebab tak ikut pergi Qatar, walhal masa tu masa opah dia baru saja meninggal. Abah dia pula sekarang ni tengah nazak. Dan dia dah jadi serupa tebusan!”

Itulah luahan hati Veronique Rabiot kepada dunia baru-baru ini. Dia bukan saja mak kepada Adrien Rabiot. Malah, juga bertindak sebagai ejen kepada pemain ini.

Pada minggu lepas, Adrien Rabiot juga sekali lagi kena denda dengan Paris Saint Germain. Jumlah denda? €180k!

Sebabnya dia kantoi berpesta dekat kelab malam beberapa jam selepas Paris Saint Germain kalah kepada sebuah pasukan biasa-biasa dari England, Manchester United.

Bukan tu saja. Dia juga kantoi meng’like’ tweet Patrice Evra yang meraikan kejayaan Manchester United tu.

ERA AWAL ADRIEN RABIOT DI PARIS SAINT GERMAIN

Adrien Rabiot sudah bersama dengan Paris Saint Germain sejak usia remaja lagi. Pada musim 2012/13, Carlo Ancelotti telah menyerap masuk Adrien Rabiot ke skuad senior Paris Saint Germain.

Dia tak ambil masa yang lama untuk melakukan penampilan pertamanya bersama Les Parisiens. Pada 26 Ogos 2012, Carlo Ancelotti telah memasukkannya ketika perlawanan menentang Lyon dalam Ligue 1. Usia Adrien Rabiot ketika itu adalah 17 tahun 4 bulan. Muda.

Musim pertamanya bersama skuad senior, Adrien Rabiot melakukan 9 penampilan. Dengan satu daripadanya adalah di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Nama Adrien Rabiot pun dikompang sebagai “hot property” Paris Saint Germain. Ditambah pula faktor budak kota Paris dan produk akademi Paris Saint Germain. Bolehlah Adrien Rabiot dijadikan modal untuk menjawab “haters” yang kata Paris Saint Germain hanya beli bintang, tapi tak mencipta bintang.

Seusai musim tersebut, Carlo Ancelotti berhijrah ke Real Madrid. Manakala, bekas pertahanan Manchester United, Laurent Blanc pula menjadi pengganti.

Walaupun pengendali sudah bertukar, nasib Adrien Rabiot tidak merosot. Dia menjadi salah seorang pemain “regular” di musim pertama kendalian Laurent Blanc. Karier Adrien Rabiot nampak berada di landasan yang tepat.

ADRIEN RABIOT MULA BUAT HAL

Semusim kemudian, lain pula yang terjadi. Kelab-kelab lain sudah mula memerhati Adrien Rabiot. Salah satunya adalah AS Roma. Ketika itu kontrak sedia ada Adrien Rabiot bersama Paris Saint Germain bakal tamat lebih kurang setahun, iaitu di akhir musim 2014/15.

Veronique Rabiot ni dah mula menyembang-nyembang dengan AS Roma. Dia dah ada pelan nak satukan anaknya tu dengan kelab Itali tersebut.

Benda ni sampai ke pengetahuan Paris Saint Germain. Apa lagi, pengurusan kelab bengang bila Veronique Rabiot cuba main ikut belakang. Adrien Rabiot digugurkan dari skuad utama. Sampaikan dia kena berlatih dengan skuad simpanan.

Bila jadi macam ni, semangat ibu singa dalam Veronique Rabiot pun mula keluar. Satu hari, dia tunggu Laurent Blanc dekat kawasan letak kereta. Bila mamat ni muncul saja, terus Veronique Rabiot datang serbu mengamuk.

“Kau tak boleh buat macam tu pada dia!!! Aku takkan benarkan kau buat macam tu!!!”

Amukan Veronique Rabiot berhasil. Laurent Blanc mengembalikan Adrien Rabiot bersama skuad senior.

Paling padu sekali, beberapa minggu kemudian Paris Saint Germain pun memberi kontrak baru kepada Adrien Rabiot. Mereka mengikat pemain ni sehingga Jun 2019. Maka terselamatlah “hot property” Paris Saint Germain daripada disambar kelab lain.

Setahun kemudian, bos besar Paris Saint Germain, Nasser Al Khelaifi memberitahu yang impiannya adalah untuk menjadikan Adrien Rabiot sebagai kapten kelab.

“Tapi ada syaratnya. Dia kena reti buat perangai hormat pada kelab, jurulatih dan member-member sepasukan,” kata Nasser Al Khelaifi.

Selepas berakhir musim 2015/16, Laurent Blanc dipecat. Masuk pula Unai Emery sebagai pengurus baru. Di bawah Unai Emery, Adrien Rabiot masih lagi bermain seperti biasa. Tapi dalam masa sama, dia belum bersedia tandatangani sebarang sambungan kontrak bersama Paris Saint Germain.

Apabila kontrak Adrien Rabiot masuk ke tahun terakhir, maknya sekali lagi main ikut belakang. Dia berjumpa dengan wakil-wakil daripada kelab Eropah lain untuk ‘kenen-kenen’ Adrien Rabiot. Antara kelab-kelab tu adalah Barcelona, Juventus, Manchester City dan Manchester United (hurm patutlah ‘like’ tweet Patrice Evra ye dok).

Di antara kelab-kelab tu, Barcelona paling nampak serius untuk mendapatkan Adrien Rabiot. Mereka pun hantar bidaan untuk meminang. Tapi malangnya ditolak mentah-mentah oleh pengarah sukan Paris Saint Germain, Antero Henrique.

Dan kau pun dah boleh agak apa yang terjadi lepas tu.

Ya, Veronique Rabiot dan pengurusan kelab pun bergaduh besar sekali lagi. Veronique Rabiot dan Adrien Rabiot minta gaji €10 juta setahun kalau Paris Saint Germain mahu kontrak baru ditandatangani!

Khabar angin mengatakan kalau bidaan Barcelona tu diterima, kelab Sepanyol itu akan bersetuju nak bagi kontrak 5 tahun kepada Adrien Rabiot. Gaji ditawarkan adalah €170,000 seminggu. Dengan bonus “signing on fee” berjumlah €10 juta. Perghhh.

Namun tak pastilah sama ada Barcelona masih teringin pada Adrien Rabiot sekarang ni. Sebabnya benda ni berlaku sebelum kelab tu menandatangani Frankie De Jong dari Ajax Amsterdam pada Januari lepas.

Selepas Thomas Tuchel menggantikan Unai Emery pada awal musim 2018/19, pengurus dari Jerman tu cuba nak berbaik-baik dengan Adrien Rabiot. Thomas Tuchel siap bagi lilitan kapten pasukan kepada dia. Tercapailah impian tuan presiden Nasser El Khelaifi. Walaupun tak terlibat dalam rundingan kontrak baru, Thomas Tuchel secara peribadi mengaku minat gila dengan Adrien Rabiot.

Seperti mana watak Hayati dalam kisah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, begitu jugalah Adrien Rabiot. Kepercayaan ala-ala Zainuddin yang diberikan oleh Thomas Tuchel telah dikhianati oleh Adrien Rabiot.

Sekitar bulan Oktober 2018, Adrien Rabiot buat perangai lain pula. Dia datang lewat ke tempat latihan dan juga mesyuarat pasukan. Hubungan Thomas Tuchel-Adrien Rabiot pun mula renggang.

Pada akhir bulan yang sama, Adrien Rabiot dan Kylian Mbappe datang lewat 8 minit ke mesyuarat pra-perlawanan bagi menentang Marseille. Kedua-duanya patut diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan tu. Thomas Tuchel bengang. Terus dia letakkan kedua-duanya jadi pemain simpanan.

Pada Disember 2018, Adrien Rabiot nekad. Dia memberitahu kelab yang dia tak mahu tandatangan sebarang kontrak baru. Dan dia mahu keluar daripada kelab pada musim panas 2019 secara percuma.

Paris Saint Germain pun mengharamkan Adrien Rabiot untuk menyertai skuad senior. Hasilnya, dia kena berlatih dengan skuad simpanan sahaja. Menurut Antero Henrique, tiada tempoh tamat bagi larangan tersebut. Kalau nak tamatkan tempoh larangan tu, Adrien Rabiot kena tandatangan kontrak baru. Pergh, dah macam kahwin paksa ni.

Apabila masuk tingkap perpindahan Januari, Paris Saint Germain dah bersedia untuk menjual Adrien Rabiot. Nilai yang diletakkan oleh Paris Saint Germain adalah sekurang-kurangnya €20 juta. Kalau boleh, mereka nak lah dapat duit sikit daripada berisiko terlepas secara percuma selepas akhir musim nanti. Alah, lebih kurang nak tiru tiru gaya Arsenal lepaskan Alexis Sanchez.

Tottenham Hotspur yang cakna dengan benda ni pun cuba-cubalah cucuk jarum. Dan ini tidak menghairankan kalau dilihat pada falsafah yang dipegang oleh pengerusi merangkap pemilik kelab berkenaan, Daniel Levy.

Dia ni memang pantang nampak pemain yang harga di bawah pasaran (“undervalue”). Ditambah pula kalau dia tahu satu-satu kelab penjual tu tengah terdesak. Lagi sedaplah dia nak tekan harga semasa rundingan.

Tapi sayang seribu kali sayang. Harapan Daniel Levy tak kesampaian. Adrien Rabiot tolak mentah-mentah idea untuk menyertai Tottenham Hotspur. Nak tahu apa alasan dia?

“Tottenham Hotspur tu bukan standard aku.”

Perghhhh!!!

KRISIS BERSAMA SKUAD KEBANGSAAN PERANCIS

Untuk pengetahuan tuan puan, Adrien Rabiot ni bukan saja buat hal dengan Paris Saint Germain. Dia juga tak sebulu dengan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF).

Ini selepas pengendali Les Bleues, Didier Deschamp menyenaraikan Adrien Rabiot sebagai salah seorang daripada 11 pemain “standby” sahaja untuk kejohanan Piala Dunia 2018. Bukan dalam senarai 23 orang pemain terakhir.

Adrien Rabiot pun selamba tulis emel pada Didier Deschamps yang dia tak berminat nak ikuti sebarang program latihan bersama Perancis bagi persediaan ke Piala Dunia. Dia lagi rela duduk di rumah untuk menonton Piala Dunia.

Presiden FFF, Noel La Graet yang terkejut dengan perangai Adrien Rabiot pun beritahu,

“Budak tu buat keputusan yang silap. Dia yang hukum diri sendiri, dia yang sekat diri sendiri.”

Ironisnya, Perancis pula menang Piala Dunia. Kahkahkah.

Sebelum Piala Dunia tu, Adrien Rabiot sudah muncul 6 kali bersama skuad kebangsaan Perancis. Rasanya, jumlah penampilan tu akan berhenti di angka situ saja. Sampai sekarang, Didier Deschamps tak ingin nak panggil dia untuk beraksi di pentas antarabangsa. Jenis orang besar kepala ni payah dalam pasukan.

Lagi pula skuad Perancis pernah berpecah belah sebab kes pemain besar kepala menjelang Piala Dunia 2010. Itu yang Perancis sampai gagal teruk semasa kejohanan tu. Tak lepas peringkat kumpulan beb. Walhal pasukan pilihan.

KESIMPULAN

Kes Adrien Rabiot ni merupakan satu tamparan juga buat Paris Saint Germain.

Sudahlah mereka terpaksa bayar saja gaji Adrien Rabiot sampai habis kontrak. Kelab itu juga dah banyak buang masa dan tenaga untuk pujuk Adrien Rabiot menandatangani kontrak selama ni.

Itu belum dicampur segala pelaburan yang dilakukan oleh kelab untuk menaikkan pemain itu hingga ke tahap ni. Presiden Nasser El Khelaifi sendiri pun nampaknya dah ‘cuci tangan’.

Veronique Rabiot dan Adrien Rabiot, hubungan lebih daripada sekadar emak dan anak. – gambar kredit Marca

Untuk Adrien Rabiot pula, orang akan mengenangnya sebagai besar kepala dan “self centered”. Atau mungkin juga dah jadi serupa “spoilt child” akibat terlalu banyak campur tangan dari emak merangkap ejennya. Veronique Rabiot “overprotective”.

Persoalannya di sini, kelab mana yang berani untuk menandatangani Adrien Rabiot pada tingkap perpindahan musim panas 2019 nanti.

Sumber:

1. The Guardian, 2019, Ed Aarons, Adrien Rabiot: the golden boy who became PSG’s French football outcast

2. ESPN, 2018, Julien Laurens, PSG and Adrien Rabiot contract saga turns ugly but what does the future hold?

3. Marca, 2019, Pablo Polo, Veronique Rabiot, the woman Barcelona will have to battle with to sign Rabiot

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.