Football, bloody hell!!” Itulah kata-kata yang terpacul daripada Alex Ferguson selepas Manchester United memenangi Liga Juara-Juara pada 1999.

Genap 20 tahun sudah berlalu, tetapi kata-kata Alex Ferguson ni masih lagi sesuai untuk menggambarkan dramatiknya bola sepak. Khususnya dalam kejohanan yang sama untuk musim ini.

Tak keterlaluan kalau kita katakan Liga Juara-Juara edisi 2018/19 ni antara yang tersedap, terlazat dan segala macam ter ter ter lain lagi. Sudah banyak drama “remontada” atau dalam bahasa Inggerisnya, “come back”. Mungkin jauh lebih saspen dari Avengers: Endgame.

Siapa boleh lupa bagaimana Ajax Amsterdam menuju ke Santiago Bernabeu pada peringkat 16 pasukan dengan berbekal defisit 2-1. Tapi mereka berjaya mengejutkan juara bertahan Real Madrid dengan kemenangan 4-1. Nacho koyak sampai kena buang padang pada minit akhir perlawanan.

Begitu juga halnya dengan Manchester United di peringkat yang sama. Kalah 2-0 di laman sendiri Old Trafford. Tapi mereka bangkit semula di Parc de Princes untuk mengalahkan Paris Saint-Germain 3-1, dengan Marcus Rashford menjaringkan gol kemenangan betul-betul pada minit terakhir. Terima kasih VAR.

Dan yang paling terkini tentulah drama ‘remontada’ separuh akhir. Belum sempat habis air liur nak berborak kejayaan luar biasa Liverpool, Tottenham Hotspur pula datang dengan pencapaian yang sama 24 jam kemudiannya. Memang betullah kata-kata “football, bloody hell”.

Sempena keagungan episod Liverpool dan Spurs ni, kita tengok 3 titik persamaan dalam ‘remontada’ mereka.

1. MENTALITI KALAH BERMARUAH

Baik Jurgen Klopp mahu pun Mauricio Pochettino, kedua-duanya melakukan pendekatan yang hampir serupa bagi perlawanan kedua separuh akhir. Mereka berdua tidak menfokuskan kepada hasil atau “output”, iaitu keputusan perlawanan. Tetapi lebih kepada proses untuk mencapai “output” tersebut, iaitu usaha.

Lihat saja pada Jurgen Klopp. Dia menggunakan istilah “beautiful failure” menjelang perlawanan. Manakala Mauricio Pochettino pula menggunakan istilah “lose the right way”.

Walaupun berbeza daripada perkataan tapi ia membawa makna yang sama. Andai kata skuad mereka gagal untuk melakukan “comeback” dan memadam defisit pada perlawanan separuh akhir pertama, biarlah mereka gagal selepas berhabis berusaha. Kiranya gagal bermaruah lah.

Hurm, satu pendekatan yang menarik.

2. INSPIRASI PENJARING UTAMA DARI LUAR PADANG

Kedua-dua kelab kehilangan “top scorer” mereka akibat kecederaan. Liverpool dengan Mo Salahnya yang sudah menjaringkan 26 gol. Tottenham Hotspur pula dengan Harry Kane yang sudah menjaringkan 24 gol.

Mo Salah tak dapat diturunkan berikutan “concussion” yang dialami semasa perlawanan menentang Newcastle United pada hujung minggu lepas. Harry Kane pula tercedera pergelangan kaki. Dia dah terdampar tak bermain semenjak pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City.

Walaupun kedua-duanya tak dapat bermain di atas padang, tapi kehadiran mereka di stadium ternyata memberi sumbangan positif buat rakan-rakan mereka yang sedang berjuang.

Mo Salah memakai baju hitam bertulisan “Never Give Up”. Dan ia seolah-olah memang kena dengan semangat pemain Liverpool ketika Barcelona. Gambar Mo Salah selepas tamat perlawanan terus menjadi ikonik. (err, lawa juga t-shirt ni, dekat mana nak dapat?)

Harry Kane pula masuk ke bilik persalinan Spurs semasa rehat separuh masa. Dia beri. “pep talk” yang membakar semangat kepada semua skuad. Dan selepas perlawanan tamat, penonton terlopong sebentar melihat Harry Kane boleh berlari-lari meraikan kejayaan pasukan.

3. IMPAK PEMAIN GANTIAN SEPARUH MASA

Jurgen Klopp dan Mauricio Pochettino melakukan pertukaran pemain apabila selepas tamat rehat separuh masa.

Jurgen Klopp memasukkan Georginio Wijnaldum bagi menggantikan Andy Robertson yang cedera. Dia dikhabarkan geram dengan Jurgen Klopp sebab tak diturunkan sebagai kesebelasan pertama dalam perlawanan ni.

Tak pasti sama ada kegeraman Georginio Wijnaldum atau pun kebijaksanaan Jurgen Klopp, atau mungkin kedua-dua faktornya sekali. Giorginio Wijnaldum hanya memerlukan masa 11 minit saja di atas padang bagi menjaringkan dua gol dan menyamakan agregat 3-3.

Apa yang terjadi lepas tu adalah Barcelona dah mula hilang arah. Itu yang sampai buat kesilapan bertaraf budak sekolah, memberi peluang kepada Divock Origi menjaringkan gol kemenangan. Mungkin Luis Suarez masih berhuhu huhu di bucu katil menyesal sebab mencederakan Andy Robertson.

Mauricio Pochettino pula mengeluarkan Victor Wanyama. Dia memasukkan Fernando Llorente yang memang kita tahu hanyalah berstatus penyerang “back-up” saja di Spurs.

Mauricio Pochettino meletaknya sebagai penyerang utama. Dengan Lucas Moura dan Son Heung-Min pula di bahagian kanan dan kiri.

Ketinggian Fernando Llorente memang betul-betul menghantui Daley Blind dan Matthijs de Ligt. Habis jadi kacau bilau stabiliti pertahanan Ajax Amsterdam bila bola tinggi dihantar pada Fernando Llorente. Dan ini memberi peluang kepada Lucas Moura untuk menyusup dan akhirnya menjaringkan hatrik pada separuh masa kedua.

Hurm, langsung membuatkan Erik ten Hag menangis kekecewaan.

P/S: Artikel di atas adalah pendapat peribadi penulis. Bola Tonjol seperti biasa, sentiasa kekal berkecuali dalam hal-hal berkaitan isu ‘deep’ seperti artikel ini.

Kongsi Artikel Ini

Bekas pelajar sekolah agama, pernah bekerja di luar negara, aktif menggunakan otak kanan dan penentang golongan yang berlebih-lebihan. Berpengalaman luas menghabiskan duit PTPTN dengan membeli majalah United setiap bulan ketika di universiti dahulu. Kini, dia menganggap menonton perlawanan MU bukan lagi cara menenangkan fikiran yang efektif.


Dapatkan Update Terus Ke Emel Anda!

Pelbagai info bola sepak terus ke email anda. Isi nama dan emel anda untuk menerima sebarang kemaskini daripada kami.